Jangan Pandu Dahulu Sebelum Melihat Tayar Kereta Anda - Mungkin Ada Bahaya Tak Terduga



Oleh: Ridza Ahmad Ibrahim

Setelah memandu pulang dari lokasi program yang agak jauh dari kediaman, saya terdengar bunyi yang agak ganjil dari bawah kenderaan. Bagi seseorang pemandu, bunyi yang kedengaran secara tiba-tiba dari kenderaan ini satu petanda kurang baik. Maknanya, ada sesuatu yang tidak kena dengan kenderaan itu.

Kebetulan seorang rakan sekerja mahu menumpang kenderaan saya. Lalu saya minta bantuannya untuk memasang telinga untuk mengesahkan apa yang saya telah dengar. Saya harap bunyi ganjil ini hanya mainan telinga. Maklum sahajalah, setelah memandu beberapa ratus kilometer dan naik turun lembah dan bukit-bukau barangkali lubang telinga saya sudah berdengung dan tidak stabil tekanannya.

“Ya. Memang ada bunyinya selepas kereta memecut melebihi 80 KM sejam.”

Aduh. Hati kecil mula mengaduh.

“Agaknya ini natural speed limit supaya tak melanggar had AES”, katanya berseloroh.

“Tapi, pergilah segera ke bengkel. Bunyi seperti tayar bergegar terutamanya apabila membuat ‘cornering’ mungkin petanda ‘drive shaft’ bermasalah”, katanya dengan nada serius pula.

(Drive shaft adalah batang yang memegang tayar kenderaan)

Aduh. Hati kecil sudah mahu mengomel. Belumpun habis bayaran ansuran takkan kereta sudah sakit begini? Masa lapang pun tak ada untuk singgah menjenguk bengkel.

Saya teruskan memandu, dengan kelajuan di bawah 80 KM sejam, buat sementara waktu hingga tiba suatu hari hujung minggu. Itupun berlaku secara kebetulan; singgah bayar ansuran kereta di bank dan hantar ke bengkel di hadapan bank tersebut.

“Boleh buat alignment dan balancing?”, tanya saya berdasarkan nasihat rakan sekerja. Katanya, apabila tayar bergegar, mula rawat dengan betulkan ‘alignment’ dan ‘balancing’ dahulu. Mungkin tayar tak ‘aligned’ dan ‘balanced’ jadi punca ia bergegar.

“Boleh bang”, katanya sambil menyambut kunci kereta dan menggamit rakan-rakannya membantu.

Seketika dia membelek tayar hadapan kereta saya lalu kemudiannya berpaling ke arah saya dengan muka hairan.

“Bang, tayar kereta abang ni dah tanggal 2 ‘nut’ dan longgar 1 ‘nut’!”

Ya Allah. Tersirap darah saya apabila mendengarnya. Tayar yang tanggal atau longgar skrunya sememangnya tidak akan stabil. Ia bukan sahaja akan bergegar malah skrunya mungkin patah lalu tayar tercabut dan mengakibatkan kemalangan jalanraya.

Dari telahannya, barangkali ada pencuri mahu menanggalkan tayar saya. 2 skru sudah berjaya ditanggalkan. 1 skru dalam proses. Kemudiannya mungkin si pencuri itu terlihat skru keempat yang berlainan bentuk ‘nut’nya kerana sengaja saya pasang ‘screw lock’ maka si pencuri ini ‘give up’ dan tinggalkan kereta saya.

Saya pula tidak pernah ambil kisah nak melihat tayar sebelum memandu. Lalu memandu dalam keadaan tayar yang longgar. Dan mengeluh pula tu. Amboi, macam inilah sikap manusia yang selalunya merungut tanpa usul periksa.

Moral: Periksa tayar dahulu sebelum memandu kerana mungkin ada yang tak kena padanya dan boleh membawa padah. Jika ada sedikit wang lebih, pasang ‘screw lock’ supaya pencuri tak berjaya bawa lari tayar anda.

Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget