NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

TPM setuju JPN fail rayuan isu ‘bin Abdullah’


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), yang melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes anak tidak sah taraf orang Islam ke Mahkamah Persekutuan. 

Beliau berkata, pada masa ini, JPN menjalankan tugasnya selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang tidak membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan dengan nama lelaki yang mengaku bapa mereka. 

“Kita tahu hukum tetap hukum. Kementerian Dalam Negeri khususnya JPN patuh kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan. Oleh itu, kita merayu semula kepada mahkamah lebih tinggi agar keputusan itu (Mahkamh Rayuan) dibatalkan kerana anak sah taraf sahaja yang dibolehkan dibinkan dengan bapanya. 

“Namun, dalam keadaan ini, kita menghormati anak itu yang dilahirkan tidak berdosa. Anak-anak dilahirkan seperti kain putih ibu bapanya yang mencoraknya dengan pelbagai warna,” katanya pada majlis ramah mesra Aidilfitri Malabari di Selayang, dekat sini, malam ini. 

Dalam hal ini, beliau berkata, umat Islam perlu bersatu memastikan mana-mana keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak dicabar pihak atau sistem perundangan lain. 

Pada Khamis, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan nama anak mereka berbin atau berbinti Abdullah dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran. 

Pada Jumaat pula, Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohd Yazid Ramli dilaporkan berkata, sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh dan sebarang tindakan JPN sekarang selaras keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga meminta peguam negara mewakili kerajaan persekutuan membawa kes itu untuk rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan, dan dibahas secara holistik bagi mempertimbangkan kes tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini, sebagaimana terpateri dalam Perlembagaan. 

Zahid berkata, walaupun berbeza pandangan politik dan mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya, umat Islam di negara ini perlu bersatu mempertahankan hal ehwal dan hukum agama Islam. 

“Oleh yang demikian, jika ada pihak di luar sana atau di dalam yang mahu memecah belahkan kita, kita mesti bersatu. 

“Bukan untuk menentang agama lain, tetapi jangan campur hal ehwal agama Islam, biar orang Islam yang menguruskan hal ehwal Islam,” katanya. 

Dalam ucapannya, Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Gabungan Persatuan Malabari Malaysia yang akan digunakan untuk membangunkan sebuah dewan serba guna di Kompleks Surau Malabar Hidayatul Islam Selayang. 

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Gabungan Persatuan Malabari Malaysia, Datuk Seri Mustaffa Abd Rahman. 








© all rights reserved
made with by templateszoo