Header Ads

Serangan Terhadap PAS, Satu Konspirasi Antarabangsa?



Laporan bahawa PAS akan bekerjasama dengan UMNO untuk menawan Selangor mesti dilihat sebagai satu usaha untuk memburukkan imej PAS.

Ianya adalah semata-mata spekulasi tanpa sebarang bukti kukuh.

Ia kemungkinan satu konspirasi antarabangsa untuk menyerang PAS dari dalam dan luar negara sepertimana dakwaan Sarawak Report yang telah dibawa ke Mahkamah oleh PAS.

Adalah mustahil PAS akan bekerjasama dengan UMNO yang sarat dengan pelbagai masalah dan telah ditolak oleh rakyat Selangor sebanyak 2 kali (2008 dan 2013).

Selain itu, sokongan rakyat Selangor adalah padu bersama kerajaan negeri hari ini. Menurut satu kajian sebuah badan bebas, kurang dari 10 peratus rakyat Selangor yang tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri. 

Sentimen akar umbi menunjukkan para pengundi akan memberi sokongan kepada parti-parti yang dilihat mewakili kerajaan negeri yang sedia ada. UMNO bukan di antara parti-parti tersebut.

Saya juga tidak percaya akan berlaku perpecahan undi jika berlaku pertandingan 3 penjuru seperti pada PRK Sg Besar. PRK tidak akan mengubah kerajaan tetapi pada PRU pengundi akan lebih teliti kerana mereka akan memilih kerajaan untuk 5 tahun akan datang.

Oleh itu, saya yakin majoriti rakyat Selangor akan mengundi untuk mengekalkan kerajaan negeri hari ini. Mereka akan mengundi parti-parti yang dilihat akan membentuk kerajaan negeri.

Kerajaan negeri hari ini telah melaksanakan banyak program-program untuk membantu rakyat sejak 2008. Mereka telah melakukan hampir segala-galanya di dalam bidang kuasa mereka. Kajian Merdeka Centre yang terkini menunjukkan majoriti rakyat Selangor berpuas hati dengan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT). Realitinya UMNO atau mana-mana parti lain tidak ada isu-isu yang kukuh untuk menumbangkan kerajaan negeri hari ini.

Setelah terlepas dari cengkaman UMNO dalam tahun 2008, rakyat Selangor tidak akan mahu kembali ke zaman pemerintahan parti itu. Walaupun kerajaan negeri Selangor diserang dari setiap penjuru namun ia tidak akan dapat menutup "jenayah" UMNO terhadap rakyat Selangor sebelum ini. Maka adalah tidak masuk akal tuduhan terdapat parti yang mahu menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Dato' Iskandar A. Samad
Exco Kerajaan Negeri Selangor
26 Ogos 2017