NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cuti Paterniti 30 Hari Perlu Dikaji - MTUC


KUALA LUMPUR, 21 Nov -- Cadangan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari perlu dikaji dan dipertimbangkan dari pelbagai sudut, demikian menurut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata kaji selidik perlu dibuat pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mengusulkan perkara itu dengan Kementerian Sumber Manusia yang mempunyai pegawai, pakar dalam faedah-faedah dan akta berhubung perkara berkenaan.

"Melihat dari sudut untuk bersama menjaga keperluan menjaga anak yang baharu lahir, pendapat dan alasan itu kurang kuat dan fakta itu terlalu lemah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Halim berkata cadangan cuti 30 hari itu juga akan menjadi kos yang mesti ditanggung oleh syarikat dan pihak majikan harus dirujuk sebelum cadangan itu boleh dilaksanakan.

"Perlindungan wanita bersalin ialah satu perlindungan yang memerlukan wanita untuk mengandung sehingga 22 minggu untuk layak. Cuti untuk suami ini adakah perlindungan atau faedah?," soalnya.

Semalam Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengusulkan kepada kerajaan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari berbanding tujuh hari sekarang.

Timbalan Menterinya Datuk Azizah Mohd Dun berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan bapa memainkan peranan yang lebih besar termasuk membantu tugas isteri di rumah selain merapatkan ikatan kekeluargaan.

“Kebanyakan bapa sekarang terutama bapa muda mahu bersama-sama menjaga anak mereka dari awal bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Hubungan yang kuat dapat membuatkan anak-anak merasa selamat kerana mereka mempunyai tempat untuk mengadu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto ‘Swedish Dads and Malaysian Dads’ di Kuala Lumpur.

Azizah juga berkata, ibu bapa di negara ini boleh belajar daripada sistem kekeluargaan di Sweden yang mengetengahkan peranan bapa dalam sesebuah keluarga, khususnya pada aspek mendidik anak.

“Menerusi pameran ini kita dapat memberi kesedaran serta memperkasakan kaum wanita iaitu tanggungajawab menjaga anak tidak terletak pada kaum ibu sahaja dan bapa juga berperanan penting dalam mendidik anak mereka,” katanya.

Pameran itu yang dianjurkan oleh IKEA Malaysia, Kedutaan Sweden di Malaysia serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara turut menampilkan satu siri foto oleh jurugambar Sweden Johan Bavman yang merakam detik-detik harian 11 bapa bersama anak-anak kecil mereka di rumah.

Pemilihan foto bapa-bapa Malaysia pula dibuat menerusi pertandingan ‘Malaysian Dads Photo’ yang dilancarkan bulan lepas oleh IKEA dan Kedutaan Sweden bersempena penguatkuasaan polisi cuti paterniti bergaji selama sebulan oleh IKEA.

Sementara itu, Pengarah Kelestarian dan Komunikasi IKEA Asia Tenggara Lars Svensson berkata, cuti paterniti bergaji itu terpakai kepada semua cawangannya di seluruh Asia Tenggara bagi membolehkan golongan bapa turut menjaga bayi yang baharu dilahirkan.

Pameran itu berlangsung di Balai Seni Lukis Negara di Kuala Lumpur sehingga 31 Mac tahun depan.

Sumber: Bernama dan Harian Metro
© all rights reserved
made with by templateszoo