Dr M kena bertanggungjawab kes penahanan Operasi Lalang



KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesilapannya 30 tahun lalu yang menyebabkan 106 orang hidup dalam penderitaan kerana ditahan tanpa bicara dalam Operasi Lalang.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy mendakwa sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir berkuasa penuh untuk mengarahkan penahanan individu terbabit mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Katanya, desakan berkenaan disuarakan sendiri keluarga tahanan kepada SUARAM dan 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena ulang tahun ke-30 Operasi Lalang di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini semalam.

"Antara yang membuat desakan adalah keluarga Pengarah SUARAM, Dr Kua Kia Soong. Pendirian kami adalah tegas, sama ada mahu atau tidak, Dr Mahathir perlu meminta maaf. Bukan susah pun meminta maaf dan mengaku kesalahan dilakukan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sevan diminta mengulas kenyataan media dikeluarkan SUARAM bersama 76 NGO semalam, berhubung tuntutan agar Dr Mahathir meminta maaf kepada keluarga mangsa Operasi Lalang.

Desakan NGO menerusi kenyataan media

Desakan NGO menyokong pakatan pembangkang itu dikeluarkan menerusi kenyataan media sempena pameran awam bagi memperingati ulang tahun ke-30 Operasi Lalang, semalam.

Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987 membabitkan penahanan 106 orang sebahagian besar ahli politik pembangkang dan beberapa ahli politik dari UMNO dan MCA, manakala permit penerbitan akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watandibatalkan.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) adalah pengerusi pakatan pembangkang dianggotai PPBM, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Selain SUARAM, tiga NGO memulakan insiatif membuat kenyataan media iaitu Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala (KLSCAH), Pemuda KLSCAH, dan Badan Amanah Teoh Beng Hock bagi Demokrasi.

Serah kepada Dr M mohon maaf

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menyerahkan kepada Dr Mahathir, sama ada memohon maaf atau sebaliknya berhubung penahanan 106 orang tanpa bicara semasa Operasi Lalang 30 tahun lalu.

Beliau yang menjadi Ketua Polis Negara ketika itu berkata, penahanan selama 30 hari mengikut ISA adalah untuk membantu siasatan polis dan menjaga keselamatan negara.

"Terserah kepada Dr Mahathir, sama ada memohon maaf atau sebaliknya. Bagaimanapun, saya tak nampak keperluan beliau berbuat demikian," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengenai, desakan kumpulan itu agar siasatan lengkap dibuat berhubung dakwaan tahanan berkenaan diseksa, Hanif enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mau komen apa-apa mengenainya," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/10/344028/dr-m-kena-bertanggungjawab-kes-penahanan-operasi-lalang
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget