NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

3 kecuaian 3 pihak bertanggungjawab punca tanah runtuh



GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah daripada DAP, Teh Yee Cheu mendakwa kejadian tanah runtuh di tapak projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, pada 21 Oktober lalu, berpunca daripada tiga kecuaian.

Beliau berkata tiga kecuaian itu ialah kecuaian kelulusan, kecuaian pemantauan dan kecuaian mematuhi garis panduan dengan sekurang-kurangnya tiga pihak perlu bertanggungjawab dengan kajian runtuhan tanah di tapak pembinaan itu.

"Kita kena ambil maklum informasi ini supaya pelan lebih baik dan sempurna diadakan serta garis panduan semua dipatuhi. Bencana ini boleh dielakkan jika semua perkara ini diambil kira kerana ia berlaku di lereng bukit yang telah dijalankan kerja pembinaan.

"Kecuaian berlaku apabila kerja tanah mungkin tidak sempurna dan 'commencement work' untuk binaan sudah pun dijalankan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Seramai 11 pekerja binaan maut selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, kira-kira jam 9 pagi, pada 21 Oktober lalu.

Yee Cheu juga mengumumkan akan meninggalkan DAP selepas pembubaran DUN Pulau Pinang dengan keputusan itu dibuat selepas tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan parti, pada 30 Oktober lalu.

Yee Cheu berkata, topografi tapak pembinaan itu turut membuktikan bahawa kawasan kejadian adalah sebahagian daripada bukit dan sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa ia terdiri dari tanah rata.

"Kita boleh pastikan ia adalah sebahagian daripada bukit. Ia adalah topografi yang boleh buktikan memang tapak lereng bukit dan jangan lupa juga di tapak tanah runtuh di bahagian atas ada sebatang sungai yang tidak diketahui semua. Saya harap ini juga boleh diambil maklum oleh Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Yee Cheu sekali lagi membangkitkan usul mengehad tempoh perjawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada hanya dua penggal sahaja, selain menggesa ia dipertimbang dengan lebih serius.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP seharusnya cakap serupa bikin apabila sebelum ini lantang menggesa pihak Persekutuan mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri bagi dua penggal juga.

Selain itu, katanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, pernah menyuarakan pandangan sama jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Ini bagi mengekang isu salah guna kuasa dalam kalangan individu yang memegang jawatan berkenaan (Ketua Menteri), selain ia disokong oleh Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Saya berharap agar perkara ini dapat direalisasikan di sini (DUN Pulau Pinang) untuk mewartakan pengehadan tempoh perjawatan Ketua Menteri. Pakatan Harapan di Pulau Pinang perlu menjadi contoh dengan memulakannya," katanya.--BHARIAN.COM.MY
© all rights reserved
made with by templateszoo