Wajarkah Pindaan Akta 164? - 1Media.My

Header Ads

Wajarkah Pindaan Akta 164?

PENDAPAT BERKENAAN CADANGAN PINDAAN AKTA MEMBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 (AKTA 164)




Oleh: Dr Fathi Yusof

Saya merujuk kepada cadangan kerajaan untuk meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164). Cadangan ini melibatkan peraturan apabila salah seorang daripada pasangan yang asalnya bukan Islam, memilih untuk memeluk Islam. Ia akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada hak berkaitan kekeluargaan orang Islam di Mahkamah Sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta. Huraian kepada pindaan itu menyebut bahawa:

“Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk memberikan hak kepada suami atau isteri yang telah memeluk agama Islam untuk memfailkan petisyen perceraian untuk membubarkan perkahwinan sivilnya di bawah subseksyen 51(1) Akta 164. Pada masa ini, undang-undang tidak memberi kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam hak untuk memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil di bawah Akta 164 memandangkan hak untuk membubarkan perkahwinan hanya diberikan kepada suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam. Oleh yang demikian, selagi suami atau isteri yang tidak memeluk agama Islam tidak memfailkan petisyen perceraian di mahkamah sivil, perkahwinan sivil suami isteri itu masih dianggap sah dan berterusan di bawah Akta 164.”

“Memandangkan suami atau isteri yang memeluk agama Islam tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian di bawah Akta 164, dia juga tidak mempunyai hak untuk membuat permohonan relief sampingan yang lain seperti nafkah, hak jagaan anak, pembahagian aset perkahwinan dan sebagainya. Keadaan ini mengakibatkan kesulitan kepada suami atau isteri yang memeluk agama Islam memandangkan Akta 164 tidak memperuntukkan remedi kepada mereka dan terdapat sebilangan daripada mereka mendapatkan remedi yang lain dengan cara memfailkan permohonan perceraian dan relief sampingan yang lain di Mahkamah Syariah. Dalam keadaan tersebut, Mahkamah Syariah akan menjalankan kuasanya untuk membuat perintah berhubung dengan perceraian dan juga relief sampingan yang lain. Konflik akan berlaku sekiranya kedua-dua suami isteri tersebut membuat permohonan masing-masing di dua mahkamah yang berbeza iaitu mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah serta kedua-dua Mahkamah tersebut membuat perintah yang berbeza.”
“Walaupun Mahkamah Syariah boleh memberikan perintah perceraian dan relief sampingan, ia tidak boleh membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 kerana kuasa untuk membubarkan perkahwinan sivil di bawah Akta 164 hanya diberikan kepada mahkamah sivil. Oleh yang demikian, Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membubarkan perkahwinan tersebut dan juga membuat perintah bagi relief sampingan yang lain dan perintah perceraian serta relief sampingan yang lain itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang. Perkara ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Viran a/l Nagapan v. Deepa a/p Subramaniam [Civil Appeal No. : 02(f)-4-01-2015(N)], Peguam Negara Malaysia dan Ketua Polis Negara v. Deepa a/p Subramaniam [Civil Appeal No. : N-02-801-05-2004 & N-02-1004-06-2014], Subashini a/p Rajasingam v. Saravanan a/l Thangatoray & other appeals [2008] 2 MLJ 147 dan Tang Sung Mooi v. Too Miew Kim [1994] 3 MLJ 117 dan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Shamala a/p Sathiyaseelan v. Dr. Jeyaganesh a/l C. Mogarajah [2004] 2 MLJ 241, Kung Lim Siew (P) v. Choong Chee Kuan [2003] 6 MLJ 260 dan Teh Siew Choo v. Teo Eng Hua [1999] 6 CLJ 308.”

Berdasarkan kandungan pindaan itu, dapat difahami bahawa secara tidak langsung pindaan ini meletakkan hampir semua urusan perundangan bersabit hak kekeluargaan bagi salah seorang yang memeluk Islam diserahkan kepada Mahkamah Sivil. Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan penegasan yang dicatatkan pada huraian cadangan pindaan berkenaan seperti yang dipetik di atas. Dari sudut bidang kuasa perundangan, perubahan ini menjejaskan kuasa Mahkamah Syariah yang mempunyai hak untuk membicarakan kes kekeluargaan setiap orang Islam di Malaysia, termasuklah mereka yang baru memeluk Islam. Perlindungan kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada campurtangan Mahkamah Sivil disebut secara jelas dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Persoalan adakah peruntukan yang dicadangkan ini bertentangan dengan Perlembagaan akan ditentukan oleh Mahkamah.

Dari sudut intipatinya, terdapat sekurang-kurangnya dua masalah besar yang boleh timbul dari pindaan ini. Pertamanya berkaitan hak penjagaan anak. Jika pindaan ini berkuatkuasa, penentuan hak bekas bapa atau ibu yang memeluk Islam itu akan diputuskan oleh Mahkamah Sivil, bukannya Mahkamah Syariah. Persoalannya, adakah hakim Mahkamah Sivil mempunyai kemampuan untuk membuat keputusan berkenaan hak kekeluargaan seorang Islam yang sepatutnya diputuskan mengikut prinsip Islam? Adakah wajar seorang ang beragama Islam diadili menggunakan undang-undang keluarga untuk bukan Islam sedangkan dia sudah tertakluk kepada undang-undang keluarga Islam?

Keduanya berkaitan dengan status agama anak. Pindaan itu mencadangkan seksyen baru iaitu Seksyen 88A yang menyebut bahawa:
Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun.
Jika pihak-pihak kepada perkahwinan menganut agama berbeza sebelum satu pasangan masuk Islam, seseorang anak dari perkahwinan itu hendaklah bebas untuk kekal dalam agama salah satu daripada agama pihak yang tersebut sebelum masuk Islam.”

Sebagai contoh, pindaan ini memberi kesan berikut:

Maria memeluk Islam tetapi bekas suaminya Adam kekal agama asal. Anak mereka Bob berumur 16 tahun. Bob ingin memeluk Islam, tapi Adam tidak setuju. Maka Bob kekal agama asal.Jika Bob berumur 19 tahun, Maria ingin mengajak Bob memeluk Islam, dan Adam tidak membantah. Tapi, Bob enggan memeluk Islam, maka Bob kekal dengan agama asal.Sebelum berkahwin Maria beragama Hindu dan Adam beragama Kristian. Bob yang berumur 16 tahun dididik mengikut ajaran Hindu. Apabila Maria memeluk Islam, Bob bebas untuk memeluk Hindu atau Kristian. Maksudnya Bob boleh bertukar agama kepada Kristian walau pun Maria tidak setuju. Tetapi Bob tidak boleh bertukar agama kepada Islam jika Adam tidak setuju.
Berdasarkan contoh kes di atas, jelas kelihatan bahawa pindaan ini tidak adil untuk Islam. Cadangan ini bukan bersifat menyelesaikan masalah tetapi ia merupakan satu sekatan undang-undang ke atas remaja—termasuklah yang sudah mencapai umur baligh—yang ingin memeluk Islam, walau pun ibu atau bapanya seorang muslim.

Saya mencadangkan agar kerajaan membatalkan hasrat pindaan ini sehingga satu jawatan kuasa khas dibentuk untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif. Jawatan kuasa ini perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan samada dari kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Penyelesaian kepada masalah ini tidak boleh bersifat sebelah pihak, tetapi ia perlu penyelesaian bersama. Dari sudut mekanisme untuk merungkaikan konflik pula, ia perlu melibatkan kedua-dua institusi iaitu mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Masalah berkaitan hak penjagaan anak dan penentuan status anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam, ini merupakan satu masalah yang rumit. Ia adalah rumit dan kompleks kerana ia melibatkan sentimen agama, perkauman dan emosi kasih sayang. Ia juga berpinca daripada sistem pemisahan antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil—satu sistem yang diwarisi akibat penjajahan.

Namun begitu, pihak berwajib sepatutnya menjadikan masalah ini sebagai satu peluang keemasan untuk mewujudkan keharmonian antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Kerajaan perlu berani untuk mengemukakan mekanisme untuk membolehkan wujud kerjasama strategik antara dua institusi yang berada di bawah peringkat kerajaan yang berbeza ini. Secara tidak langsung ia dapat membolehkan warga Mahkamah Sivil semakin memahami prinsip, kandungan dan kaedah-kaedah undang-undang Syariah sebagai satu langkah perlaksanaan Syariat Allah yang lebih menyeluruh pada satu masa akan datang.

Di samping itu, masalah berkaitan hak penjagaan anak dan penentuan status anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam ini tidak boleh diselesaikan melalui peruntukan undang-undang yang rigid seperti yang dicadangkan ini, tetapi perlu melalui mekanisme yang lebih anjal bagi membolehkan ia diselesaikan secara yang adil sesuai dengan perbezaan fakta antara satu kes dan kes yang lain.

Adalah diharapkan agar semua uamt Islam peka dengan risiko cadangan pindaan ini dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menyuarakan bantahan. Pihak kerajaan digesa agar mengambil langkah segera untuk bertindak sesuai dengan keputusan Fatwa Kebangsaan serta beberapa ketetapan yang lain berkaitan isu ini yang selama ini menjamin hak kebebasan beragama bagi anak pasangan yang memeluk Islam.

Perlu diingat Islam adalah agama Persekutuan dan sewajarnyalah kedudukan Islam dalam sistem perundangan negara ini diletakkan pada kedudukan yang selayaknya. Bumi Malaysia menjadi saksi perlaksanaan undang-undang Islam sejak beratus-ratus tahun lampau. Adakah setelah 60 tahun merdeka, kita ingin menghakis keutuhan undang-undang Islam sehingga memaksa orang Islam diadili menggunakan undang-undang keluarga yang disediakan untuk bukan Islam. Moga Allah merahmati bumi Malaysia dan melindungi tanah air kita daripada musibah dan permusuhan.

Dr Fathi Yusof
Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)
Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST)
Universiti Teknologi Malaysia