NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1 Sekolah Tahfiz Terbakar Setiap 5 hari?



Statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mencatatkan 211 kebakaran melibatkan sekolah tahfiz antara tahun 2015 hingga 2017. Demikian menurut laporan The Star pada 7 Ogos 2017.

Statistik tersebut menggambarkan seolah-olah terdapat 1 tahfiz terbakar setiap 5 hari. Kejadian demi kejadian yang amat menyedihkan ini mula mendapat perhatian ramai.

Banyak pihak mula mempersoalkan aspek keselamatan pusat-pusat pembelajaran dan ada pihak turut menimbulkan isu bantuan yang perlu diberikan kepada pusat-pusat ini supaya boleh beroperasi dengan lebih selamat.

Dalam pemerhatian yang diberikan dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz sebelum ini, Tan Sri Mohd Noh Omar, selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), memaklumkan bahawa pihak kementerian menyasarkan semua sekolah tahfiz di seluruh negara bakal menubuhkan skuad bomba menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh pihak berkuasa mendapati kebanyakan kes kebakaran berlaku adalah disebabkan kekurangan kesedaran mengenai keselamatan menangani kebakaran.

Pembinaan premis yang tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menjadi antara punca kenapa banyak kes seperti ini berlaku dan statistik kebakaran meningkat dengan semakin tinggi.

Terbaru, kes kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat hari ini, menyaksikan 25 orang pelajar termasuk tenaga pengajar terperangkap dan meninggal dunia.

Ramai pihak menuntut supaya isu ini ditangani dengan segera supaya aset-aset tenaga manusia yang menjadi tonggak kepada masa depan negara, terpelihara kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Menurut statistik sehingga April 2017, terdapat 519 jumlah sekolah tahfiz telah didaftarkan di seluruh Malaysia. Malang sekali apabila tiga bulan pertama tahun ini sahaja telah mencatatkan 30 kejadian kebakaran yang melibatkan sekolah-sekolah tahfiz.

Sumber: https://www.menara.my/1-sekolah-tahfiz-terbakar-setiap-5-hari/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo