NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GPMS kutuk tindakan demonstrasi membantah penyembelihan haiwan korban di Pulau Pinang



KENYATAAN MEDIA
6 SEPTEMBER 2017
GPMS NEGERI PULAU PINANG MENGUTUK TINDAKAN DEMONSTRASI MEMBANTAH PENYEMBELIHAN HAIWAN QURBAN DI PERSIARAN GURNEY, PULAU PINANG


GPMS Negeri Pulau Pinang mendapati terdapat sekumpulan di kalangan orang bukan Islam telah menganjurkan bantahan terhadap amalan ummat Islam melaksanakan ibadah qurban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti kambing dan lembu di Persiaran Gurney, Pulau Pinang baru-baru ini. Gambar perhimpunan membantah penyembelihan untuk ibadah qurban ini juga telah ditular sejak semalam.


GPMS Negeri Pulau Pinang melihat tindakan mengadakan bantahan terhadap penyembelihan yang menjadi amalan ummat Islam lebih daripada 1400 tahun yang lalu adalah suatu tindakan yang sangat melampau, biadap dan bersifat provokasi agama yang telah membangkitkan kemarahan di kalangan ummat Islam negeri dan negara ini. Tindakan mereka yang berhimpun ini menujukkan mereka tidak menghormati agama Islam dan cuba mencampuri urusan agama Islam. Malah, melalui kain rentang dan sepanduk yang dipamerkan, amat jelas mereka dengan secara terang-terangan mengutuk dan mendakwa bahawa tindakan ummat Islam menyembelih haiwan ini disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan, kolot serta menganianya haiwan.


Bagi GPMS Negeri Pulau Pinang, adalah amat tidak wajar untuk seorang bukan Islam mencampuri urusan agama Islam. Malah sebagai rakyat yang hidup di dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama, sewajarnya kita saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.


Harus diingat, sejak sebelum merdeka sehinggalah hari ini, tidak pernah ummat Islam di negara ini mengadakan sebarang himpunan atau demonstrasi bagi membantah kepercayaan sesuatu agama. Contohnya demonstrasi mengutuk tindakan penganut Hindu berarak di jalan raya ketika Thaipusam yang menyebabkan jalan sesak dan mengutuk tindakan mencucuk seluruh badan dengan benda tajam yang kelihatan ganas dan tidak bertamadun, atau mengutuk tindakan amalan agama kaun Cina yang membakar colok, gaharu dan kertas-kertas sehingga mencemarkan udara serta mengotorkan jalan raya dan kawasan perumahan. Ini kerana bagi ummat Islam, kita diajar untuk menghormati amalan agama lain seperti yang disebut di dalam Durah Al-Kafirun ayat 4-6, “Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.


Justeru, GPMS Negeri Pulau Pinang ingin memberi amaran supaya mereka yang terlibat tidak mengulangi lagi tindakan ini bagi memastikan toleransi antara agama dan keharmonian antara kaum dapat terus dikekalkan. Kita juga ingin menasihati mereka yang berhimpun ini agar berilah tumpuan dan belas ehsan kepada kaum Rohingya, manusia-manusia yang disembih kejam oleh tentera Myanmar di Arakan. Bukan setakat disembelih, malah ada yang dibakar hidup-hidup, ditanam hidup-hidup, ditembak hingga mati, diseret dengan kenderaan hingga hancur dan pelbagai lagi bentuk kezaliman yang jauh memerlukan pembelaan. Janganlah melihat kepada isu kecil sehingga isu besar yang sepatutnya mendapat pembelaan langsung tidak dipedulikan.


Sekali lagi GPMS Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku dan berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan bertindak ke atas penganjur perhimpunan ini dengan kadar segera. Kita khuatir sekiranya tiada siasatan dan tindakan diambil, perkara seperti ini akan berulang lagi di masa akan datang. Jika berlaku lagi, kita turut khuatir sekiranya ummat Islam bertindak balas terhadap tomahan dan provokasi yang dilakukan.


AZDY BIN MOHD ARSHAD
Ketua Penerangan
GPMS Negeri Pulau Pinang
© all rights reserved
made with by templateszoo