NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

SPR Dibenar Rayu Keputusan Pindaan Sempadan



PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan mahkamah rayuan yang menyebelahi tiga pengundi Hulu Selangor berhubung perubahan sempadan kawasan pilihan raya Kuala Kubu Bahru (KKB) dan Batang Kali.

Ini berikutan kebenaran diberikan oleh panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan kepada SPR dan Ketua Penolong Setiausahanya.

Pada 3 Julai tahun ini, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada tiga pengundi itu – P.Maradeveran, Zahar Rusuli dan Yong Chan Hee, memulakan cabaran perundangan menerusi semakan kehakiman terhadap keputusan SPR mengubah sempadan kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop yang mempengerusikan panel disertai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Azahar Mohamed, berpendapat wujud persoalan undang-undang yang memerlukan hujah seterusnya.


Hakim Ahmad memberi kebenaran kepada SPR untuk merayu terhadap permohonan berhubung persoalan undang-undang yang mana Mahkamah Persekutuan akan menetapkan hari lain untuk mendengar rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan akan memutuskan tentang isu termasuk sama ada pengundi boleh mencabar di mahkamah mengenai daftar pengundi yang telah diwartakan.

Mahkamah itu juga akan menentukan sama ada permohonan pengundi itu mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman telah difailkan dalam tempoh ditetapkan.

Pada 25 Januari tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pengundi atas alasan semakan kehakiman mereka difailkan di luar tempoh ditetapkan.

Mahkamah itu membuat keputusan tersebut setelah membenarkan bantahan awal SPR.Mahkamah rayuan mengubah keputusuan itu selepas membenarkan rayuan pengundi.

Dalam permohonan itu, tiga pengundi itu berkata pada 29 April, 2016, SPR telah menerbitkan notis merujuk Warta Persekutuan untuk memberitahu tentang perubahan daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Petisyen Pilihan Raya 1958.

Maradeveran dan Zahar yang merupakan pengundi bagi kawasan Batang Kali menulis kepada SPR dengan menyatakan bahawa hak mereka telah terganggu dengan teruk selepas mereka dapati pada 24 Julai tahun lepas yang kawasan pilihan raya mereka telah ditukar dari Batang Kali kepada KKB.

Yong, seorang pengundi di kawasan KKB mendakwa beliau terjejas teruk akibat perubahan kawasan pilihan raya KKB dan Batang Kali.

Peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili SPR, sementara peguam Gobind Singh Deo mewakili pengundi berkenaan. - BERNAMA 
© all rights reserved
made with by templateszoo