NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Indeks Harga Pengguna naik 4.3%



KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan meningkat lebih tinggi pada kadar 4.3 peratus bagi bulan September 2017 kepada 120.3 daripada 115.3 pada bulan yang sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks pengangkutan (+15.8 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.6 peratus), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+2.8 peratus), restoran & hotel (+2.6 peratus), kesihatan (+2.5 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.4 peratus).

Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 15.8 peratus pada asas tahun ke tahun bagi September 2017, naik 11.7 peratus pada Ogos 2017, menurut Jabatan Perangkaan.

Harga purata 1 liter petrol RON95 ialah RM2.19 pada September 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.70 pada September 2016.

Bagi petrol RON97, harga purata ialah RM2.48 pada September 2017 berbanding RM2.05 pada September 2016. Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus kepada wajaran IHP.

Indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.6 peratus pada September 2017, didorong oleh indeks subkumpulan makanan minyak dan lemak (+39.6 peratus), ikan dan makanan laut (+8.0 peratus), sayur-sayuran (+4.8 peratus) dan buah-buahan (+3.9 peratus).

Bagi indeks makanan di luar rumah, ia terus meningkat pada September 2017, melonjak 5.1 peratus.

Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan September 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+49.1 peratus), sawi (+13.0 peratus), ikan kembong (+11.0 peratus), bayam (+10.9 peratus), sotong (+9.1 peratus), ikan cencaru (+6.8 peratus), ikan tenggiri (+6.8 peratus) dan kobis bulat (+6.7 peratus).

Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti ayam (-3.5 peratus), timun (-2.0 peratus) dan kacang buncis (-1.2 peratus).

Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor & Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.

Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional bagi September 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016.

Indeks bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol naik 5.8 peratus di Melaka, 5.3 peratus di Johor, 5.3 peratus di Sabah dan Labuan, 5.2 peratus di Pulau Pinang, 5.0 peratus di Kedah & Perlis dan 4.7 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol kekal pada 130.1 pada September 2017, meningkat 0.4 peratus pada Ogos 2017.

Sementara itu, indeks kumpulan bukan makanan naik 0.5 peratus pada September 2017 berbanding bulan sebelumnya.

Inflasi teras naik 2.4 peratus bagi September 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (+4.5 peratus), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.8 peratus), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (+2.8 peratus), restoran & hotel (+2.6 peratus), kesihatan (+2.5 peratus) dan pengangkutan (+2.1 peratus).

IHP bagi tempoh Januari hingga September 2017 mencatatkan kenaikan sebanyak 4.0 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol merupakan pendorong utama kepada kenaikan IHP bagi tempoh Januari hingga September 2017, mencatatkan peningkatan 4.2 peratus.

Peningkatan itu disebabkan kenaikan indeks makanan di luar rumah (+4.6 peratus) dan makanan di rumah (+4.4 peratus).

Manakala indeks kopi, teh, koko & minuman bukan alkohol turun 0.4 peratus.

Antara subkumpulan Makanan Di Rumah yang mengalami kenaikan signifikan dalam tempoh ini ialah minyak & lemak (+39.0 peratus), ikan & makanan laut (+6.6 peratus), sayur-sayuran (+4.2 peratus), buah-buahan (+3.2 peratus) dan daging (+3.0 peratus).

Kumpulan utama lain yang menyumbang kepada kenaikan IHP dalam tempoh ini ialah Pengangkutan (+13.9 peratus), kesihatan (+2.6 peratus), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (+2.4 peratus), restoran & hotel (+2.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.2 peratus).

Inflasi teras, yang mana tidak termasuk makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal mencatatkan perubahan dalam julat antara 2.3 peratus hingga 2.6 peratus dalam tempoh Januari hingga September 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette
© all rights reserved
made with by templateszoo