NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tak tinggal Dhuha, al-Quran



HAMPIR sebulan pemergian kakaknya, namun Wan Rafiah Musa, 63, masih mengingati senyuman terakhir insan kesayangannya itu yang menghembuskan nafas terakhir di hadapan Kaabah.

Wan Halimah, 66, seorang daripada jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Makkah pada 16 September lalu ketika selesai melakukan solat sunat tawaf.

Ketika itu, Wan Rafiah berkata, kakaknya sempat membaca doa sebelum rebah di atas ribanya dan meminta supaya dibawakan ke tandas di Masjidilharam.

"Ketika itu dia masih sedarkan diri tetapi lemah. Saya tidak dapat bantu bawanya ke tandas kerana ketika itu ramai jemaah haji.

"Namun dia hanya tersenyum sahaja melihat saya dan sempat mengucap dua kalimah syahadah beberapa kali sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Saya reda dengan pemergiannya, bahkan cemburu kerana arwah terpilih menjadi tetamu Allah dan dijemput Illahi di Tanah Suci," katanya di ditemui di rumahnya di Kampung Parit Ali, Rantau Panjang, semalam.

Terdahulu, Wan Rafiah dan keluarganya menerima kunjungan wakil Lembaga Tabung Haji (TH) Kelantan yang menyampaikan sumbangan kepada waris jemaah yang meninggal dunia di tanah suci.

Menurutnya lagi, arwah kakaknya yang menghidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum itu, cuma mengadu lemah ketika di Mina disebabkan cuaca panas.

"Kencing manisnya pun tidak kritikal. Dia tak tunjuk perubahan apa-apa pun, cuma sebelum berlepas untuk mengerjakan haji pada 25 Ogos lalu, dia kelihatan sangat teruja malah, dia sempat beritahu empat anaknya bahawa dia mahu pergi lama. Namun mereka tidak menyangka itu adalah petanda arwah mahu pergi buat selama-lamanya," katanya.

Tambah Wan Rafiah, ramai jemaah di Tanah Suci bertanya mengenai amalan yang dilakukan arwah Wan Halimah berikutan dijemput dalam keadaan yang sangat baik.

Dia hanya tersenyum dan menceritakan mengenai amalan harian arwah yang tidak pernah meninggalkan solat sunat Dhuha selain membaca al-Quran setiap hari.

Sementara itu, Pengarah TH Kelantan, Wahyudin Tamami, meluangkan masa menziarahi keluarga arwah di rumah mereka.

"Kami datang sebagai tanda simpati sambil menyampaikan sumbangan khairat kematian berjumlah RM1,500 dan sedikit cenderahati kepada keluarga arwah.

"Ini adalah keluarga terakhir yang kami ziarah. Seramai empat (orang Kelantan) daripada 3,350 jemaah haji tahun ini, meninggal dunia di Tanah Suci," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017/10/271363/tak-tinggal-dhuha-al-quran

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo