NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Harga Minyak Naik; Derita Rakyat Tidak Jadi Pertimbangan Kerajaan


Oleh : Dr Azman Ibrahim

Dimusim tengkujuh ini ketika rakyat sedang berdepan dengan kesempitan hidup lantaran cuaca yang tak menentu dan banjir yang belum pulih sepenuhya di Pulau Pinang dan Kedah serta Perak, sepatutnya kerajaan berfikir bagaimana beban rakyat boleh dikurangkan.

Diwaktu sebegini, pisau menoreh getah terpaksa disimpan dan bot nelayan terpaksa berlabuh di pengkalan.

Masyarakat bawahan seperti nelayan dan penoreh, rata-rata mereka tidak mempunyai simpanan untuk digunakan dimusim tengkujuh sebegini. Ketika masih boleh bekerja sekalipun, mereka terkial-kial untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi bila terpaksa ‘bercuti tanpa gaji’ yang tak pasti berapa lama tempohnya.

Setiap hari mereka memerhatikan titisan air hujan yang turun bersama jatuhnya air mata rakyat marhaen.

Semalam ketika singgah mencari ikan di Pasar Tok Bali Pasir Puteh, ikan selar kuning saiz biasa yang harganya RM8 sekilo telah melambung menjadi RM14 sekilo!

Dalam keadaan sempit sebegini, kerajaan memilih untuk menyempitkan lagi kehidupan rakyat dengan kenaikan harga minyak pada kadar tertinggi setakat ini sebanyak 7 sen seliter bagi RON95. Inilah minyak rakyat marhaen. Tiada dalam kamus kenderaan mereka isi minyak RON97.

Jelas derita yang sedang ditanggung rakyat tidak menjadi soal pertimbangan kerajaan dalam menaikkan harga minyak. Inilah kerajaan BN!

© all rights reserved
made with by templateszoo