NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rohingya: Kisah terkini dari bumi Arakan - PASRelief (Bahagian 1)



Ikuti  perkembangan  terkini  bersama wakil PASRelief  keadaan  kaum  Rohingya  yang  sedang dihapuskan di negara  mereka  Arakan  , Myanmar  . Mereka sedang  melarikan  diri ke  sempadan Bangladesh  untuk  menyelamatkan nyawa tanpa apa-apa  bekalan.                                                 

Lari bersembunyi di hutan tidak bermakna selamat,  kerana hutan lebih banyak bahaya dari pelbagai punca. 


Pulang semula ke kampung yang telah dibakar binasa semuanya, akan membinasakan nyawa pula. Satu-satunya pilihan yang ada hanyalah merentasi sempadan negara, merentasi bukit bukau dan sungai menjadi pelarian di negara jiran. 

Kumpulan yang tidak sempat pun masuk ke hutan, tergopoh gapah meredah kelam subuh menuju sempadan sebaik sahaja kampung sebelah dibantai dan dibakar.  Belumpun rumah dan kampung halaman hilang dari pandangan,  api dan asap mula menjulang membakar rumah tinggalan mereka. 


Apa saja yang sempat di sambar, digalas, dijinjing sepanjang jalan menuju sempadan. Orang tua dan wanita yang uzur diusung bergilir-gilir oleh anak dan saudara mara. Sebahagiannya mati dijalanan. 

Yang tidak sempat lari, atau tiada upaya untuk pergi, maut pun menerpa mereka di hujung senjata api, parang dan api dan asap, ada yang hangus rentung bersama rumah. Setelah menguruskan mayat ibu bapa, anak dan ahli keluarga, sisa  yang bernyawa pun berangkat juga ke sempadan.



Ini fasa terakhir Myanmar laksanakan genocide kepada Muslim Rohingya dia Arakan,  projek yang dimulakan selepas merdeka pada 1948. Digiatkan sejak 1962 selepas junta merampas kuasa dan memerintah sehingga 2005. 

Pada 1982, Akta Kerakyatan diluluskan,  semua etnik Muslim Rohinga dilucutkan kerakyatan bersama semua hak sebagai warga negara.


Sejak 1979, Bangladesh menjadi lokasi pelarian kerana jaraknya yang hampir,  sebahagian lagi bertebaran ke seluruh dunia. Tiga juta telah meninggalkan Burma (Myanmar)  sejak operasi genocide dimulakan, dan fasa terkahir ini untuk mengosongkan tiga daerah di bahagian utara Arakan - Buthidaung, Muangdaw dan Rathedaung. 

Setelah kekejaman ke atas Muslim Rohingya selama berdekad-dekad, masyarakat dunia dipaksa menyaksikan ribuan senario, peristiwa,  gambar dan video yang luar biasa, yang mencabar ketamadunan manusia.

Kritikan, teguran, kecaman dan desakan komuniti atau agensi antarabangsa  supaya Myanmar menghargai nyawa manusia, hak asasi dan sejarah,  serta berhenti daripada berhati binatang, tidak memberi sebarang bekas.

Inilah yang kami saksikan dalam misi PASRelief kali ke empat ke kawasan tumpuan pelarian Muslim Rohingya di Bangladesh - Ramu, Ukiya, Kutupalong,  Balukhali, Thankhali hingga ke Teknaf. Misi ini paling meremukkan hati, kondisi Muslim Rohingya di sini pada waktu ini sukar sekali ditulis dengan perkataan. Kami kirimkan dulu gambar-gambar dan video sebagai jurubicara. 

Muhammad Sanusi Md Nor
Pengarah PASRelief

Bersama:
Mohd Shahir Abu Hassan
Hj Awang Salahuddin Hashim
Dari Cox's Bazaar
Bangladesh 


© all rights reserved
made with by templateszoo