Singapura: Kubur Islam Bakal Pindah Ke Johor? - 1Media.My

Header Ads

Singapura: Kubur Islam Bakal Pindah Ke Johor?


SINGAPURA – Kerja pembesaran pangkalan tentera udara bakal menyaksikan ribuan kubur jenazah Muslim di Pusara Abadi di Choa Chu Kang terpaksa pindah ke luar negara khasnya jirannya, Johor. 

Malah ada waris sudah mula mendapatkan khidmat agensi pengeksport tulang atau saki baki jasad apabila kubur ahli keluarga mereka terjejas ekoran projek yang melibatkan kawasan tanah perkuburan seluas 100 hektar itu. 

Perluasan Pangkalan Udara Tengah bakal mengakibatkan sejumlah 80,500 jirat Cina dan kubur Muslim dipindah menjelang suku keempat tahun depan daripada keseluruhan tapak pusara terkenal itu yang berkeluasan 318 hektar. 

Pengurus syarikat pengurusan jenazah tempatan NUR, yang hanya dikenali sebagai Amir dan berpengalaman dalam perkhidmatan seperti ini berkata, proses penggalian semula dan persiapan mengeksport tulang dijangka rancak.


Hasil petak kubur yang sudah digali semula lazimnya dibersihkan daripada lumpur dan pasir. Selepas itu, tulang-tulang tersebut akan dikafan lalu dibungkus ke dalam kotak untuk dihantar melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands. 

Kotak itu kemudian diserahkan kembali kepada pihak keluarga untuk meneruskan proses penguburan semula di tempat ditetapkan. Sesiapa yang memilih alternatif ini perlu dapat permit keizinan daripada tempat baharu. 

Ini bermakna perlu ada kebenaran ketua kampung atau pengerusi masjid di Malaysia sebelum menjalankan urusan ini. Bagaimanapun, Amir memberitahu agensi berita MediaCorp, alternatif ini pun tidak ada kelebihannya. 

“Kemungkinan besar sebelum arwah itu meninggal dunia, dia berpesan agar dikebumikan di kampung asalnya di Malaysia. Tetapi belum kesampaian,” jelasnya. Kaedah ini juga melibatkan kos dan lebih memudaratkan. 

Ini berbeza proses gali semula ditawarkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA). Kos khidmat seperti ini hampir S$800 (kira-kira RM2,525). Apabila diminta ulas tentang alternatif, Amir berkata kaedah ini bukan satu kebiasaan. 

“Setakat ini, ada permintaan namun belum banyak. Eksport pun lazimnya ke seberang tambak sahaja. Mungkin akan popular, biasalah… apabila satu buat, dua buat yang lain pun menyusul hendak buat juga,” hurai beliau. 

Amir tidak menolak kemungkinan akan ada lebih ramai dengan permintaan seperti ini, lebih-lebih lagi dengan pengumuman tentang banyak kubur terjejas untuk projek perluasan pangkalan tentera udara republik tersebut. 

Baru-baru ini, pihak berkuasa mengumumkan 35,000 kubur Islam di Pusara Abadi menjalani proses penggalian semula. Proses tuntutan dan pendaftaran akan bermula September ini bagi 5,000 kubur di blok 19 dan 20 sahaja. 

Penggalian bagi kubur di dua blok berkenaan akan dijalankan lewat tahun depan. Baki 30,000 kubur di tempat lain hanya akan menjalani proses penggalian setelah memenuhi tempoh pengebumian sekurang-kurangnya 15 tahun. 

Syarat dan tempoh maksimum ini sudah ditetapkan sejak 1998. Ini bermakna, proses bagi 30,000 kubur Islam lain hanya akan bermula dari tahun 2029. Pemerintah Singapura malah akan menanggung kos pemindahan tersebut. 

Namun, kos tambahan lain harus ditanggung oleh pihak keluarga. Jasad itu akan dikebumikan semula di kawasan kubur bertingkat yang akan ditetapkan mengikut model di Arab Saudi ekoran isu kekurangan tanah di Singapura. 

Sebelum itu, sejumlah 100,000 jirat Cina di Bishan bertarikh dari 1870 turut ditutup pada 1984, selain 126,000 kubur Kristian dan Muslim di Bidadari bertarikh 1907 ditutup pada 2006 lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA