NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangkitan HIV di Malaysia: 'A Cause For Alarm'



Kenyataan Media Ahli Parlimen Kuala Nerus

JANGKITAN HIV DI MALAYSIA : "A CAUSE FOR ALARM"

1. Malaysia merupakan 10 negara yang mencatat lebih 95 peratus bagi semua jangkitan baru HIV dikalangan negara rantau Asia Pasifik, menurut suatu laporan bertajuk, "Ending AIDS: Progress Towards the 90-90 Targets". Lebih membimbangkan, kenyataan Ketua Penolong Pengarah Kanan (HIV/STI) Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Rohaya Ramli baru-baru ini meletakkan penularan jangkitan HIV di Malaysia masih dalam keadaan tidak selamat.

2. Beliau menyebutkan statistik 96 peratus jangkitan HIV berpunca daripada jenis hubungan seksualiti dengan 65 peratus disebabkan homoseksual dan biseksual, manakala baki 31 peratus adalah melibatkan hubungan seksual rambang lelaki dan perempuan. Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jangkitan-hiv-punca-salah-guna-dadah-menurun-homoseksual-dan-biseksual-kini-penyumbang-utama-157506

3. Secara jujurnya, kita masih meragui sasaran sifar jangkitan HIV terutamanya di Kuala Lumpur menjelang 2020. Malah, sasaran Kementerian Kesihatan penurunan 90 peratus virus tersebut menjelang 2030 juga tidak nampak keseriusan.

4. Saya berpandangan kita perlu membezakan di antara "rawatan" dan "pencegahan" di peringkat awal. Kedua-dua mempunyai fokus dan modus operandi yang berbeza. Sekilas kita melihat kehidupan para remaja hari ini dengan pelbagai masalah sosial yang meruncing jelas menampakkan langkah pencegahan awal terlalu longgar.

5. Pergaulan bebas yang tidak terkawal, kes-kes zina termasuk kes bawah umur, berleluasanya golongan LGBT dalam komuniti hari ini semakin membimbangkan dan kesemua faktor ini tidak mustahil akan menyumbang kepada jangkitan virus berkenaan. Selain itu, najis arak, dadah dan budaya hedonisme yang melampau juga secara tidak langsung turut menyumbang kepada jangkitan HIV.

6. Saya melihat pendidikan sebagai teras utama kepada langkah pencegahan yang dimaksudkan selain undang-undang yang mencegah rintang masyarakat daripada terlibat dengan perkara jenayah dan tidak bermoral. Jangan terlalu leka mengejar "angka" dan "gred" sehingga kita terlupa soal "moral" dan "akhlak". Sesungguhnya, keruntuhan sesebuah tamadun disebabkan rosaknya akhlak dikalangan rakyat.

7. Kerajaan sepatutnya serius mengkaji secara objektif mengenai langkah pencegahan awal yang tuntas terhadap masalah sosial yang sedang melanda. Jika "pintu-pintu" ini tidak dibuka, mustahil ada (penyakit) yang akan masuk. Saya ingin menegaskan bahawa hanya agama yang dapat memandu akhlak dan moral dalam diri seseorang individu.

Sekian.

"Inilah Penyelesaian Kita"

Dato" Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Khamis 12hb oktober 2017

http://drtakiri.blogspot.my/2017/10/jangkitan-hiv-di-malaysia-cause-for.html?m=1

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo