Grab menindas pemandu?



JOHOR BAHRU - Kira-kira 30 pemandu GrabCar di sekitar bandar raya ini membuat bantahan secara aman berikutan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan perkhidmatan teksi awam alternatif itu.

Jurucakap pemandu, Mohamad Salihin Ahmad Nazri, 32, mendakwa, mereka tidak berpuas hati berkaitan soal ketetapan kadar tambang baharu sejak awal tahun ini hingga menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Menurutnya, kadar tambang sebelum ini adalah RM1.30 per kilometer (km), namun kini turun kepada 70 sen/km dan keadaan bertambah parah apabila sejak akhir-akhir ini harga minyak naik setiap minggu.

“Ketetapan pengiraan kadar tambang baharu ini menyebabkan kami semakin tersepit apabila harga minyak pula turut meningkat. Kalau dahulu, saya boleh dapat sampai RM800 seminggu, tetapi kini hanya RM500 sahaja.


“Bukan itu sahaja, kadar yuran juga turut meningkat daripada 20 peratus kepada 25 peratus. Pendapatan kami kini semakin berkurang dan keadaan semakin terasa apabila ada antara kami yang membuat pekerjaan ini secara sepenuh masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat bantahan di hadapan pejabat GrabCar Johor di Taman Setia Tropika, di sini, semalam.

Mohamad Salihin berkata, pemandu yang berdaftar dengan GrabCar juga turut tidak dibenarkan mempunyai akaun dengan perkhidmatan teksi e-hailing lain bagi mengelakkan persaingan dan sebagainya.

“Kami dijanjikan dengan pelbagai janji manis dan ingat pada awalnya akan mendapat pulangan yang lumayan. Sebenarnya, ramai pemandu yang tertekan tetapi mereka tidak berani untuk tampil bersama kami kerana bimbang akaun mereka akan dibekukan hingga ganggu periuk nasi mereka.

“Ini disebabkan ramai yang berhenti kerja semata-mata mahu menjadi pemandu GrabCar secara sepenuh masa,” katanya yang memberitahu sudah menjadi pemandu GrabCar selama dua tahun.

Beliau turut tidak berpuas hati apabila kesilapan yang dilakukan penumpang turut memberi kesan kepada mereka termasuk disekat atau digantung akaun.

“Malah, ada dalam kalangan kami tidak diberi sebab sebenar sekiranya kami disekat atau digantung akaun.

“Kami dituduh melengahkan penghantaran pelanggan sedangkan ada kala kami berdepan dengan kesesakan atau pelanggan yang menukar lokasi selepas kita mengambil mereka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu GrabCar, Mohamad Rizuan Mohamad Ramli, 39, mendakwa pendapatan yang diraihnya tidak dapat menanggung kos penyelenggaraan kenderaannya.

“Saya berasa semakin tidak berbaloi. Insentif yang dijanjikan kadang-kala turut ditarik. Kami juga seolah-olah dipaksa mengambil semua penumpang,” katanya.

Sinar Harian berusaha mendapatkan komen daripada wakil pejabat GrabCar Johor, bagaimanapun mereka memberitahu segala kenyataan hanya dikeluarkan daripada pihak atasan mereka di Kuala Lumpur.



Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget