Mat Sabu mungkin lupa DAP, PKR juga pernah khianati PAS - Idris



SHAH ALAM: Presiden Amanah, Mohamad Sabu mungkin terlupa dengan 'pengkhianatan' DAP dan PKR ketika dua parti itu menjadi rakan komponen bersama PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) satu ketika dahulu.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad sambil menyindir Mohamad berkata, kedua-dua parti itu sebenarnya yang memulakan episod pengkhianatan terhadap PAS walaupun menandatangani persefahaman menerusi Buku Jingga.

Justeru ujarnya Mohamad atau Mat Sabu yang kini bersama Amanah dan menyertai dua parti itu membentuk gabungan baru, Pakatan Harapan (PH), tidak perlu terus menuding jari kepada PAS sebagai punca terkuburnya PR dua tahun lalu.

"Cuba tanya dia, jangan pula dia lupa kerusi (Parlimen) Labuan.. kerusi milik PAS itu, siapa yang bertanding," katanya merujuk tindakan PKR meletakkan calon di kerusi berkenaan yang diperuntukkan kepada PAS sejak 1999.

"Jangan nampak (kesilapan) sebelah pihak saja. Waktu kita bersetuju dalam Buku Jingga untuk tidak perlu ada pilihan raya kerajaan tempatan, kenapa selepas itu buat juga," katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga, PAS tidak pernah mencampuri urusan membabitkan parti rakan sewaktu masih bertahaluf siyasi bersama PKR dan DAP, dan perkara sebaliknya yang berlaku.

Terdahulu, Mat Sabu ketika berucap merasmikan Kongres Kebangsaaan Amanah pagi tadi, meminta rakan komponennya dalam PH untuk tidak mengulangi kesilapan gandingan pembangkang sebelum ini, PR, yang menurutnya, terkubur kerana pengkhianatan PAS.

Mat Sabu berkata apa yang berlaku dalam PR sebelum ini, sehingga membuatkan riwayat gabungan itu tamat, adalah kebanyakannya angkara PAS, merujuk kepada pertindihan calon sesama rakan komponen di beberapa kerusi sebelum ini.

Dalam perkembangan yang sama, ketika diminta mengulas kehadiran Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke Konvensyen Amanah, Idris berkata perkara itu bukan pelik dan ia sememangnya sudah dijangkakan.

Malah dalam nada sinis Idris berkata, adalah luar biasa jika Mahfuz tidak menghadiri majlis anjuran parti serpihan PAS itu.

"(Kalau) dia tak hadir, itu pelik. Kalau dia hadir itu yang bukan berita," ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada PAS akan mengambil sebarang tindakan kepada Mahfuz dan beberapa ADUN PAS yang turut hadir ke konvensyen berkenaan.

Idris dalam pada itu turut membidas kenyataan Mahfuz yang mendakwa PAS tidak bersedia mengambil alih Putrajaya, yang menyebabkannya lebih cenderung memberi sokongan kepada PH berbanding parti sendiri.

"Macam mana pulak dia kata kami tak bersedia ambil alih. Kami berjaya buat himpunan sehingga 200,000 orang, itu maknanya nak ambil alih lah," katanya lagi.--Antarapos
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget