Perginya Kassim Ahmad Yang Quranist


oleh M. Kamal Affandi

Tulisan ini tidak bertujuan untuk mengulas pemikiran Kassim Ahmad satu persatu sebagaimana yang dilontarkannya dalam Hadis – Satu Penilaian Semula disebabkan ruang yang terbatas.  Memadai kita bentangkan serba ringkas batas-batas iman dan kufur yang diberi panduan dan pencerahan oleh para ulamak.  Berasaskan neraca itu, kita mendedahkan secara terbuka pemikiran Kassim Ahmad lewat bukunya yang sudah diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

            Amat dibimbangkan jika Kassim bakal dijulang sebagai “tokoh dan hero pemikiran Islam kontemporari” sedangkan pada hakikatnya beliau sudah dianggap terkeluar daripada Islam.  Kepada Allah kita bermunajat agar arus dan gelombang Kassim Ahmad dibawa olehnya ke liang lahad, sunyi bersendirian menemaninya sehinggalah tiba waktu beliau menemui Rabbul Jalil.  Permintaan terakhir Kassim sudah dijawab Allah SWT.[1]  Kassim Ahmad kekal dengan pegangannya menolak semua teks dan konteks wacana Islam mainstream Ahli Sunnah wal Jamaah.

Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah berfirman di awal surah al-Baqarah[2] bahawa (maksudnya):
“Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani. Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya. Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”

            Pembukaan surah al-Baqarah terlalu jelas membezakan orang mukmin daripada yang bukan.  Juga dijelaskan antara sifat si munafiq yang bermuka-muka di antara kedua-dua golongan itu.
            Dalam keadaan lain Allah SWT berfirman:[3]

“Barangsiapa yang menentang (ajaran) Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan selain orang-orang mukmin, Kami akan halakan ke arah haluannya dan kemudian (pada Hari Akhirat kelak) Kami masukkannya ke dalam neraka jahannam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
           
Bagi menjelaskan di antara faktor bagaimana manusia boleh tersesat daripada landasan Islam yang suci lagi benar itu, maka Allah SWT berfirman lagi[4] selaku peringatan buat kita semua:
  
“Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran. Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak.”

            Apakah mungkin berlaku keadaan manusia memesongkan Islam daripada maksud asal sebagaimana yang Allah inginkan? Sudah pasti ada dan terlalu banyak testimoni mengenainya. Jika tidak, mana mungkin terdapat sebegitu banyak ayat al-Qur’an yang ditanzilkan kepada ummat Nabi Muhammad SAW berkaitan kisah dan larangan Allah agar jangan mendurhakakan Ayat-Ayat (Perintah dan Larangan) Allah SWT.
Mendurhakakan Allah:” dalam bahasa mudah bermaksud “apa-apa sahaja tindakan manusia yang bertentangan dengan suruhan Allah SWT”. Dengan kata lain, melawan Allah SWT.  Allah SWT menyuruh umat manusia beriman kepada-Nya, Malaikat, Kitab-Kitab-Nya, Rasul, Hari Akhirat, penetapan Qada’ dan Qadar  yang membentuk Enam Rukun Iman yang wajib diimani setiap mukmin.  Mengingkari suruhan atau larangan-Nya bererti mendurhakai-Nya.
Seseorang manusia pula akan menjadi Muslim jika dia bersyahadah dengan penuh kepercayaan bahawa “Sesungguhnya tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah; dan sesungguhnya Muhammad itu Rasulu’Llah.” Selepas itu, Si Muslim wajib menunaikan solat lima waktu, berpuasa Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi menyempurkan Lima Rukun Islamnya yang dibina di atas Syahadah yang dilafazkannya.
            Itulah  asas-asas dan batas-batas Islam dan Iman mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.  Apabila kita melanggar batas-batas itu, jumhur ulamak merumuskan secara qat‘iyy, berasaskan hujah-hujah dalam al-Qur’an and hadith Nabi SAW, seseorang itu boleh terkeluar daripada Islam.[5]  Misalnya, “mengucap dua kalimah syahadah” atau disebut asy-syahadatain itu menjadi syarat Syarat Wajib Paling Prinsipal dalam Ilmu Tawhid atau ‘Aqidah Islam di mana segala-galanya terikat dengannya.
Beriman sebahagian, misalnya hanya dengan menjadi saksi Allah adalah Tuhan Yang wajib Disembah tetapi menolak Nabi Muhammad  sebagai Rasulu’Llah, maka gugurlah syahadah seseorang Muslim itu.[6] Na‘uzubi’Llahi min zalik![7] Inilah pegangan dan fahaman sistem ‘Aqidah Islam berdasarkan Ahli Sunnah wal Jama’ah yang dipegang oleh jumhur ulamak Sunni sejak dahulu hingga kini.
Perlembagaan Persekutuan[8] meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan mana-mana agama lain boleh dibenarkan diamalkan dalam keadaan aman dan damai di dalam Persekutuan.  Atas sifat kepentingannya, Agama Islam diletakkan  di taraf dan kedudukan yang sangat tinggi dalam undang-undang tertinggi negara, iaitu sebagai Perkara ketiga (3)  Perlembagaan Persekutuan selepas “Nama, Negeri-Negeri dan Wilayah-Wilayah Persekutuan”[9] serta “Penerimaan Masuk Wilayah-Wilayah Baru dalam Persekutuan”.[10]  Ia benar-benar memberikan signifikan yang amat jelas bagi mereka yang faham akan maksud sesuatu undang-undang, apatah lagi sebuah perlembagaan bagi sesebuah negara.
Diperjelaskan pula dalam Perkara 11 (4) betapa Perlembagaan memelihara Agama Islam dan penganutnya dalam Persekutuan (termasuk Negeri-Negeri) dengan melarang penyebaran apa-apa agama atau doktrin lain ke atas umat Islam; jika dilanggar peruntukan ini, kesalahan boleh disabitkan dan hukuman dikenakan sebagaimana di bawah Akta 355 atau Enakmen Negeri-Negeri, ikut di mana kesalahan itu dilakukan.
Untuk melengkap-sempurnakan kesemua peruntukan itu, seluruh rakyat sudah menjadi saksi bagaimana Sultan Muhammad V mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Yang DiPertuan Agong[11] dengan melafazkan Sumpah:[12]
“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, akan  maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas permintaan yang adil dan aman di dalam Negeri.”
  
Atas asas itulah umpamanya sesebuah fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Agama Negeri[13] sebagaimana pernah dikeluarkan ke atas Kassim Ahmad yang telah didakwa oleh pihak JAIS dan didapati menyampaikan idea-ideanya yang bertentangan dengan kefahaman Islam yang disepakati jumhur ulamak muktabar.
Buku pertama karangan Kassim yang menimbulkan polemik mengenai Islam, Hadis – Satu Penilaian Semula (1986)[14] sudah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada tahun yang sama. Buku kontroversi  keduanya (2005) berjudul, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Al-Qur’an keluaran Forum Iqra’ diharamkan di sesetengah Negeri.[15]
Baru-baru ini pula, pada 7 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Syariah membebaskan dan melepaskan Kassim selepas mengarahkan tuduhan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ditarik balik, selepas pihak pendakwaan meminta kes terhadap cendekiawan itu ditangguhkan hanya disebabkan Ketua Pendakwaraya Syariah Mahkamah masih belum dilantik ketika itu.  Ini penarikan balik atas sebab teknikal, bukan substantive di atas content kefahaman dan ajaran yang dibawa olehnya.
Kassim pernah didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada 27 Mac 2014, kerana membentangkan skrip yang didakwa menghina Islam dan mempunyai kaitan dengan buku kontroversi itu yang diharamkan melalui fatwa Wilayah Persekutuan berkenaan golongan anti-hadis, di seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, 16 Februari tahun yang sama.
Kassim telah memohon semakan kehakiman di Mahkamah Sivil meminta tindakan JAWI menahan dan mendakwa dirinya diisytiharkan sebagai berada di luar bidang kuasa agensi itu dan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan di Mahkamah Syariah itu merupakan kemenangan kedua pertembungannya dengan JAWI, selepas Mahkamah Rayuan pada 21 Disember 2015 membatalkan penahanan dan pendakwaan oleh pihak JAWI.
Mahkamah Sivil pula memutuskan Kassim, yang menetap di Kedah, tidak tertakluk di bawah fatwa Wilayah Persekutuan kerana penahanan beliau berlaku di luar Wilayah Persekutuan, berdasarkan bidangkuasa Enakmen Negeri yang berkuatkuasa.[16]
Rakyat mestilah teliti, cerdik dan peka memahami bahawa “kemenangan” yang diperolehi Kassim Ahmad itu adalah semata-mata atas faktor teknikal bidangkuasa Enakmen Negeri di mana kesalahan syariah itu dilakukan. Dalam kata lain pertuduhan itu diputuskan oleh mahkamah sebagai tidak sah kerana fapotor teknikal cara tangkapan dibuat.
Ini bererti ia belum dibahaskan dalam content pembentangan kertas kerja yang beliau sampaikan yang menjadi asas tangkapan dilakukan oleh pihak JAIS. Dengan kata lain, Kassim masih belum menjawab pertuduhan ke atas dirinya daripada segi content pembentangan kertas kerjanya itu.  Pastinya pihak pendakwa sudah mempunyai hujah-hujah syar‘iyy  jika sidang Mahkamah Syariah berjaya diteruskan dan Kassim akan diminta untuk membela diri, sama ada memilih pembelaan sendiri atau menerusi peguam lantikannya.
Apakah benar Kassim Ahmad melanggar hukum-hukum Allah sehinggakan difatwakan dan diwartakan sebagai murtad oleh pihak berkuasa Islam Negeri Terengganu, Pulai Pinang dan Pahang?[17] Pandangan beliau juga ditolak oleh sekian ramai sarjana dan alim ulamak, pihak berkuasa JAKIM,[18] JAIS, badan-badan NGO Islam[19] serta Persatuan dan Organisasi Islam.[20]
            Kini Kassim Ahmad sudah meninggalkan kita.[21] Namun legasi pemikirannya semakin kuat dibicarakan dalam pelabagi forum; ada yang menyokong dan ada yang menyanggahnya. Demikianlah hebat kesan seorang pemikir yang berjaya melontarkan ideanya menerusi penulisan peninggalannya sebagai testamoni pemikiran yang ditinggalkannya. Atas sebab inilah juga para ulamak dan pemikir besar banyak menulis buku berdasarkan ilmu yang mereka miliki; tidak ketinggalan juga – Kassim Ahmad.
            Tiada cara lain untuk kita menilai sebahagian besar, jika tidak semua, isi pemikiran seorang Kassim Ahmad kecuali dengan membedah bukunya kontrooversinya yang pertama: Hadis – Satu Penilaian Semula (HSPS). Semoga ia dapat memberikan guidance dan pendedahan kepada pembaca – siapa sebenarnya Kassim Ahmad dan apakah  arah aliran pemikirannya sehinggakan beliau digazetkan murtad oleh pihak berkuasa agama Negeri-Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan.
            Di awal Bab I buku HSPS berkenaan, Kassim menceritakan semasa menulis buku Teori Sosial Moden Islam betapa beliau amat mengagumi Ibn Khaldun yang menganjurkan supaya hadith-hadith perlu disemak dengan kebenaran al-Qur’an dan rasionalnya.[22] Namun beliau masih tidak dapat menerima sepenuhnya kerana Ibn Khaldun masih berpegang kepada kebenaran hadith sedangkan beliau menolak hadith sebagai sumber kebenaran dan keterangan Islam selepas al-Qur’an.[23]
            Tumpuan beliau kemudiannya beralih kepada Dr. Rashad Khalifa[24] menerusi buku The Computer Speaks:  God’s Message to the World (1981). Kesimpulan “saintifik” terhadap kajiannya bahawa Islam dapat dibuktikan menerusi angka 19 secara matematik. Selepas 3 bulan mengkaji semua tulisan dan buku Rashad Khalifa, Kassim berpuas hati dengan tesis Rashad bahawa “….Hadis/Sunnah merupakan satu penyelewengan daripada ajaran Nabi Muhammad dan tidak boleh diterima sebagai sumber perundangan, adalah benar”.[25]
            Bermodalkan tekad dan kepercayaan tegar sebegitu, maka bermulalah pengembaraan Kassim Ahmad sebagaimana disebutnya sendiri:[26]
Mengapakah perpecahan ini berlaku, (merujuk kepada perpecahan umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia – penulis) sedangkan umat Islam mendakwa menganut satu agama, Islam: mengikut satu kitab; Quran; dan menyembah satu Tuhan? Sebenarnya, ini merupakan satu masalah pokok yang mendorong kita membuat kajian semula tentang Hadis. Andaian kajian ini ialah bahawa hadis, pada prinsipnya, satu ajaran palsu yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad, merupakan salah satu punca perpecahan dan kemunduran umat Islam. Adalah tujuan kajian ini untuk mebuktikan kebenaran andaian ini.

            Seterusnya Kassim mengungkapkan bahawa:[27]
Hadis atau Sunnah Nabi suatu ajaran palsu yang muncul antara 200-250 tahun kemudian dan yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad. Pendek kata penyelewengan umat Islam sejak itu ialah kerana mereka telah menentang Nabi Muhammad dengan dakwaan mereka bahawa beliau telah membawa dua buah kita, Quran dan Sunnah.”

            Walaupun demikian,  pada muka surat 19 berikutnya beliau masih berkata bahawa “bukan niat atau tujuan saya untuk menimbulkan apa-apa kekeliruan, perbantahan atau perpecahan di kalangan umat Islam di negara kita dengan mempertikaikan Hadis dan Sunnah. Malah tujuan asaya adalah sebaliknya.”[28]
            Kepercayaan Kassim bahawa Hadis yang dianggapnya sebagai palsu dan batu penghalang kemajuan berfikir umat Islam dunia semakin menjadi apabila beliau declare dalam keadaan sedar dan penuh bersemangat bahawa:[29]
Satu daripada kuasa-kuasa palsu yang telah dipegang oleh umat Islamn lebih seribu tahun ialah Hadis/Sunnah. Walaupun ada lagi kuasa-kuasa palsu lain yang dipegang oleh setengah umat Islam, khasnya liberalisme dan Marxisme, Hadislah kuasa palsu yang telah dipegang begitu lama dan meluas oleh kebanyakan umat Islam. Tujuan kita mestilah untuk mencari kebenaran.”

Pada masa yang sama kita juga akan dapat mengesan Kassim contradict himself apabila beliau mengatakan bahawa menolak hadis/sunnah itu bukanlah bermakna beliau merendah-rendahkan Nabi Muhammad dan tidak menghormati dan mengasihinya, apa lagi menolak Nabi.[30]  Oleh itu kajiannya mendukung tesis bahawa Hadis/Sunnah merupakan punca kekeliruan dan perpecahan terbesar di kalangan umat Islam selama lebih seribu tahun.[31]
Dengan yang demikian adalah jelas Kassim menolak hadith sebagai sumber perundangan Islam yang terpenting selepas al-Qur’an.[32]  Perkara ini tidaklah hairan kerana Kassim pernah mengatakan Imam Shafi’i dan ulamak hadith klasik kita telah menciptakan teori Hadith yang dikatakan palsu itu[33] menyebabkan beliau menulis penilaian semula terhadap hadith berkenaan.[34]
            Kenapa pemikiran Kassim Ahmad menjadi sedemikian akan dapat kita fahami dalam Bab IV buku HSPSnya itu apabila didapati jelas menyandarkan hujahnya menolak hadith sebagai sumber rujukan perundangan Islam kedua kepada pandangan Orientalis terkenal seperti J. Schacht[35], Ignas Goldziher[36] dan G.H.A. Juynboll[37] yang mengarang buku-buku mempertikai kesahihan hadith dan mencabar keabsahan hadith sebagai dokumen perundangan Islam yang authentic.
            Dalam mempertahankan tindakan beliau mengkiritik hadith sebagai sumber perundangan, Kassim mengemukakan hujah betapa kaum muktazilah dari zaman Imam Syafi’iyy lagi telah mendatangkan dua hujah yang kukuh untuk menolak teori ini, iaitu hadith “merupakan tekaan dan agakan, dan al-Qur’an lengkap dan tidak memerlukan buku-buku lain untuk melengkapkannya.”[38]
            Membaca seterusnya buku HSPS ini, kita akan dapat merumuskan bahawa kotak pemikiran Kassin tertumpu kepada analisis data bersifat empirikal dan saintifik semata-mata termasuklah perkiraan unsur logik dan akal rasional.  Oleh sebab itulah beliau menilai hadith pada neraca empirikal dan saintifik, logik dan akal rasional sebagaimana beliau amat terkesan dengan pandangan dan kajian Rashad Khalifa[39] ditambah dengan pengaruh mendalam kritikan Schacht, Goldziher dan Juynboll ke atas hadith yang diimaninya sebagaimana dihuraikan di atas.
            Justeru itulah amat mudah untuk Kassim menyimpulkan kelemahan hadith “dari segi matan dapat dianalisa dari tiga jurusan.  Pertama: dari jurusan kontradiksinya dengan Quran.  Kedua: dari jurusan kontradiksinya dengan sejarah, sains dan hukum akal.  Ketiga: dari jurusan kontradiksinya sama sendiri, yakni antara hadis dengan hadis.”[40]
Paling penting buat Kassim Ahmad ialah, beliau sudah mencapai tesis dan keyakinan bahawa kelemahan hadith “yang terbesar ialah kontradiksinya dengan kalimah Tuhan, iaitu al-Qur’an[41] dengan menghuraikan beberapa contoh, pada pandangan beliau, sebagai bukti hadith contradict al-Qur’an menjadikan hadith bukan sebahagian daripada pegangan yang boleh dipercayai dalam sistem perundangan Islam.
            Dalam hubungan ini Kassim telah mengutarakan pendapat-pendapat berikut yang jauh lebih berani:
(i)             “Quran dengan jelas menerangkan bahawa Nabi tidak diberi apa-apa mukjizat kecuali Quran (Lihat 29:50-51)[42];
(ii)           Berkaitan hadith yang menentukan hukuman bunuh untuk kesalahan murtad, beliau berpendapat semua ayat Quran mengenai perkara ini hanya mengancam seksaan di akhirat[43];
(iii)          Berkaitan perintah solat semasa Nabi SAW melakukan isra’ dan mi’raj lalu menemui Allah SWT, Kassim dengan berani dan mudah menyatakan “nyatalah ini satu cerita rekaan untuk menyedapkan telinga yang mendengar. Quran menerangkan bahawa ibadah-ibadah sembahyang, puasa, zakat dan haji telah diajar oleh Tuhan kepada Nabi Ibrahim dan telah diperturunkan, generasi demi generasi, hingga ke zaman Muhammad.”[44];
(iv)          Kassim bertegas bahawa kita perlu menguji hadis dari segi keselarasannya dengan sains, sejarah dan hukum akal.”[45];   
(v)           “Quran mengajar kita bahawa alam semulajadi merupakan tanda-tanda atau ayat-ayat Tuhan. Sains satu ilmu yang mengkaji pelbagai aspek  alam semjulajadi. Hasil kajian ini yang sebenarnya telah teruji tidak dapat tidak akan mensahkan kenyataan-kenyataan yang terdapat dalam Quran dan kenyataan-kenyataan lain yang benar.  Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dengan hasil-hasil kajian sains yang telah teruji, sebaliknya tidak dapat diterima.[46];
(vi)          “Begitu juga dengan sains dalam bidang alam semulajadi, begitu juga dengan sejarah dalam bidang aktiviti manusia.  Apa yang dibuktikan oleh sejarah adalah benar dan tidak boleh bercanggah dengan Quran. Sebaliknya, apa yang dipalsukan oleh sejarah adalah tidak benar. Demikian juga dengan hukum akal” dan beliau seterusnya mengungkapkan betapa kajian Dr. Maurice Buccaille yang menemui kebenaran saintifik dalam al-Quran tetapi banyak fakta sains berkenaan bercanggah pula dengan hadith.[47];
(vii)        Banyak hadis bersifat anti-akal sedangkan Quran menyuruh manusia menggunakan akalnya.[48]
(viii)       Sudahlah nyata bahawa banyak hadis di dalam Enam Buku ‘sahih’ ialah “omong kosong untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan, dan untuk memperolok-olokkannya.[49]
(ix)          “Ini tidak bermakna kita perlu membakar semua buku hadis.  Buku-buku hadis tetap berdiri sebagai catatan sejarah, sepertimana buku-buku sejarah lain, atau sepertimana buku-buku lain.”[50]
Selain itu, menarik juga untuk diungkapkan di sini kata-kata sarjana Islam tersohor, Prof. Fazlur Rahman, yang tidak dipersetujui oleh Kassim Ahmad “kerana jika Hadis pada keseluruhannya dibuang, dasar sejarah bagi Quran dibuang sekaligus.”[51]

            Demikianlah Kassim Ahmad yang kekal dengan pandangan tersebut sehingga ke akhir hayatnya. Adalah benar Kassim Ahmad sudah tiada. Semoga tidak lahir lagi seorang Kassim pada masa terdekat atau akan datang. Namun tidak mustahil akan ada percubaan malah gerakan yang dipelopori kalangan tertentu untuk menghuraikan pemikiran Kassim Ahmad secara meluas dengan agenda mereka yang lebih besar.  Ini dapat kita lihat menerusi sokongan awal kumpulan-kumpulan ini ke atas beliau, yang kononnya diangkat  sebagai pelopor pemikiran intelektual Malaysia, lambungan oleh kalangan “intelektual negara”, pujian  oleh kumpulan IRF[52], SIS[53], DAP[54], tabloid berita[55] termasuk pihak gereja yang dikaitkan dengan ancaman gerakan evangelisme.
Amat dibimbangi pengaruh beliau ke atas anak-anak muda yang berfikiran liberal, sekular, plural dan mendokong “kebebasan berfikir” dan sanggup menjulang prinsip human rights yang jauh amat berbeza daripada iklim tempatan.  Bukankah Islam agama negara yang dijamin oleh Perlembagaan negara dan Raja-Raja Melayu adalah ibarat Payung Teduhan rakyat yang melindungi Agama Islam dan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu-Islam?[56]
           




[1]Sila dengar video yang dipaparkan ini yang dapat kita dengar dengan jelas perakuan Kassim Ahmad berkaitan pegangannya mengenai Islam seperti dalam  https://www.youtube.com/watch?v=f8g1V82Tfm8&index=4&list=PLCA0bSBaBMbhb6LhK3uhfo3ck5GH7hIwG.

[2]Al-Qur’an, surah al-Baqarah: 1-10.

[3]Al-Qur’an, surah al-Nisa’: 115. 
[4]Al-Qur’an, surah al-Hajj: 8-9.
[6]Lihat Sa’id Hawwa (1982), Batas-Batas Iman dan Kufur, Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar, ms. 17-18. Lihat juga  Dr. Abdul Rahman Abdul Khalid (1981), Garis Pemisahan Antara Kufur dan Iman, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, ms. 23-36.

[7]Akhir-akhir ini tersebar video ziarah beberapa orang asatizah berkunjung ke rumah Kassim Ahmad dengan maksud melakukan tabayyun demi mendengar dan memahami sendiri apakah sebenarnya pegangan Kassim Ahmad mengenai Islam yang menjadi kontroversi. Di dalam video berkenaan adalah terang lagi bersuluh bahawa Kassim Ahmad hanya menerima syahadah bahagian yang pertama dan tidak menerima bahagian kalimat “Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Rasulu’Llah” seperti dalam sedutan video https://www.youtube.com/watch?v=f8g1V82Tfm8&index=4&list=PLCA0bSBaBMbhb6LhK3uhfo3ck5GH7hIwG, diikuti https://www.youtube.com/watch?v=dtfb17buK-k&list=PLCA0bSBaBMbhb6LhK3uhfo3ck5GH7hIwG&index=5 dan https://www.youtube.com/watch?v=z07m7Io6GRY&index=6&list=PLCA0bSBaBMbhb6LhK3uhfo3ck5GH7hIwG dan berakhir dengan https://www.youtube.com/watch?v=9VFeaq1ibvE&index=7&list=PLCA0bSBaBMbhb6LhK3uhfo3ck5GH7hIwG. Na‘uzubillahi min zalik!

  
[8]Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan. 

[9]Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan.

[10]Perkara 2, Perlembagaan Persekutuan.

[11]Rujuk misalnya laporan akhbar perdana dalam http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2016/12/13/sultan-muhammad-lafaz-sumpah-agong/ atau sebagaimana video dalam laman Youtube berikut: https://www.youtube.com/watch?v=lBFtzX4wfWs.
[12]Jadual Keempat, Perkara 37, Perlembagaan Persekutuan.

[13]Umpamanya Fatwa Negeri Terengganu seperti dalam https://www.malaysiakini.com/news/267385 dan juga http://www.sinarharian.com.my/semasa/kenyataan-kassim-ahmad-dianggap-kufur-murtad-1.295413 yang mengisytiharkan Kassim Ahmad sebagai murtad.

[14]Kassim Ahmad (1986). Hadis – Satu Penilaian Semula. Petaling Jaya: Media Intelek Sdn. Bhd.  Dalam Kata Pengantar oleh beliau sendiri, dijelaskan bahawa buku itu pada asalnya berupa siri 5 ceramahnya atas jemputan pihak Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang kemudiannya dibatalkan oleh pihak Pentadbir UKM atas arahan Majlis Agama Islam Selangor.

[17]Lihat umpamanya fatwa Majlis Agama Islam Pulau Pinnang dan Pahang dalam http://www.al-ahkam.net/home/fatwa-mengenai-kassim-ahmad-dan-kumpulan-anti-hadis.

[19]Umpamanya oleh Majlis Ulama ISMA seperti dalam  http://muis.org.my/2014/04/kassim-ahmad/. Laporan polis terhadap Kassim juga sering dilakukan oleh NGO seperti dalam https://www.hmetro.com.my/node/223061.

[20]Angkatan Belia Islam (ABIM) pernah mengadakan siri dialog dengan Kassim Ahmad dan menyanggah pandangan-pandangan Kassim Ahmad sebagaimana di laporkan dalam  https://www.malaysiakini.com/news/254796.

[21]Tokoh sasterawan dan pengkritik sosial dan politik yang mencapai umur 84 tahun ini meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2017 akibat sakit radang paru-paru sebagaimana laporan berita dalam https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/335467/kassim-ahmad-meninggal-dunia; https://www.malaysiakini.com/news/397839 dan  http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kassim-ahmad-meninggal-dunia-157481.

[22]Kassim Ahmad. (1984). Teori Sosial Moden Islam. Kuala Lumpur: Fajar Bakti, ms. xiv.

[23]Hadis – Satu Penilaian Semula (HSPS), ms.12.

[24]Dr. Rashad Khalifa adalah seorang pakar biokimia dan tokoh pemikir yang mengejutkan dunia dengan kajiannya ke atas Qur’an menerusi Keajaiban Kod 19.  Bagaimanapun Rashad mengakhiri hidupnya dengan pengakuan menjadi seorang “Nabi dan Rasul” terakhir zaman in menyebabkan ramai ulamak berpandangan beliau terkeluar daripada Islam.

[25]HSPS, ms.13.

[26]HSPS, ms. 17.

[27]HSPS, ms.18.

[28]HSPS, ms. 19.

[29]HSPS, ms. 20.

[30]HSPS, ms. 22.

[31]HSPS, ms. 23.

[32]Op. cit., ms. 23.

[33]HSPS, ms. 26.

[34]Ibid.

[35]Lihat Schacht, J. (1950). The Origins of Muhammadan Jurisprudence. Oxford University Press.

[36]Goldziher, I. (1971). Muslim Studies, Vol. I & II. London: George Allen and Unwin.

[37]G.H.A. Juynboll (1969). The Authenticity of the Traditional Literature. Leiden: E.J. Brill.

[38]Dalam memberikan hujah berkenaan kita dapati Kassim Ahmad telah menyandangkan hujahnya berdasarkan kajian orientalis terkenal,  Joseph Schacht (1950) dalam bukunya The Origins of Muhammadan Jurisprudence.  Malangnya kajian Schacht  itu telah banyak kali ditolak sebagai tidak benar oleh sarjana Muslim dunia, antaranya termasuklah M.M. Azami menerusi tesis kedoktorannya yang masyhur, Studies in Early Hadith Literature (1968), Beirut.

[39]Lihat asas bahasan pengumpulan hadith oleh Imam Bukhari sebagaimana diperincikan oleh Kassim dalam ms. 91-94 berasaskan telahan logik.

[40]HSPS, ms. 94

[41]HSPS, ms. 97-106.

[42]HSPS, ms. 97-98.
 
[43]HSPS, ms. 98.

[44]HSPS, ms. 99.

[45]HSPS, ms 102.

[46]HSPS, ms 103.

[47]Lihat Buccaile, M. (1976). The Bible, the Quran and Science. UAE, Dubai, ms. 244-245 dan ms. 248.

[48]HSPS, ms. 105.

[49]HSPS, ms. 105.

[50]HSPS, ms. 106.

[51]HSPS, ms. 106. Kassim Ahmad merujuk kepada kebimbangan yang dilontarkan oleh Prof. Fazlur Rahman dalam buku masyhurnya, Islam (1966). 

[52]Lihat pandangan Dr. Farouk Musa dalam  https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/17940/.

[55]Lihat  http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/in-tributes-kassim-ahmad-remembered-for-courage-and-principles#2P4xPUabzbcHjzP2.97 yang memuatkan kata-kata sokongan dan pujian ke atas pemikiran Kassim Ahmad oleh Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Zaid Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Ambiga dan Maria Chin Abdullah.

Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget