NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ridhuan Tee: UMNO henti beri kerusi pada MCA





"Ingatan saya kepada Umno, jangan atau berhentilah memberi lagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA. Biar dia bergasak dengan DAP di kawasan majoriti Cina. 

Penceramah terkenal Prof Ridhuan Tee Abdullah menyarankan Umno tidak lagi memberikan kerusi kepada rakan komponennya MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 

Dalam tulisan yang disiar di laman Ismaweb, Ridhuan mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini yang berkata Umno dan PAS kini giat saling 'menggoda' antara satu sama lain. 

Liow ketika berucap di Sidang Kemuncak Belia Cina di Serdang Sabtu lalu berkata, keadaan itu berpunca daripada pengundi Cina yang menyokong DAP pada PRU lalu. 

"Ingatan saya kepada Umno, jangan atau berhentilah memberi lagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA. Biar dia bergasak dengan DAP di kawasan majoriti Cina. 


"Jika mereka kalah kesemua kerusi kawasan Cina, tidak perlu lagi dilantik sebagai senator bagi membolehkan mereka merasai kerusi menteri. Biarkan mereka melopong," kata Ridhuan. 

Sejak bila Cina undi MCA? 

Ridhuan berkata sekiranya Umno tidak memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu, parti berasaskan kaum Cina itu tidak mungkin wujud seperti hari ini. 

"Sejak bila orang Cina menyokong atau mengundi MCA? Atau MCA sahaja yang terlebih perasan? 

"Bersyukurlah wahai parti Cina MCA. Sila ambil cermin paling besar dan lihat muka sendiri. Tanya diri sendiri? Semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sehingga ke hari ini atas ehsan siapa? Melayu atau Cina? 


"Jika terlampau ultra kiasu, berhentilah daripada menjadi ahli politik kerana kehadiran dan kemunculan kenyataan kamu amat mengguris hati-hati Melayu. Jangan hiris lagi hati mereka yang telah memenangkan kamu," tulisnya. 

Ridhuan berkata, daripada tujuh kerusi parlimen yang dimenangi MCA pada PRU lalu, enam adalah kerusi majoriti pengundi Melayu. 

Manakala daripada 11 kerusi DUN, sembilan adalah kerusi majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. 

"Dalam kata lain, sejumlah 15 daripada 18 kerusi MCA (ataupun 83.3%) adalah terletak di kawasan Melayu luar bandar," katanya. 

'Kaya kerana belas ihsan' 

Ridhuan dalam tulisannya turut membangkitkan kekayaan kaum Cina di Malaysia yang didakwanya hasil daripada ihsan kerajaan yang dipimpin Melayu. 


"Mana mungkin Genting Highland boleh tersergam indah di puncak bukit tanpa pengantara dan tanpa belas ihsan pemimpin Melayu memberikan tanah dan laluan untuk menerokai hutan balak tersebut. 

"Begitu juga dengan projek-projek besar yang lain dan bangunan pencakar langit yang didirikan," katanya. 

'Cuba pacak 'Hua' di Thailand' 

Tambahnya, bangunan Persatuan Cina Hua Zong yang menjadi tempat berlangsung Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia bersama perdana menteri Sabtu lalu tidak mungkin berdiri tanpa bantuan kerajaan. 


Malah, katanya persatuan itu dibenarkan memasang papan tanda tulisan 'Hua' yang bermaksud Cina, di sebuah negara "berasaskan kenegaraan Melayu". 

"Semua dibenarkan atas dasar toleransi. Pernahkah dihargai? Cuba Hua Zong pacak perkataan ‘Hua’ itu di Thailand atau Indonesia. Agak-agak boleh dapat atau tidak? Tetapi, ia dibenarkan di Malaysia. 

"Jika nak disenaraikan, banyak lagi bangunan pencakar langit kepunyaan mereka berdiri megah dengan ehsan kerajaan yang diterajui Umno dengan MCA dan Gerakan menjadi orang tengah. 

"Dalam kata lain, kejayaan sebahagian jutawan Cina hari ini bukan hanya merupakan titik peluh mereka sendiri. Tanpa bantuan Umno, MCA dan Gerakan dalam kerajaan, mana mungkin mereka boleh mendapat projek yang berskala besar," katanya.
© all rights reserved
made with by templateszoo