NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14 : Khalid Mahu Bersara



“Saya tegaskan sekali lagi, saya tidak akan sertai mana-mana parti politik, baik UMNO mahupun Pakatan Harapan,” kata bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau mengulangi keputusan dan pendiriannya itu pada majlis Hi-Tea anjuran Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor di sebuah hotel di Shah Alam, petang Ahad.

Malah tegasnya, beliau juga tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas itu, yang dipecat keahlian oleh pucuk pimpinan PKR, beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang memerlukan khidmatnya.

“Untuk menyertai parti PAS atau pembangkang (PH) atau UMNO, tidak sama sekali. Bertanding (mempertahankan) di dua kerusi pun tidak lagi,” katanya.

Sebelum ini dalam ucapan ceramahnya pada Himpunan Fastaqim di Kuala Terengganu 30 September lalu, Khalid mengatakan kepada ahli serta penyokong PAS yang beliau bukan daripada beberapa kenamaan yang akan menyertai parti itu.

Kata Khalid, ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga September 2014, beliau juga ada menyatakan akan memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding kerusi Parlimen dan DUN.

“Kalau itu pendirian dan keputusan saya, kenapa saya membazirkan dua kerusi berkenaan untuk bertanding pada PRU 14. Lebih baik diberikan kepada mereka yang lebih berkelayakan.

“Bagaimanapun, saya akan teruskan berjuang menjaga kebajikan rakyat Selangor, walaupun tidak berada dalam parti atau sebagai wakil rakyat lagi,” katanya.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Sallehen Mukhyi.



© all rights reserved
made with by templateszoo