NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan: Perpaduan kaum diperkasa - Johari Yap



BARU-baru ini, saya telah dijemput oleh saudara Mohd Fariz Mat Rahim untuk menjadi moderator Bengkel Brainstorming anjuran Pusat Integrasi Antara Kaum (Peka). Mohd Fariz merupakan Pegawai Khas Exco Kerajaan Negeri, YB Datuk Haji Anuar Tan, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan.

Peka yang dipengerusikan oleh saudara Lim Guan Seng ini merupakan salah satu platform kerajaan negeri untuk mengekalkan keharmonian antara kaum di Kelantan. Peserta bengkel ini terdiri daripada pengerusi dan setiausaha Peka peringkat daerah dari seluruh Kelantan.

Setiap idea yang diutarakan akan dibawa kepada pihak kerajaan negeri untuk diperhalusi sebelum dijadikan Dasar Hubungan Antara Kaum Negeri Kelantan. 

Bagi saya, ini merupakan cara terbaik kerana dasar yang digubal mengambil kira suara rakyat, bukan dibuat secara syok sendiri oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Antara yang dibincangkan ialah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberi kesan ke atas peniaga kecil mahupun besar, dasar hiburan termasuk pewujudan panggung wayang di Kelantan, pemilikan rumah dan hartanah oleh penduduk bukan Melayu serta program kebudayaan untuk menggalakkan interaksi antara rakyat pelbagai kaum.

Umum mungkin sudah mengetahui bahawa perpaduan dan keharmonian di Kelantan telah wujud dan erat sejak sekian lama, tetapi usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan perpaduan serta menambah baik keharmonian antara kaum harus dipuji. 

Menurut laporan Banci Pen-duduk dan Perumahan Malaysia 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Kelantan berjumlah 1,539,601 dengan masyarakat Cina hanya seramai 51,614 (3.3 peratus), India 3,849 (0.2 peratus) dan lain-lain kaum berjumlah 9,188 (0.6 peratus). Walaupun bilangan penduduk bukan Melayu amat kecil, mereka tidak pernah dipinggirkan, malahan suara mereka tetap didengar.

Inilah uniknya negeri Kelantan. Jika anda mahu melihat orang Melayu minum di kedai kopi milik peniaga Cina, anda boleh melihatnya di Kelantan. Kedai kopi tersebut mempunyai pelayan atau tukang masak orang Melayu. Ada juga yang mengamalkan kerjasama perniagaan yang unik di mana pemilik kedai kopi menyediakan kopi Hainan yang beraroma manakala peniaga Melayu pula menjual makanan padang atau nasi berlauk. 

Kita boleh lihat pelanggan Melayu dan Cina duduk makan di restoran yang sama. Budaya atau suasana sebegini amat jarang kelihatan di bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia. Tetapi, saya pernah lihat konsep yang sama di bandar raya Kuching, Sarawak yang juga terkenal dengan nilai-nilai perpaduan yang amat tinggi.

Yang paling menarik ialah kebolehan masyarakat bukan Melayu di Kelantan menguasai bahasa Melayu dialek Kelantan. Sahabat saya yang pertama kali datang ke Kelantan begitu terpegun dengan kefasihan kaum bukan Melayu di Kelantan “kecek Kelate”; tidak kira Cina, India, Mamak mahupun Siam. Mereka malah menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan untuk berkomunikasi sesama bukan Melayu.

Bukan itu sahaja, masyarakat Cina di Kelantan sering meraikan budaya Melayu. Sebagai contoh, komuniti Cina di Kampung Joh, Machang turut bergotong-royong memasak dua kawah bubur asyura seperti yang pernah dilaporkan media pada tahun 2015.

Penganjurnya, Tan Chu Lam berkata, mereka melakukannya sendiri dalam usaha mengeratkan hubungan sesama kira-kira 70 keluarga Cina di kawasan tersebut. Ia tidak menjadi masalah kerana mereka mempunyai pengalaman memasak bersama-sama masyarakat Melayu di kampung tersebut pada tahun sebelumnya.

Di Kelantan, bubur asyura bukan sahaja digemari orang Melayu, malah turut digemari masyarakat Cina kerana mereka sering menerima bubur tersebut daripada sahabat Melayu mereka. Ia telah menjadi kebiasaan sejak kecil lagi dan sudah sebati dengan kehidupan mereka. Ramuan disiapkan sepenuhnya oleh orang Melayu, mereka hanya perlu memasak bubur tersebut.

Peserta bengkel anjuran Peka baru-baru ini turut mencadangkan agar diperbanyakkan lagi acara atau aktiviti budaya yang melibatkan kaum lain. Antaranya, dengan mengajak masyarakat Melayu untuk sama-sama membuat kuih bulan yang menjadi kegemaran masyarakat Cina. 

Semoga keharmonian dan perpaduan antara kaum yang dicapai selama ini akan berterusan dan bertambah kukuh agar keamanan turut dirasai generasi akan datang.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/johari-yap/kelantan-perkasa-perpaduan-kaum-1.729333
© all rights reserved
made with by templateszoo