Islam adalah law of the land bagi Malaysia

Oleh Mohd Khairul Anwar al-Idrus




Saban hari kita dengar bantahan seperti “Malaysia mengamalkan sistem sekular,” “Malaysia bukan negara Islam”, Malaysia adalah negara sekular bukan negara Islam” dan seumpama itu. Di antara yang bercakap sedemikian telah pun meninggalkan kita seperti mendiang Karpal Singh namun sahutan itu berkumandang kuat terutamanya menjelang pilihanraya umum dibawa oleh DAP yang mengetuai Pakatan Harapan menjelang PRU ke-14.



 Apabila mantan Ketua Hakim Negara, YABhg. Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim melontarkan kata-kata “Islam is the Law of the Land” (lex loci) di negara ini maka bergemuruhlah suara-suara membantah.  Yang peliknya yang membantah juga terdiri daripada pengamal undang-undang dan ahli politik sedangkan proklamasi Islam as law of the land sudah begitu lama diputuskan dalam kes Ramah vs Laton sejak tahun 1927 lagi.



    Penegasan mantan Ketua Hakim Negara bahawa Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan mengukuhkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan juga perlu direnungkan  secara serius oleh ahli akademik, pengamal undang-undang, pentadbir dan ahli politik tempatan. Ia membawa impak yang sangat besar, sebagaimana diungkapkan oleh Tun Ahmad Fairuz bahawa:


“Undang-undang yang berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal setakat ianya berlawanan. Justeru itu, undang-undang yang berlawanan dengan al-Qur’an dan Sunnah juga turut terbatal, setakat mana ianya berlawanan dengan al-Qur’an dan Sunnah.”

   

Satu perkara yang ramai orang sudah lupa barangkali ialah sudah enam kurun lamanya Islam terpasak sebagai lex loci dalam sistem pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Lama di bawah pemerintahan Raja-Raja Melayu, jauh begitu lama sebelum kehadiran Portugis. Undang-Undang Islam dan adat Melayu terpakai di Negeri-Negeri Melayu yang berdaulatkan Raja-Raja  Melayu yang beragama Islam sebgaimana yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka, Kanun Laut Melaka, Kanun Pahang, Undang-Undang Johor Undang-Undang Pahang, Undang-Undang Riau, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang  99 Perak dan sebagainya yang berkuatkuasa ketika itu.

    Beberapa hal yang berbangkit berkaitan “isu Dobi Muslim”, isu penangkapan Ustaz Zamihan Mat Zin dan Ustaz Wan Ji Wan Hussin yang dikaitkan dengan Titah KDYMM Sultan Johor, KDYMM Sultan Selangor dan DYMM Raja Perlis seharusnya tidak menjauhkan kita daripada hakikat bahawa sebelum kehadiran penjajah di Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu sudah ditadbir-urus di bawah Undang-Undang Islam dan Adat Melayu sekian lamanya.

    Oleh itu apabila ada suara-suara m engatakan suapay “jangan masukkan agenda Islam dalam perlembagaan dan undang-undang negara” mereka itu sebenarnya buta sejarah.  Mereka teraba-raba mencari apa jua alasan untuk menafikan fakta sejarah bahawa Islam sudah bertapak lama di Tanah Melayu dan berjaya membina sebuah tamadun besar berupa sebuah Empayar Melayu Melaka!  

Sejarah adalah catatan benar detik berlakunya sesebuah insiden atau peristiwa. Bergantunglah sama ada peristiwa itu disaksikan oleh sekian ramai orang lalu dicatatkan atau dikisahkan orang lalu dicatatkan setelah dibuktikan benar-benar berlaku. Di sinilah kita lihat betapa pentingnya supaya rakyat kita, generasi tua dan muda, jangan sekali-kali lupa pada hakikat sejarah benar negara kita Malaysia; tanah air kita tempat tumpahnya darah kita.

Sebelum sebuah “Tanah Melayu” muncul pada 31 Ogos 1957 sebagai sebuah negara bangsa (nation state) yang merdeka lagi berdaulat lengkap-sempurnanya dengan sebuah Perlembagaan Persekutuannya sebagaimana adanya pada hari ini, bahawasanya beratus tahun sebelumnya telah wujud sebuah tamadun unggul berupa Kerajaan-Kerajaan Melayu Lama yang juga mempunyai “Undang-Undang Tubuh”nya yang kita kini istilahkan sebagai “perlembagaan.”

Merdekanya Tanah Melayu daripada pentadbiran British pada tanggal 31 Ogos 1957 kerap ditafsirkan oleh sarjana dan masyarakat umum sebagai “bebasnya Tanah Melayu daripada penjajahan British.” Inilah “fakta sejarah” yang diajarkan oleh sejarawan Barat kepada sejarawan kita. Itu jugalah norma yang sudah difahami dan disambut dengan bangga bahawa sudah 60 tahun negara bebas daripada cengkaman British setelah “dijajah” Jepun, Belanda dan Portugis sejak 1511M.

Lantaran itu tajuk ini seringkali diulang-bicara dalam pelbagai platform; dari dewan kuliah universiti dan IPT tempatan, saluran pelbagai media terutamanya media sosial sehinggalah ke perbahasan dalam Dewan Rakyat. Malah ia juga pernah menjadi written judgement oleh para Hakim yang bijaksana dalam mahkamah negara sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. Kesimpulan mudah yang boleh kita perolehi: ramai kalangan menulis secara selective, dengan maksud dan tujuan tersendiri; jarang yang berani mengupas secara ilmiah tanpa prejudis dan ketertikatan dengan fahaman kumpulan yang ia anggotai.

    Dr. Abdul Aziz Bari pernah menyatakan:

“Berbalik kepada kedudukan di dalam sistem tradisional ramai sarjana yang kelihatannya terkeliru dengan apa yang terpapar di dalam Kanun Melaka yang pada hakikatnya adalah perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka. Mereka menyimpulkan bahawa melihat peruntukan-peruntukan di dalam kanun tersebut Raja Melaka mempunyai kuasa mutlak. Tanggapan ini timbul kerana mereka jahil tentang kedudukan dan peranan Raja dalam pemerintahan: mereka bertanggungjawab kepada Allah SWT di dalam memastikan pelaksanaan hukum-hukum Islam. Sarjana-sarjana berkenaan jelas tidak memahami hakikat hukum Islam yang sebenarnya adalah manifestasi kedaulatan mutlak Allah SWT. Kita mesti ingat bahawa Kanun Melaka adalah sebuah kanun perundangan yang berteraskan hukum Islam – yang turut mengandungi hukum hudud dan qisas – sebagaimana yang dihuraikan dalam mazhab Syafi’i.  Dengan kata lain, Kanun Melaka bukanlah kanun yang memperincikan kehendak dan hukum yang ditentukan oleh Raja Melaka. Mungkin perlu disebutkan di sini bahawa kesedaran atau ilmu perlembagaan Islam perlu sebelum seseorang itu cuba mentafsir kandungan Kanun Melaka itu.  Ilmu dan metodologi sejarah sahaja tidak mencukupi untuk kita memahami kedudukan dan konteks Kanun Melaka kerana sebenarnya ialah adalah sebuah dokumen undang-undang perlembagaan. Meskipun begitu perlembagaan kita tidak harus difahami dalam konteks undang-undang perlembagaan Inggeris kerana kita masih mengekalkan kedudukan Islam di dalam sistem perlembagaan dan perundangan kita.”


Hakikat bahawa bahawa Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah bersumberkan Perlembagaan Persekutuan 1948 adalah fakta yang sudah disepakati ahli perundangan dan sejarah Tanah Melayu. Begitu juga dengan fakta bahawa Perlembagaan Persekutuan 1948 adalah berasaskan Kanun Melaka yang menjadi teras perlembagaan Kesultanan Melayu Melaka sebagaimana dihuraikan di atas.

Dalam hal ini elok juga kita perhatikan bahawa:

“Bantahan pemimpin non-muslim itu disokong pula oleh golongan liberal atas alasan Malaysia adalah sebuah negara sekular. Penghujahan mereka seolah-olah menafikan kewujudan Perlembagaan dan Kerajaan-kerajaan Melayu sebelum Hari Merdeka. Suatu fakta yang perlu dihormati dan tidak boleh disisihkan oleh mana-mana pihak bahawa Semenanjung Tanah Melayu sudah mempunyai konsep dan atatcara pemerintahan yang berstatus perlembagaan bertulis sewal penggubalan dan perlaksanaan Kanun Melaka, dan perlembagaan-perlembagaan negeri sebelum penginstitusian Perlembagaan Persekututan Tanah Melayu pada tahun 1957.”


Mengikut rekod sejarah perundangan negara, sebelum lahirnya Kanun Melaka yang berteraskan Islam sebagai dasar pemerintahannya itu, di sana telah sedia wujud juga sebuah Kerajaan Melayu Lama lengkap dengan sebuah “Perlembagaan Melaka Tua” yang sudahpun pun mempunyai sebuah struktur undang-undang tubuhnya atau perlembagaan yang berasaskan adat istiadat Melayu bersumberkan sebuah Wa’adat berupa wasiat ulung yang termeteri di antara Sang Sapurba (mewakili golongan DiRaja) dan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat jelata). Di situlah bermulanya undang-undang watan atau lexi loci (law of the land) yang menjadi teras sejarah perundangan Melayu sebelum kehadiran undang-undang Islam dan Common Law Inggeris.

    Prof. Ahmad Ibrahim telah mengungkapkan di awal perenggan buku klasik sejarah perundangannya mengenai betapa pentingnya Undang-Undang Islam dan Undang-Undang adat yang terpakai di Tanah Melayu (Malaya), jauh terdahulu beratus tahun lamanya sebelum kehadiran English Law:

“When Roland Braddell published the Laws of the Straits Settlements in 1915, the Straits Settlements were still the most important of the areas under the British influence in South East Asia.  It was still possible for him to devote the chapter on “Legal History” to what is in effect an account of the reception of English law in the Straits Settlements. Legal history begins with the acquisition of Penang in 1786 and the Charters of Justice of 1807, 1826 and 1885.  By the time the Federation of Malaya was constituted in 1947, the position had changed somewhat and would have been less true to say that the legal history of Malaya began with the introduction of English law into Malaya. But as the Civil Law Enactment of 1937 had made English law in practice the basic law in the Malay States and as whatever customary law or Muslim law was followed was administered mainly outside the ordinary Courts, it was still possible to speak of the history of the law in Malaya in terms of the reception of English law. With the establishment of Malaysia, however, the emphasis has or should change. Native customary law plays a much more important part in East Malaysia than it does in West Malaysia or Singapore and one must go beyond 1786 to truce the history of the law in Malaysia. It is not that this was not always true – but the relevance of customary law has increased, the emphasis need to be changed, and it is fitting and perhaps necessary that we should take a larger perspective in Malaysia.”

    Demi sesungguhnya pengkisahan yang dibawa oleh mereka yang degil mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara sekular itu jauh amat berlainan sekali daripada versi Titah DiRaja Paduka Seri Sultan Perak baru-baru ini apabila KDYMM Tuanku Sultan bertitah bahawa:

“Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi.”

Demi sesungguhnya, perlembagaan sesebuah negara, sui generis sifatnya, iaitu, berada dalam kelas tersendiri dan tidak sekadar dokumen undang-undang. Perlembagaan Persekutuan pada hakikatnya mengandungi semangat dan roh negara, mencerminkan persetujuan-persetujuan yang dicapai ketika negara memperoleh kemerdekaan; memperlihatkan semangat persefahaman – mempamerkan kesediaan berkompromi pelbagai pihak, mencerminkan satu kehalusan seni yang berjaya mengimbangkan kepentingan-kepentingan yang saling bercanggah –  memanifestasikan pencapaian kata sepakat antara takhta dengan rakyat, antara rakyat sesama rakyat yang berlatar belakangkan pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa. Perlembagaan Persekutuan digubal bersumberkan warisan sejarah, satu kesinambungan yang berjaya mengekalkan tradisi ketika mengharung modenisasi. Termaktub di dalamnya, aspek warisan berkerajaan - aspek sejarah bernegara, berpayungkan Raja, bertiangkan Islam, bersalut budaya dan bahasa peribumi.

Dan apabila bercakap mengenai Tanah Melayu, rakyat, pemimpin, Raja-Raja Melayu dan kemerdekaan, ada tiga faktor pengikat utama: perjuangan bangsa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Agama Islamlah yang mengikat ketiga-tiga entiti berkenaan. Maka benarlah Titah DiRaja apabila Wakil Raja-Raja Melayu menitahkan:

“Ketika dilambung ombak globalisasi, warga perlu bijaksana mengimbangkan antara tuntutan tradisi dan permintaan modenisasi, agar air tempayan tidak terlalu cepat dicurahkan kerana mendengar guruh di langit. Institusi Raja adalah penerusan tradisi untuk mengekalkan identiti negara bangsa, satu lambang kedaulatan – payung mahkota negara. Institusi Raja mungkin pelita lama tetapi kekal memancarkan cahaya. Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sudah menyingsing; ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, warga mula teraba-raba, hilang haluan diselimuti kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi.”

Pastinya rakyat yang bijak akan berkata Titah Paduka Seri Sultan Perak sebagai sejarah benar Tanah Melayu yang kini menjadi Malaysia di mana Islam menjadi pasak terpenting kewujudannya.


Mohd. Khairul Anwar al-Idrus,
Kuala Lumpur
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget