NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Adakah saya suara sumbang?



Berdasarkan apa yang dilaporkan oleh media massa, nampaknya saya seorang sahaja yang menghujahkan mengenai hak pengusaha dobi (laundret) untuk meletakkan tanda “Untuk Orang Islam Sahaja” itu.

Yang  lainnya, daripada tokoh koporat, Mufti, parti politik Islam pembangkang, Perdana Menteri, Majlis Raja-Raja dan lain-lain sama ada tidak bersetuju hinggalah mengutuk tindakan pengusaha dobi tersebut.

Dua kumpulan agak senyap, jika saya tidak terlepas pandang. Pertama parti-parti politik dan NGO-NGO bukan Islam. Saya tidak tahu apakah sebab yang sebenar. Mungkinkah mereka tidak perlu berbuat apa-apa. Biarlah orang Islam menghentam orang Islam sendiri.

Satu kumpulan lagi ialah kumpulan "ulama" selain daripada ISMA yang mengeluarkan kenyataan dan memuatkan rencana saya sepenuhnya di portalnya. PAS menyiarkan rencana itu sepenuhnya dalam Harakah Daily. Tetapi saya tidak jumpa pula kenyataan daripada Presidennya atau Jawatankuasa Ulamanya . Persatuan Ulama dan Ulama Muda juga tidak bersuara. Tidak seorang pun Mufti mempertahankan tindakan pengusaha dobi itu. Mungkinkah kerana Raja-Raja mereka, melalui Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyatan menyokong Sultan Johor? (Maaf jika terdapat kesilapan. Pembetulan dihargai)

Jika dilihat secara kasar, nampak seolah-olah suara saya adalah suara  sumbang.

Tetapi, dalam masa sembilan hari saya menaikkan rencana itu ke laman-laman web saya, jumlah pelawat kepada  kedua-duanya adalah sebanyak 2,206. Saya juga menerima response daripada orang-orang yang saya tidak kenali melalui email. Di antara mereka terdapat peguam, ahli perniagaan, ahli koporat, profesor dan orang yang saya tidak tahu profesyen mereka. Apabila ditanya di mana mereka membacanya, mereka mengatakan mereka menerimanya melalui WhattsApp. Mereka juga memberi tahu saaya bahawa rencana itu telah menjadi tular (viral); bahawa terdapat banyak sokongan senyap dan banyak NGO menyokong.

Yang menariknya ialah mereka bukan sahaja menyatakan mereka bersetuju, menyatakan sokongan dan syabas, mengucapkan tahniah kerana membela hak pengusaha dobi itu. Lebih menarik lagi adalah alasan yang mereka beri.

Seorang peniaga menyifatkan hujah-hujah saya itu  sebagai tepat dan asli; seorang lagi mengatakan ia adalah hujah yang paling rasional yang beliau baca; ada yang mengatakan hujah terbaik; seorang ahli koporat menyifatkan rencana itu sebagai sangat "articulate" , malah ada yang mengatakan rakan-rakan  mereka di akhbar harian nasional Melayu memuji hujah-hujah saya itu. Mereka melihat kepada hujah, bukan kenyataan yang dibuat.

Biar apa pun, hingga ke hari ini belum ada orang menulis satu rencana untuk menunjukkan bahawa hujah-hujah saya itu tidak betul.

22 10 2017

Tun Abdul Hamid Mohamad
Hp +6 018 255 5354
tunabdulhamid@gmail.com
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me
© all rights reserved
made with by templateszoo