Saman individu berseluar pendek bersifat mendidik



Sebelum ini pun memang ada individu yang dikenakan tindakan sama (saman) tetapi selepas menghadiri sesi kaunseling mereka faham dan tidak dikenakan denda - (Mohd Fadzuli Mohd Zain, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAHEAIK)

KOTA BHARU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menegaskan tindakan saman terhadap lelaki dan wanita Islam yang berpakaian tidak sopan lebih bersifat mendidik berbanding hukuman denda.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAHEAIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata individu yang menerima notis saman daripada pihaknya hanya diminta menghadiri sesi kaunseling tetapi jika ingkar boleh dikenakan denda RM1,000.

“Sebelum ini pun memang ada individu yang dikenakan tindakan sama (saman) tetapi selepas menghadiri sesi kaunseling mereka faham dan tidak dikenakan denda,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas seorang lelaki berusia 30 tahun menularkan dalam media sosial tindakan Jaheaik mengeluarkan notis saman kepadanya kerana memakai seluar pendek baru-baru ini.

Lelaki terbabit mendakwa dia hanya berhenti di sebuah gerai menjual burger dengan memakai seluar pendek kerana baru selesai bermain futsal.

Mohd Fadzuli berkata tindakan jabatannya adalah amalan biasa kerana sebelum ini seramai 85 individu menghadiri sesi kaunseling yang diadakan dalam tempoh Januari hingga Mei lepas manakala 72 orang lagi akan mengikuti sesi kedua kaunseling bulan depan.

Beliau berkata tindakan terhadap individu Islam yang berpakaian tidak sopan dilakukan mengikut  Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 Negeri Kelantan.

JAHEAIK sentiasa menyertai operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, katanya.

Beliau berkata dalam operasi bersepadu bersama beberapa agensi penguat kuasa pada Isnin lepas (25 Sept) di Jalan Kuala Krai di sini, pihaknya telah membuat pemeriksaan di lokasi tersebut dan mengeluarkan 11 saman dalam kategori tidak sopan ke atas tujuh lelaki Islam berseluar pendek dan empat wanita Islam tidak bertudung dan berpakaian ketat.

Katanya kesemua yang diserahkan notis saman diarahkan untuk hadir sesi kaunseling yang bertujuan bagi mendidik umat Islam supaya berpakaian sopan menutup aurat khususnya di tempat awam. - Bernama
Labels:
Reactions:
[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget