NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU164: Jalan keluar jadi pemusnah institusi keluarga?


[1] Dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas (2016), usul pindaan kepada Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (“Akta 164”) telah dibaca buat kali pertama pada 21 November 2016.1 Berbagai-bagai jenis reaksi diberikan oleh banyak pihak sehingga kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan usul yang kontroversi ini daripada dibentang dalam persidangan yang seterusnya.2 Terdapat 2 pindaan major yang diusulkan iaitu 1) pasangan bukan Islam (“mualaf”) dibenar untuk membubarkan perkahwinan mengikut undang- undang sivil; dan 2) agama anak mualaf tersebut tidak boleh ditukar tanpa persetujuan kedua-dua pasangan.3 


[2] Susulan daripada itu, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan pengamal undang-undang4 tentang kewajaran usul pindaan tersebut memandangkan ianya berkait rapat dengan hal ehwal masyarakat Islam. Penulis berpendapat, polemik ini tidak akan berhenti setakat akta ini sahaja. Hal ini kerana, Islam sebagai suatu struktur penting dalam pembikinan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah surut dijengah krisis dan konflik apabila bertembung dengan mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan hukum dan prinsipnya. 


[3] Oleh yang demikian, penulisan ini akan menganalisis hujah-hujah golongan yang menyokong dan menentang pindaan ini melalui sudut pandang peruntukan-peruntukan yang berkaitan dengan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya, berdasarkan analisis tersebut, penulis akan mencadangkan bagaimanakah cara untuk menetapkan pendirian terbaik yang boleh diambil oleh pengamal undang-undang yang beragama Islam serta jalan keluar kepada kemelut yang lahir daripada lingkungan masalah yang serupa. 

[4] Sebelum wujudnya Akta 164, Malaysia memiliki begitu banyak set undang- undang bertulis dan adat yang menentukan status perkahwinan sesuatu bangsa atau agama. Sebagai contoh, jika masyarakat Islam mengguna pakai undang-undang Islam yang diwartakan di dalam Enakmen-enakmen mengikut negeri (dipraktiskan sehingga kini), masyarakat Cina dan India pula dibenarkan berkahwin mengikut undang-undang adat masing-masing seperti yang ditentukan oleh Mahkamah dan boleh pula memilih untuk mendaftarkan perkahwinan sivil monogami mereka di bawah Ordinan Perkahwinan Sivil 1952. Bagi masyarakat beragama Kristian pula, mereka boleh mendaftarkan perkahwinan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Perkahwinan Kristian 1956.5 

[5] Oleh itu, tujuan akta ini diperkenalkan, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyeragamkan berbagai-bagai undang-undang peribadi yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum ini. Ianya tidak terpakai kepada bumiputera Sabah atau Sarawak atau orang Asli di Malaysia kecuali mereka membuat pilihan untuk berkahwin di bawah akta ini. Akta ini dilihat sangat penting dalam menentukan status perkahwinan (yang datang bersamanya hak-hak isteri dan anak-anak semasa perkahwinan atau selepas perceraian) mengikut undang-undang yang seragam dan pasti. 

[6] Hal ini adalah kerana, sebelum Akta 164 diperkenalkan, ianya merupakan suatu proses yang sulit buat Mahkamah dalam menentukan sama ada pasangan tersebut benar-benar telah berkahwin mengikut upacara yang diiktiraf oleh bangsa dan agama mereka. Kesukaran juga wujud untuk Mahkamah menentukan status perkahwinan dalam situasi di mana si suami telah melangsungkan perkahwinan dengan dua orang isteri mengikut undang-undang yang berbeza. 

[7] Dalam kes Ding Do Ca6 contohnya, si suami telah berkahwin dengan isteri pertama di bawah Enakmen Perkahwinan Kristian dan berkahwin dengan isteri kedua mengikut adat masyarakat Cina. Walaupun perkahwinan poligami bukanlah sesuatu yang biasa bagi penganut agama Kristian, tetapi Mahkamah yang telah mengiktiraf wujudnya perkahwinan poligami dalam masyarakat Cina (pada masa itu), memutuskan bahawa tidak ada peruntukan dalam Enakmen Perkahwinan Kristian yang menghalang si suami untuk berpoligami. Situasi seperti inilah yang menimbulkan keraguan masyarakat berkenaan status sebenar sesebuah perkahwinan apabila wujud begitu banyak undang-undang yang bersilang antara satu sama lain. 

[8] Akhirnya, pada tahun 1970, Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan bagi mengemukakan cadangan bagi menyelesaikan isu-isu tersebut disusuli dengan penubuhan Jawatankuasa Bersama oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Mei 1973 bagi menimbangkan Rang Undang-undang yang telah dirangka.7 Walaupun Parlimen telah meluluskan akta ini pada tahun 1976, ianya mengambil masa sehingga 1 Mac 1982 untuk berkuatkuasa bagi memberi ruang kepada pasangan bukan Islam untuk membiasakan diri dengan undang-undang yang baru dan seragam. 

[9] Antara ciri-ciri utama yang diperkenalkan dalam Akta 164 ini adalah, peruntukan-peruntukan yang ada di dalamnya merupakan satu pembaharuan seiring dengan resolusi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu yang berkaitan dengan keizinan berkahwin, umur minima berkahwin dan pendaftaran perkahwinan. Selain itu, akta ini juga telah menghapuskan perkahwinan poligami bagi masyarakat bukan Islam sepertimana corak penggubalan undang-undang perkahwinan pada waktu itu di Singapura dan juga Hong Kong.8 Walaupun perkara ini telah diperdebatkan secara hangat di dalam Parlimen kerana ramai ahli dewan yang beragama Islam khususnya berpendapat bahawa menolak poligami seolah-olah kita telah membelakangkan nilai asli ketimuran Bangsa Asia dan membuta tuli mengikut fikiran dan amalan Barat,9 berpoligami bagi masyarakat bukan Islam hari ini telah menjadi sebahagian daripada kesalahan jenayah seperti yang termaktub di dalam Kanun Keseksaan.10 

Seksyen 51 yang Bermasalah 

[10] Walaupun usaha ini sangat membantu memudahkan proses pengesahan perkahwinan dan perceraian bagi pasangan bukan Islam, namun terdapat satu peruntukan kontroversi yang memudaratkan kepada pasangan mualaf. 

“51. (1) Jika satu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, pihak yang satu lagi itu yang tidak masuk Islam boleh mempetisyen untuk perceraian”. 

[11] Seksyen 51 di atas menyatakan bahawa hanya pasangan yang bukan Islam berhak memfailkan perceraian manakala pasangan mualaf tidak diberi keizinan yang sama. Menurut perbahasan di Parlimen, seksyen ini asalnya digubal demi melindungi hak wanita seandainya si suami memeluk agama Islam semata-mata kerana mahu mengelak daripada halangan-halangan yang diletakkan di bawah akta ini. Kerisauan tersebut termasuklah menyalahgunakan seksyen ini bagi membebaskan diri daripada halangan untuk berpoligami atau mana-mana tanggungjawab yang telah ditetapkan di bawah akta ini.

[12] Hakikatnya, tohmahan kepada pasangan mualaf yang akan menyalahgunakan peruntukan tersebut untuk melarikan diri daripada tanggungjawab menyara keluarga adalah tidak relevan kerana tanggungjawab menyara keluarga tidak terhenti di dalam Hukum Syarak walaupun sudah berbeza agama.12 Kesan buruk yang lebih ditakuti adalah apabila status perkahwinan mereka akan tergantung apabila pasangan yang bukan Islam enggan untuk memfailkan perceraian dan seterusnya akan turut membabitkan relief sampingan seperti nafkah, penjagaan anak, tuntutan harta dan lain-lain. Sekiranya pasangan mualaf itu adalah si isteri, peruntukan ini akan lebih memudaratkan dan menyalahi tujuan asal. 

[13] Antara masalah yang akan timbul adalah kesukaran bagi proses pembahagian harta sekiranya mereka mati dalam keadaan perkahwinan sivil masih belum dibubarkan. Hal ini kerana di sisi Hukum Syarak, harta pusaka si Mati tidak boleh diwariskan kepada ahli keluarga yang bukan Islam dan sebaliknya(13) sedangkan ahli keluarga yang bukan Islam tetap mempunyai hak ke atas harta si Mati di sisi undang-undang sivil atas sebab perkahwinan sivil yang masih wujud tersebut. Dalam kes begini, kemungkinan besar akan berlaku tuntutan bertindih daripada bekas pasangan bukan Islam dan pasangan yang dikahwini selepas memeluk Islam kepada pentadbir pusakanya yang boleh menjurus kepada ketidakadilan.(14) 

[14] Keadaan akan menjadi lebih keruh apabila pasangan mualaf berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan tersebut dalam keadaan ianya masih sah di sisi undang- undang sivil. Hal ini kerana pasangan yang mualaf tersebut sudah tertakluk kepada Hukum Syarak dalam persoalan kekeluargaan sedangkan pasangan bukan Islam pula tidak tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah15. Dalam masalah penentuan hak penjagaan anak, sememangnya kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa terhadap salah seorang pasangan, justeru keputusan mahkamah manakah yang akan terpakai? 

[15] Dalam kes Viran A/L Nagapan mlwn Deepa A/P Subramaniam(16) contohnya, si bapa yang memeluk agama Islam telah mendapatkan perintah mahkamah Syariah untuk membubarkan perkahwinan sivilnya sekaligus mendapat perintah penjagaan anak. Pada masa yang sama, si isteri juga memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil, dan turut pula mendapatkan perintah Mahkamah Sivil bagi penjagaan anak. Dalam keadaan begini, anak-anak yang tidak bersalah akan menjadi mangsa perebutan yang tidak berkesudahan. 

[16] Ternyata, Seksyen 51 ini tidak semudah tujuannya untuk melindungi wanita bukan Islam apabila kewujudannya dalam masa yang sama bersifat seolah- olah menghukum pasangan yang mahu memeluk agama Islam apabila mereka tidak diberi peluang untuk membuat permohonan di Mahkamah Sivil atas ‘kesalahan’ memeluk agama Islam. 


[17] Oleh itu, usul pindaan yang dibawa oleh Kerajaan bagi membenarkan pasangan mualaf memfailkan perceraian di Mahkamah Sivil ada relevannya. Namun begitu, terdapat banyak kritik komen terutama daripada badan-badan yang mewakili masyarakat Islam berpendapat, hanya dengan meminda Akta 164 tidak dapat menyelesaikan masalah semudah itu, bahkan akan menimbulkan lebih banyak lagi pertikaian undang-undang.17 


[18] Asasnya, cadangan pindaan ini akan menyelesaikan masalah status perkahwinan sivil yang tergantung dengan memberikan hak kepada pasangan mualaf untuk membubarkan perkahwinannya di Mahkamah Sivil. Jika dilihat dari sudut bidangkuasa perundangan pula, cadangan atau perubahan ini akan menjejaskan hak dan kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan segala kes berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan yang melibatkan setiap orang Islam di Malaysia, termasuklah mereka yang baru memeluk Agama Islam. Ramai terlepas pandang bahawa hal ini akan meletakkan hampir kesemua urusan perundangan berkaitan hak sebagai seorang Islam dan hak kekeluargaan bagi pasangan yang memeluk Islam kepada bidangkuasa Mahkamah Sivil. 


[19] Keadaan yang ditimbulkan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan bila mana bukan sahaja bidangkuasa mahkamah Syariah telah dilanggar (trespassed) malah hak asasiseorang Islam untuk menganuti dan mengamalkan agamanya berdasarkan Syariah dan tertakluk kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah telah dinafikan. Padahal, perlindungan kepada bidangkuasa mahkamah Syariah daripada campurtangan Mahkamah Sivil dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. 


[20] Rentetan daripada itu, terdapat sekurang-kurangnya dua isu besar yang boleh timbul dari pindaan ini. Isu yang pertama adalah berkaitan dengan hak penjagaan anak. Melalui pindaan ini, penentuan hak bekas bapa atau ibu yang memeluk Islam itu akan ditentukan oleh Mahkamah Sivil. Persoalannya, adakah Hakim Mahkamah Sivil adalah kompeten dan mampu untuk membuat keputusan berkenaan hak kekeluargaan seorang Islam yang sepatutnya diputuskan mengikut prinsip Islam? 


[21] Walaupun dalam hal ini, Hukum Syarak boleh membenarkan ibu yang tidak beragama Islam memelihara anak kecilnya18, adakah wajar seorang yang beragama Islam diadili menggunakan undang-undang keluarga untuk bukan Islam (Akta 164) sedangkan dia sudah tertakluk kepada Undang- Undang keluarga Islam? Bahkan, ahli jawatankuasa Suruhanjaya Diraja dalam penggubalan Akta 164 juga mengakui bahawa jawatankuasa tersebut TIDAK merujuk kepada pendapat orang Islam atau badan-badan Agama Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan terkesan dengan penggubalan Akta 164 yang asalnya ditujukan kepada masyarakat bukan Islam.19 


[22] Isu kedua yang menjadi perhatian khusus masyarakat Islam adalah berkaitan dengan status agama anak. Hal ini kerana pindaan ini turut mencadangkan peruntukan baru iaitu Seksyen 88A yang menyebut bahawa: 

"(1) Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran Agama itu, KECUALI JIKA KEDUA-DUA PIHAK kepada perkahwinan itu BERSETUJU akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun.
(2) Jika pihak-pihak kepada perkahwinan menganut agama berbeza sebelum satu pasangan masuk Islam, seseorang anak dari perkahwinan itu hendaklah bebas untuk kekal dalam Agama salah satu daripada agama pihak yang tersebut sebelum masuk Islam."20 

[23] Sebelum ini, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa agama bagi seseorang yang berumur lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaga telah ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Subashini A/P Rajasingam mlwn Saravanan A/L Thangathoray21 sebagai boleh ditentukan oleh mana-mana ibu bapa atau penjaga. Hal ini bermaksud Perlembagaan Persekutuan telah memberikan hak kebebasan kepada salah seorang daripada ibu bapa untuk menentukan agama anaknya. 


[24] Sebaliknya, usul pindaan yang dicadangkan pula adalah jelas bersikap tidak adil untuk Islam. Cadangan ini bukan bersifat menyelesaikan masalah tetapi merupakan satu sekatan undang-undang ke atas remaja termasuk yang telah mencapai umur baligh, yang ingin dan memilih untuk memeluk agama Islam dalam keadaan ibu atau bapanya sudahpun menjadi seorang Muslim. Ianya juga menimbulkan keadaan seolah-olah apabila sesuatu pasangan itu memeluk Islam, ianya menjadi satu kesalahan di mana mereka akan dihukum bila mana hak mereka untuk menentukan agama anak berdasarkan hukum Islam dinafikan. 


[25] Bukan itu sahaja, pindaan ini menunjukkan bahawa Kerajaan seolah-olah telah mengenepikan ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil Kali Ke-19 pada 27-29 April 2009 oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur 18 tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan Hukum Syarak. 

[26] Dalam hal ini, terdapat juga pengamal undang-undang yang beragama Islam berlainan pendapat dengan menyatakan bahawa tidak ada salahnya pindaan ini kerana ianya merupakan suatu tindakan progresif berasaskan kepada prinsip keadilan sejagat. Mereka berpendapat bahawa memberikan kepada Mahkamah Sivil bidangkuasa dalam hal ini merupakan suatu penyelesaian harmoni terhadap isu kelompangan perundangan dan perselisihan undang-undang.22 Persoalannya, kenapa wujud perselisihan pendapat ini walhal kedua-duanya datang daripada mereka yang menganut agama Islam? Selaku pengamal undang-undang yang beragama Islam, bagaimanakah pula mereka patut bersikap? 

PERTEMBUNGAN DUA ALIRAN INTERPRETASI 

[27] Kebiasaannya, orang awam yang tidak memiliki latar belakang undang- undang akan mudah keliru, bagaimana dengan merujuk kepada isu dan sumber perundangan yang sama, terdapat begitu banyak perbezaan hujah yang datang daripada para pengamal undang-undang? Apakah sebenarnya kayu ukur yang menentukan kesahihan pendapat-pendapat tersebut? 


[28] Jika diperhatikan kepada usul pindaan Akta 164 khususnya, golongan yang menyokong berpendapat bahawa pindaan ini tiada masalah di sisi perlembagaan, bahkan memberikan penyelesaian menang-menang kepada semua pihak. Dari satu sudut yang lain, golongan yang menentang pula melihat bahawa pindaan ini bertentangan dengan Perkara 121 (1A) dan Perkara 3 dan Perlembagaan Persekutuan iaitu bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam persoalan-persoalan kekeluargaan orang Islam telah dilanggar sekali gus menafikan keistimewaan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka, hujah siapakah yang benar? 

[29] Walaupun ianya bukanlah isu yang dibincangkan secara terang dalam perdebatan usul pindaan, penulis berpendapat interpretasi Islam dalam Perkara 3 iaitu, sama ada fungsinya hanya dalam upacara rasmi atau sebagai satu sistem hidup yang sepatutnya turut memandu Perlembagaan adalah merupakan pokok pangkal kepada setiap khilaf dalam undang- undang yang berkaitan dengan Islam.23 Penentuan tafsiran mana yang lebih tepat akan menentukan kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan akan mempengaruhi pula keabsahan undang-undang Persekutuan yang lain. 

Kecenderungan Pendapat Sarjana berhubung dengan Kedudukan Islam dalam Perlembagaan 

[30] Dalam konteks perbincangan ini, definisi Islam dalam Perlembagaan tidak boleh mengguna pakai takrifan atau pemahaman awam. Hal ini hanya akan menjadikan perbincangan lebih rumit. Sebagai contoh, ianya suatu hal yang dimaklumi bahawa Dr. Mahathir pernah mengambil tindakan kepada Tun Salleh Abas kerana cubaannya untuk memperkenalkan undang-undang Islam dalam keputusan Mahkamah, namun, ironinya, beliau adalah pemimpin pertama yang memulakan penjenamaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.24 Justeru, definisi yang sesuai seeloknya diambil daripada tafsiran Hakim dan pandangan sarjana terhadap Perkara 3 Perlembagaan. 

[31] Secara asasnya, kes Che Omar bin Che Soh25 menyatakan bahawa Islam dalam Perlembagaan hanya terbatas kepada soal-soal upacara dan Hakim di dalam kes Lina Joy26 dan Meor Atiqulrahman27 pula memberi definisi Islam sebagai Ad-Deen atau suatu sistem hidup yang lengkap. Melalui kes ini, kelompok sarjana telah terpecah kepada pendapat yang mirip dengan prinsip dalam kedua-dua kes melalui pendekatan hujah yang berbeza- beza.28 

Perbandingan Hujah Dua Syarahan Undang-undang 


[32] Bagi memberikan gambaran yang lebih mudah kepada pembaca, penulis bercadang untuk membandingkan hujah-hujah perlembagaan dalam 2 syarahan awam yang diberikan oleh Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof pada 16 Februari 2017 di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya yang bertajuk “Amendments to Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 – Constitutional and Practical Issues” dan Tun Ahmad Fairuz bin Dato’ Sheikh Abdul Halim pada 25 Mac 2017 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur yang bertajuk “Islam as the Law of the Land”. 


[33] Dato’ Ariff dalam mengulas isu berkaitan dengan usul pindaan Akta 355 turut memasukkan perbincangan berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu perlembagaan yang sekular. Beliau memetik pengiktirafan Suruhanjaya Reid berkenaan sifat sekular Perlembagaan yang disebut dengan jelas di dalam Pengisytiharan Kemerdekaan. Beliau berhujah bahawa sebarang percubaan untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang membenarkan perlaksanaan undang- undang Islam secara menyeluruh, secara perlembagaannya hanyalah sebuah imaginasi yang tidak berpijak di bumi yang nyata. 


[34] Beliau juga turut memetik penghakiman Mahkamah Agung (ketika itu, sekarang ini Mahkamah Persekutuan) dalam kes Che Omar bin Che Soh yang baginya mengiktiraf Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan yang sekular. Dalam isu perlaksanaan undang-undang Jenayah Islam khususnya, beliau mencadangkan bahawa jenayah dan hukuman yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan dalam kes kes ZI Publications sebagai tidak berperlembagaan. Limitasi-limitasi tersebut adalah seperti berikut; 

“(a) ianya terbatas kepada orang yang memeluk agama Islam;
(b) ianya bertentangan dengan rukun Islam;
(c) ianya bukan kepada perkara yang berada dalam Senarai Persekutuan; dan
(d) ianya mestilah dalam batasan seperti yang ditetapkan oleh Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965”29 

[35] Kesimpulannya, Dato’ Ariff mencadangkan bahawa untuk memahami maksud Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dengan menterjemahkan peruntukan tersebut secara tunggal, tetapi mestilah mengambil kira peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan seperti Perkara 1, Senarai 2, Jadual Ke-9 seperti yang dicadangkan oleh kes di atas bagi mengekalkan keseimbangan Perlembagaan dalam lingkungan sifatnya yang sekular. 

[36] Sebarang percubaan untuk membenarkan perlaksanaan hukuman Islam (termasuklah hukuman jenayah hudud dan qisas) secara menyeluruh adalah bertentangan dengan sifat sekular Perlembagaan Persekutuan. Beliau turut berpendapat, bagi memperkasakan Mahkamah Syariah adalah lebih baik bagi kita memfokuskan kepada sistem keadilan dalam bidang kekeluargaan, nikah cerai, dan undang-undang faraid berdasarkan kepada pendekatan dalam Fiqh Awlawiyyat, Fiqh Waqi’ dan Fiqh Maqasid. 

[37] Dalam pada itu, Tun Fairuz telah memulakan syarahannya dengan pembukaan yang sangat menarik. Beliau memetik hujahan 2 peguam berbangsa India dalam kes Che Omar bin Che Soh berkaitan dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan. Encik Ramdas Tikamdas telah menghujahkan kepada Mahkamah Agung (ketika itu, sekarang ini Mahkamah Persekutuan), bahawa kerana Islam adalah Agama Persekutuan, maka undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen hendaklah selari atau disemaikan dengan prinsip-prinsip Islam dan agama. Encik Mura Raju pula, juga seorang peguam menekankan kepada Mahkamah Agung yang sama fakta bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang yang sedia ada ketika negara ini merdeka. Kerana itu, semua undang-undang bagi aplikasi umum dalam negara ini mestilah mematuhi undang-undang syarak itu. 

[38] Tun Fairuz turut menekankan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang yang asing bagi Tanah Melayu. Hal ini kerana sebelum masuknya pengaruh Kerajaan British, undang-undang asas atau undang- undang negeri ialah undang-undang Islam bersama dengan adat Melayu. Bahkan, walaupun setelah kedatangan kuasa-kuasa Barat, undang-undang Islam masih lagi diamalkan oleh penduduk tempatan. Dalam menghuraikan pegangan beliau, beliau telah merujuk kepada petikan penghakiman dalam kes Ramah v. Laton, Shaik Abdul Latif dll. lwn Shaik Elia Bux, rencana Prof Ahmad Ibrahim dan rencana Saudara Nuarrual Hilal Md. Dahlan. 

[39] Pada masa yang sama, Tun Fairuz beranggapan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah mewujudkan suatu sistem yang paling kuat dan teguh mengenai undang-undang Islam di Malaysia. Perkara 3 dan Perkara 430 Perlembagaan Persekutuan mewujudkan sistem yang mewajibkan mana- mana undang-undang yang bertentangan dengan Islam dan Al-Quran dan Sunnah menjadi terbatal setakat mana ianya berlawanan. Hujah-hujah Tun Fairuz adalah Perlembagaan Persekutuan kita sendiri melalui Perkara 12(2)31 khususnya membolehkan tertubuhnya pelbagai institusi Islam. 

[40] Bahkan Perkara 37 turut memartabatkan lagi kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan apabila Yang Dipertuan Agong perlu melafazkan sumpah atas nama Allah seperti yang termaktub dalam Jadual Keempat. Begitulah Perlembagaan menetapkan bahawa ketua utama negara diwajibkan memeliharakan pada setiap masa Agama Islam. Perkara 150 yang menyentuh tentang Proklamasi Darurat pula telah menjamin pengecualian undang-undang Islam daripada tertakluk kepada undang- undang darurat sesuai sekali dengan martabat Islam sebagai Agama Persekutuan. Kesemua ini adalah hujah-hujah perlembagaan yang menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah perlembagaan yang sekular. 

Analisis Ringkas dan Kesimpulan Awal 

[41] Baik Dato’ Arif mahupun Tun Fairuz, kedua-dua tokoh ini berpegang kepada premis yang sama iaitu Perkara 3 tidak boleh ditafsirkan secara tunggal tetapi mesti dibaca bersama peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang lain walaupun akhirnya mereka bertemu dengan kesimpulan yang bertentangan. Mafhumnya, dapatlah kita rumuskan bahawa dalam persoalan undang-undang yang subjektif, tiada kayu ukur yang jelas dalam menentukan kesahihan pendapat seseorang pengamal undang-undang. Sudah menjadi lumrah untuk pengamal undang-undang memiliki pendapat yang berbeza, asalkan sahaja mereka masih lagi dalam ruang lingkup otoriti perundangan. 

[42] Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah, di mana-mana negara sekalipun, isu-isu Perlembagaan adalah isu yang dinamik dan wilayah yang kerap menjadi perdebatan. Atas sebab itulah, walaupun peruntukan di dalam Perlembagaan itu kekal dan tidak berubah-ubah, namun penafsirannya boleh berubah mengikut tafsiran Mahkamah yang terkemudian. 


[43] Berbalik kepada isu usul pindaan Akta 164 pula, tidak dapat dinafikan, dari segi hujah perundangannya kedua-dua pihak yang berbeza tidak salah dalam menjustifikasikan pendapat mereka. Dalam nada yang berbeza, perlulah kita sedari bahawa, selaku makhluk yang bernama manusia, apa sahaja interpretasi Mahkamah ataupun pendapat sarjana, pastinya pilihan pendekatan atau pendirian itu dipengaruhi oleh sikap yang lahirnya daripada suatu fikrah atau aliran pemikiran. 


[44] Fikrah atau aliran pemikiran inilah yang menentukan kecenderungan seseorang manusia sebelum memberikan pendapat atau menjatuhkan keputusan. Memetik kata-kata Prof. Dr. Yusof Qardawi, 

“Hidup ini seperti sungai, sesuatu yang hanya satu, berhubungan dan terus berjalan. Begitu juga kehidupan seluruh masyarakat, sama ada kecil ataupun besar, masyarakat ataupun anggota keluarga, pemerintah ataupun parti. Pandangan masyarakat terhadap kebebasan politik, akan mempengaruhi pandangannya dalam ekonomi. Pandangan terhadap teori ekonomi akan berpengaruh pandangannya terhadap kebebasan politik, etika, sejarah, dan aspek lain yang tidak terbatas.”

[45] Dalam keadaan begini, selaku pengamal undang-undang yang beragama Islam, persoalan yang lebih besar untuk kita lontarkan sebelum kita memilih tafsiran yang mempunyai implikasinya yang tersendiri adalah; Bagaimana kita perlu bersikap? 

PRINSIP YANG PERLU DIAMBIL SEBAGAI PENGAMAL UNDANG-UNDANG BERAGAMA ISLAM 


[46] Seorang Muslim sejati mesti memahami konsep Islam sebagai Ad-deen iaitu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek dalam kehidupan manusia. Peraturan yang dicipta oleh Allah semuanya bagi memastikan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itulah, Islam datang dengan membawa bersamanya hukum-hukum yang tertentu untuk diwartakan dengan kaedah-kaedah pensabitan yang adil.33 Pentingnya melaksanakan hukum-hukum Islam sehinggakan Syed Qutb menyifatkan Taghut sebagai “Setiap perkara atau urusan yang tidak dibenarkan Allah dan juga setiap hukum atau perundangan yang tidak mempunyai sandaran kepada syariat Allah.”34 


[47] Negara Islam yang dikuasai oleh umat Islam lebih-lebih lagi, wajib melaksanakan perundangan Islam. Tidak memadai dengan meletak Islam sebagai agama rasmi, umat Islam mesti melaksanakan perundangan Islam yang telah diperuntukkan sebagaimana yang dikehendaki oleh Quran dan Sunnah. Ianya adalah hal yang muktamad bahawa tidak boleh bagi umat Islam berhukum dengan hukum selain Islam jika ianya sudah diperuntukkan atau berhukum dengan hukum yang bercanggah dengan Islam35. Firman Allah taala dalam Surah Al-Ahzab, Ayat 36: 

“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” 

[48] Kefahaman dan penghayatan tentang hal ini merupakan suatu titik besar yang membezakan kecenderungan seseorang pengamal undang-undang sama ada mahu bertegas supaya undang-undang yang ada mesti selari dengan hukum syarak atau hukum syarak yang perlu selari dengan kerangka undang-undang sedia ada. Keyakinan terhadap sistem ciptaan Allah sebenarnya yang menjadi faktor utama perselisihan dalam kalangan pengamal undang-undang beragama Islam. 

Penjajahan ke atas Syariat Islam 


[49] Di Malaysia, cabarannya adalah gerakan membudayakan nilai-nilai Barat sudah berjaya mempengaruhi budaya hidup kita. Umat Islam menjadi tawanan serangan pemikiran. Roh agama samawi dimatikan dalam urusan pemerintahan sehingga kita turut sama tidak mengambil kira mengenai Allah yang Maha Mengetahui, Mendengar dan Melihat segala-galanya. Masyarakat Islam berada dalam kejahilan yang mencakupi pelbagai ilmu Islam sehingga mereka sendiri memilih untuk meninggalkan syariat Allah dan menolaknya kerana kejahilan.36 


[50] Ada yang mendakwa, untuk menentukan sama ada Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam, Perlembagaan mesti dibaca mengikut acuan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Reid agar kita tidak terpesong daripada maksud asal ianya digubal.37 Persoalannya, adakah Barat ikhlas terhadap Islam sehingga kita begitu lurus mengikut petunjuk mereka? 

“England bersedia memberikan kebebasan politik (kemerdekaan) kepada semua tanah jajahannya, apabila wujudnya satu generasi intelektual yang telah diserapkan dengan budaya barat telah bersedia mengambil alih pemerintahan, tetapi mereka tidak akan mengizinkan sama sekali tertubuhnya sebuah Negara Islam walaupun satu saat.”

Usaha Mencari Jalan 


[51] Jelaslah bahawa, kejahilan tentang Islam perlu dibasmi terlebih dahulu untuk kita mengetahui dan memahami kesyumulan Islam dan menyedari percanggahan ideologi asing dengan ajaran Islam. Setelah kita betul-betul memahami tentang kehendak Islam, kita tidak akan begitu bebal untuk akur menurut sahaja sistem dan tafsiran tinggalan penjajah walhal kita bukan lagi berada di bawah kekuasaan mereka. 


[52] Seperti mana British mampu memperkenalkan undang-undang Barat secara licik peringkat demi peringkat, pengamal undang-undang yang mempunyai kerangka pemikiran mengikut fikrah Islam juga perlu bersikap optimis dalam mencari jalan yang meraikan tabiat negara sivil kontemporari39 bagi meletakkan kembali Islam dalam kedudukannya yang istimewa mengikut kerangka perundangan hari ini. Hal ini sangat penting bagi mengelakkan perubahan yang dilakukan daripada tidak berfungsi dan kelihatan ketinggalan. 


[53] Selain itu, pengamal undang-undang yang beragama Islam juga tidak boleh sesekali lupa bahawa Perlembagaan yang lahir hasil rundingan dan tolak ansur antara kaum ini banyak baiknya dan perlu dipandang dengan positif. Ianya adalah hasil perjanjian yang dicapai bersama oleh rakyat Malaysia, dan wajar dihormati di samping terus berusaha menegakkan prinsip-prinsip Kerajaan Islam dengan menggunakan Perlembagaan tersebut dan mengambil kira kepentingan semua kaum dan bangsa di Malaysia.

[54] Mengubah arah kepada Hukum Syarak bukanlah sesuatu yang mustahil dan pertumbuhannya telah pun berkembang secara tidak langsung. Malaysia yang berusia lebih 50 tahun, sudah lama bersedia untuk menempa undang-undang berasaskan identiti sendiri yang bebas serta memenuhi kehendak masyarakat Islam. Tinggal lagi, pengamal undang-undang yang ada perlu terus meneroka jalan-jalan baru secara lebih terancang, sistematik dan komprehensif. 


[55] Buktinya, pemansuhan proses rayuan ke Majlis Privi yang telah dimansuhkan secara berperingkat bermula pada tahun 1975 sehingga 1985 adalah jelas menunjukkan kesediaan Malaysia untuk bebas daripada pengaruh British. Banyak penambah baikan yang dilakukan untuk mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah seperti Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan41 dan pindaan Seksyen 421A Kanun Tanah Negara42 yang mewajibkan Pentadbir Tanah untuk memasukkan nama seseorang di dalam pendaftaran seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah. 


[56] Bahkan, pentadbiran Mahkamah Syariah juga turut sedikit demi sedikit berfungsi secara seragam melalui penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (“JKSM”) yang meletakkan barisan panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang sama untuk mahkamah-mahkamah rendah seluruh negara. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (“JAKIM”) dan JKSM juga terus berfungsi untuk mengkoordinasi pentadbiran agama Islam seluruh negara. 


[57] Pembelajaran undang-undang di universiti juga telah melatih mahasiswa untuk kompeten dan menguasai kedua-dua aliran undang-undang sivil dan syariah seperti yang ditawarkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (“UIAM”) sejak awal tahun 1980-an lagi. Bukan itu sahaja, penubuhan Mahkamah Bahagian Muamalat di Mahkamah Sivil pada tahun 2003 adalah antara langkah besar pengiktirafan undang-undang Islam dalam sistem sivil.43 


[58] Justeru, hujah yang mengatakan bahawa percubaan Malaysia untuk beredar daripada sistem sedia ada hanya akan meruntuhkan struktur asas perundangan, mewujudkan kecelaruan dan membawa kepada pertelingkahan antara kaum adalah satu hujah yang dangkal kerana perubahan-perubahan yang ada hakikatnya telah membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Oleh yang demikian, pandangan ahli akademik dalam hal ini perlu terus diangkat dan dipandang serius oleh pengamal undang- undang yang lain. Antara jalan-jalan yang dicadangkan termasuklah membentuk wacana perubahan, sikap Hakim dan penghakiman kreatif, menyelaraskan kembali undang-undang Persekutuan dan Negeri dan memfederalisasikan Mahkamah Syariah. 

Jalan 1: Membentuk Wacana Perubahan 

[59] Walaupun Malaysia mencapai kemerdekaan semenjak daripada tahun 1957 lagi, namun hanya pada tahun 1972 Malaysia mempunyai fakulti undang-undangnya sendiri iaitu di Universiti Malaya yang melahirkan graduan pertamanya pada tahun 1976. Sebelum itu, para hakim, peguam sehinggakan pensyarah kesemuanya mendapat pendidikan dan latihan undang-undang di England. Oleh itu, tidak hairanlah jika kes undang- undang yang terdahulu banyak dipengaruhi dengan falsafah dan pendekatan undang-undang yang digunakan oleh Barat.44 


[60] Hakim perlu menimbang bahawa mereka bukan lagi berada di bawah kuasa penjajah dan sudah tidak terikat dengannya.45 Secara perlembagaannya, tidak ada masalah untuk kita memetik otoriti daripada sumber Islam, khususnya apabila ia dilakukan dalam rangka dan batasan yang diberikan oleh Perlembagaan sendiri. Oleh itu, pensyarah atau pakar undang-undang perlu menyedari peranan yang hanya boleh dimainkan oleh mereka, bukan peguam mahupun hakim. Ahli akademik perlu berani mengajak para pelajar untuk mengambil pandangan yang berbeza daripada penghakiman Mahkamah sedia ada.46 Yang penting, para pelajar undang-undang itu sendiri perlu disemai terlebih dahulu dengan prinsip dan cita-cita Islam sebelum ianya membentuk pula minda undang-undang mereka. 


[61] Selain itu, penulisan dan penerbitan juga turut membantu menjadi wadah mencambah kefahaman masyarakat dan membantu para pengamal undang-undang dalam mentafsir undang-undang yang dekat kepada Islam. Tulisan itu mestilah bersifat analitis tetapi perbincangannya tidak boleh terlalu akademik dan teknikal.47 Maqasid perlembagaan perlu ditekankan agar masyarakat mampu menjadi pengguna sebenar Perlembagaan sekali gus pandai menzahirkan kehendak untuk perubahan yang selari dengan Islam. 

Jalan 2: Sikap Hakim dan Penghakiman Kreatif 

[62] Sikap hakim sangat mempengaruhi perkembangan sihat sesebuah Perlembagaan disebabkan tafsiran para hakim di dalam kes undang- undang adalah sebahagian daripada sumber dan rujukan utama dalam bidang ini. Memetik kata-kata Chief Justice Charles Hughes daripada Mahkamah Agung US; 

“We are under a Constitution, but the Constitution is what the Judges say it is.”

[63] Apabila wujud kesamaran, Hakim akan memberikan interpretasi berdasarkan kaedah-kaedah yang sedia ada. Fakta kes yang berbeza-beza juga memberi peluang kepada para Hakim untuk mengikut keputusan yang terikat kepada mereka daripada Mahkamah yang lebih tinggi atau memilih untuk membezakan situasi. 


[64] Antara contoh keputusan kreatif Hakim adalah seperti di dalam kes Meor Atiqurrahman apabila Mahkamah secara kreatif membezakan prinsip dengan kes Che Omar bin Che Soh. Di dalam kes tersebut, isu undang- undang yang dibincangkan oleh Mahkamah adalah berkaitan dengan hukuman mati mandatori bagi kesalahan mengedar dadah, di mana hukuman yang diberikan oleh Parlimen tersebut adalah hukuman yang sah dari sudut undang-undang sivil tetapi tidak sah dari segi undang-undang syariah. Sebagai kes yang diputuskan oleh Mahkamah Agung, prinsip dalam keputusan itu sepatutnya terpakai kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah. 


[65] Dalam kes Meor Atiqulrahman pula, Hakim telah membezakan antara hukuman mati mandatori dan pemakaian serban dengan menyatakan bahawa ianya perkara yang sah di sisi undang-undang syariah sebaliknya tidak sah di sisi undang-undang sivil. Dengan membezakan fakta antara kedua-dua kes, hakim terlepas daripada mengikut prinsip kes Che Omar Che Soh dan memutuskan bahawa memakai serban adalah suatu hal yang berperlembagaan. 

[66] Penghakiman dalam kes Meor Atiqurrahman ini menjadi bukti kekreatifan dalam kadar yang dibenarkan undang-undang dan keberanian golongan intelektual dalam penafsiran perlembagaan. Kedua-dua prasyarat ini amat penting sekali dalam memastikan penafsiran perlembagaan terus berkembang sesuai dengan kehendak masyarakat yang mahu kepada Islam.49 Hal ini juga turut menunjukkan bahawa penghakiman kreatif tidak memerlukan Hakim untuk menggunakan label Islam atau menyatakan sumber rujukan daripada perundangan Islam. 

Jalan 3: Menyelaraskan kembali Undang-undang Persekutuan dan Negeri 

[67] Jabatan Peguam Negara perlu memainkan peranan dengan menyemak kembali undang-undang sedia ada sama ada di bawah Persekutuan atau negeri dengan menyediakan cadangan untuk membuang mana-mana peruntukan yang bercanggah dengan undang-undang Islam. Antara undang-undang yang perlu dimansuhkan segera adalah Akta Undang- undang Sivil 1956 (Akta 67) supaya Mahkamah kita bebas terus daripada Undang-undang Common dan ekuiti yang telah lapuk sedangkan undang- undang kita sudah lama jauh berkembang. Contohnya, Seksyen 27 yang berkaitan dengan hak penjagaan kanak-kanak di dalam Akta ini jelas tidak relevan kerana terdapat undang-undang sivil dan syariah lain yang telah memperincikan tentangnya.50 


[68] Pakistan suatu ketika dahulu berada dalam situasi yang sama seperti Malaysia sekarang, namun percubaan mereka mengislamisasikan Undang-undang Common telah membuahkan hasil yang sangat cemerlang. Mereka bermula dengan menubuhkan Majlis Islam Kebangsaan yang menghimpunkan golongan cerdik pandai yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Quran dan Sunnah baik daripada bidang ekonomi, politik, undang-undang dan juga pentadbiran. Majlis ini bertindak menasihat Kerajaan dengan menyediakan laporan menyeluruh terhadap undang- undang sedia ada supaya selaras dengan Islam. 

[69] Hal ini sesuai dengan konteks Malaysia dan boleh dicapai sama ada dengan penubuhan Majlis yang khusus di bawah undang-undang Persekutuan atau dengan mengubah komposisi dan meluaskan fungsi JAKIM dalam membantu memastikan undang-undang persekutuan dan negeri secara keseluruhannya tidak menyalahi hukum syarak dalam jangka masa panjang. Kerja-kerja mengkodkan undang-undang Islam dalam senarai perkara yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan juga perlu dilakukan sebagai rujukan kepada Jabatan Peguam Negara dalam menderaf dan meminda sebarang undang-undang Persekutuan.51 

Jalan 4: Memfederalisasikan Mahkamah Syariah 

[70] Jika kita melihat kepada konflik pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, tidak dapat dinafikan Islam akan terus menjadi mangsa. Oleh yang demikian, kerajaan boleh mempertimbangkan idea untuk memfederalisasikan Mahkamah Syariah mengikut model-model yang dicadangkan oleh ahli akademik bagi menyelesaikan isu pertindanan tersebut. Ianya perlu dilaksanakan secara berfasa demi mengelakkan kemelut Perlembagaan. 

[71] Model yang pertama adalah sistem asal yang diguna pakai pada hari ini cuma Kerajaan boleh mewujudkan pengecualian dalam perkara yang membabitkan dua pihak yang berlainan agama. Kes begini boleh didengari oleh Mahkamah Sivil yang mana panelnya turut terdiri daripada Hakim Syariah. Keputusan Hakim Syariah dalam hal-hal yang berkait dengan agama adalah mengikat keputusan Hakim Sivil. Hakim Sivil pula boleh membuat keputusan dalam hal-hal selebihnya yang tiada kaitan dengan hukum syarak.52 


[72] Satu lagi alternatif yang menarik adalah dengan menyatukan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah di semua peringkat. Ini membawa maksud sistem kehakiman akan dirombak secara besar-besaran dengan meletakkan Mahkamah Syariah di bawah bidang kuasa Persekutuan, bukan lagi di bawah bidang kuasa negeri. Sekiranya isu dalam kes tersebut adalah gabungan isu sivil dan syariah, hakim daripada 2 disiplin ilmu ini boleh bersidang sekali. Hakim Syariah akan membuat keputusan dalam urusan agama dan Hakim Sivil pula akan membuat keputusan dalam urusan sivil. Penghakiman akhir seterusnya akan menjadi keputusan bersama di antara kedua-dua hakim tersebut.53 


[73] Antara model lain yang boleh diikuti adalah dengan melihat kepada sistem mahkamah Syariah di Indonesia yang turut dikenali sebagai Peradilan Agama. Walaupun Indonesia mengamalkan sistem unitari, namun struktur yang digunakan masih boleh diadaptasi sesuai dengan konsep demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Di Indonesia, terdapat 4 cabang Mahkamah yang berbeza bagi setiap negeri dan rayuan akhir bagi semua Mahkamah boleh dibuat di Mahkamah Agung.54 


[74] Hal ini bermaksud, Malaysia boleh mengekalkan sistem yang ada pada hari ini dengan sedikit modifikasi iaitu dengan menjadikan Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi bagi Mahkamah Sivil dan juga Syariah. Melalui cara ini, penyeragaman undang-undang syariah antara negeri dan penyeragaman undang-undang sivil dan syariah akan lebih mudah dibuat kerana penghakiman pemutus hanya datang daripada satu sumber sahaja. 


[75] Ada juga cadangan yang mengusulkan bahawa bagi isu-isu yang berkaitan dengan Islam dan melibatkan pertindanan bidang kuasa, khususnya dalam isu-isu kekeluargaan, penubuhan badan atau tribunal yang bebas daripada Mahkamah Sivil atau Syariah boleh ditubuhkan untuk menyelesaikannya secara mediasi. Cara ini juga dapat mengelakkan kes-kes begini disensasikan dan persetujuan menang-menang dapat diperoleh bersama.55 


[76] Walaupun cadangan penyeragaman struktur ini akan mengalami kesukaran dalam beberapa peruntukan perlembagaan seperti pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, kedudukan Islam serta kedudukan Raja-raja, namun penstrukturan semula Mahkamah bukanlah sesuatu yang mustahil sementelah sistem kehakiman di Malaysia juga sudah beberapa kali dirombak kepada yang lebih baik.56 


[77] Adat berubah pasti ada ketidak selesaan sementara yang perlu ditempuh. Sedangkan dengan pembaharuan sederhana seperti menguatkuasakan sistem ‘E-filing’57 pun sudah menyebabkan firma-firma guaman menjadi huru-hara di peringkat awal kerana perlu menyesuaikan diri dengan sistem baru. Lama-kelamaan, apabila ia menjadi kebiasaan, sudah pasti perubahan itu berbaloi dengan kesukaran yang telah ditempuh. Para peguam tidak perlu lagi membazir masa menunggu di Mahkamah semata- mata untuk pemfailan kertas kausa (dokumen mahkamah) dan Mahkamah juga dapat menggunakan sistem tersebut sebagai rekod dan rujukan. Jelasnya, jika kita ada kemahuan politik, sesukar manapun perubahan tersebut bukanlah penghalang untuk kita terus mewacanakan solusi. 



Bagaimana Jalan-jalan Ini Membantu Menyelesaikan Konflik Pindaan Akta 164 


[78] Sekali imbas, jalan-jalan yang dibincangkan seperti tiada kaitan dalam penyelesaian konflik pindaan Akta 164. Jika kita mengharapkan konflik tersebut selesai dalam tempoh setahun, jawapannya memang perbincangan di atas tiada gunanya. Sebaliknya, jalan-jalan ini adalah penyelesaian masa hadapan terhadap kebanyakan isu-isu umat Islam di Malaysia pada hari ini. 


[79] Sekiranya pengamal undang-undang yang ada pada hari ini memahami prinsip Islam dan menentukan sikap mereka untuk berikhtiar membuka jalan kepada Islam, masalah nikah cerai pasangan mualaf dan penentuan agama anak boleh diselesaikan melalui penyelarasan undang-undang sedia ada dengan hukum hakam Islam, atau melalui satu reformasi sistem Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa terhadap kedua-dua pihak atau jika tidak sampai tahap seperti itu, sekurang-kurangnya Hakim yang bertanggungjawab berani keluar daripada pengaruh undang-undang Barat melalui penghakiman kreatif. 

PENUTUP 

[80] Sebagai penyelesaian jangka pendek, peguam-peguam muda dalam PAS mencadangkan secara khusus untuk usul pindaan Akta 164 ini, agar kerajaan membentuk terlebih dahulu Jawatankuasa Khas untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif. Jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak yang berkepentingan samada dari kalangan penganut Islam dan juga bukan Islam. Hal ini kerana masalah-masalah yang timbul tidak boleh diselesaikan melalui penyelesaian dangkal seperti yang dicadangkan kerajaan, tetapi perlu melalui mekanisma yang lebih anjal.



Rujukan

1 Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 21.11.2016, halaman 30
2 Muzdalifah Mustapha. (6 April 2017). Pindaan Akta 164 ditangguhkan. Utusan. http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pindaan-akta-164-ditangguhkan-1.466233
3 D.R 20/2016
4 Pengamal undang-undang yang dimaksudkan adalah mereka yang telah mendapat latihan secara profesional dalam bidang undang-undang. 
5 Ahmad Ibrahim (1997) Family Law in Malaysia (Third Edition. Lexis Nexis 
6 Ding Do Ca, deceased, Re [1966] 2 MLJ 220
7 Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 5.11.1975, Ruangan 6561 
8 Women’s Charter of Singapore and the Marriage Reform Ordinance 1950 of Hongkong
9 Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 5.11.1975, Ruangan 6602
10 Seksyen 494 Kanun Keseksaan (Akta 574). Hukuman dikenakan adalah penjara yang boleh sehingga 7 tahun dan denda. 
11 Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 7.11.1975, Ruangan 6726
12 An-Nawawi, Raudhatu Ath-Thalibin, jilid 9 hal. 83
13 Al-Bukhari, Sahih Bukhari no hadis 6764 dan Muslim, Sahih Muslim no hadis 4116
14 Nurul ‘Izzah Baharudin & Noor Lizza Mohamed Said. 2015. Analisis Isu Pewarisan Harta Pusaka Saudara Baru di Malaysia. Eisbn: 978-967-13426-2-6. Catatan: Walaupun anak kepada ibu bapa yang mualaf ini tidak mendapat hak mewarisi secara automatik melalui sistem faraid, harta pusaka masih boleh diberi melalui wasiat. 
17 Pendapat Tan Sri Dr Harussani Zakaria (Mufti Perak), Tuan Guru Haji Hadi Awang (Presiden PAS), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia), Musa Awang (Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia) dan lain-lain 
18 Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Negeri Perlis Kali Ke-18/2015 19 Penyata Rasmi Parlimen Dewan Rakyat bertarikh 7.11.1975, Ruangan 6732 
23 Sarjana juga turut membincangkan impak tafsiran tersebut di bawah tema Malaysia sebagai sebuah negara Islam atau negara sekular.
24 Tommy Thomas. Is Malaysia an Islamic State? [2006] 4 MLJ xv
25 Che Omar Che Soh v PP [1988] 2 MLJ 55 
26 Lina Joy v the Federal Territory Islamic Council and Ors [2007] 3 AMR 693
27 Meor Atiqulrahman Ishak & Yang Lain lwn Fatimah Sihi & Yang Lain [2000] 1 CLJ 393 
28 Antara Hakim dan Sarjana yang cenderung dengan penghakiman yang pertama adalah Shad Saleem Faruqi, Dato’ Abdul Hamid Bin Haji Mohamed, Dato’ Mohamad Ariff dan Tommy Thomas, manakala pendokong pendapat kedua terdiri daripada Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Saleh Abas, Dr. Aziz Bari, Tun Ahmad Fairuz dan Dr Shamrahayu. Untuk tujuan memudahkan perbincangan, penulis tidak berhajat untuk membahaskan perbezaan hujah antara setiap Sarjana dalam menyatakan pendapat mereka. 
29 ZI Publications Sdn Bhd and Anor v Kerajaan Negeri Selangor Civil Appeal No. W-01(A)-383-10/2016 
30 Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan: “Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu” 
31 Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan: “Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu” 
32 Prof. Dr. Yusuf Al Qaradhawy (2010) Agama dan Politik. Alam Raya Enterprise. 
33 Dr. Abdul Kareem Zaidan, Nizomul Qadha’ fi Syariatil Islamiyyah, m/s 9
34 Syed Qutb, Tafsir Fi Zilal al-Quran, Jilid ke2 m/s 681
35 Muhammad Zuhaili Saiman (2012) Fiqh Politik Islam. Badan Penerangan & Penerbitan (BPP), PMRAM 
36 Abdul Hadi Awang (2007) Islam & Demokrasi. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
37 Rosli Dahlan (15 May 2015) The Position of Shariah Court in the Malaysian Legal System. Malay Mail Online. 
38 World Arrogance Von Prof Dr Ahmad Zidan. Dlm Lord Cromer, Modern Egypt – The Europeanized Egyptians, Vol. II 
39 S. Abul A’la Maududi (1980) The Islamic Law and Constitution. Islamic Publication Ltd. 
40 Ahmad Ibrahim (1994) Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
41 Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan: “Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”.
42 Seksyen 421A Kanun Tanah Negara: “Bagi tujuan Seksyen 417 dan 420, perkataan “Mahkamah” termasuklah Mahkamah Syariah”. 
43 Shamrahayu A. Aziz. The Malaysian Legal System: The Roots, The Influence and The Future [2009] 3 MLJ xcii 
44 Dr Abdul Aziz Bari. Teaching Constitutional Law in Malaysia: An Appraisal [1999] 1 MLJ clxvii
45 Ahmad Ibrahim (1994) Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 46 Dr Abdul Aziz Bari. Teaching Constitutional Law in Malaysia: An Appraisal [1999] 1 MLJ clxvii
47 Shamrahayu A Aziz. Kesarjanaan dan Penulisan Perlembagaan: Satu Kajian Permulaan [2009] 2 MLJ cxxiv 
48 Tommy Thomas (2016) Abuse of Power; Selected Works on the Law and Constitution. Strategic Information and Research Development Centre. 
49 Dr Abdul Aziz Bari. Islam in the Federal Constitution: A Commentary on the decision of Meor Atiqulrahman [2000] 2 MLJ cxxi
50 Ahmad Mohamed Ibrahim (1997) The Administration of Islamic Laws. IKIM 
51 Mohammed Imam. Making Laws Islamic in Malaysia: A Constitutional Perspective [1994] 2 CLJ vii (July) 
52 Dato’ Abdul Hamid Bin Haji Mohamed. Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions [2002] 1 MLJ cxxx
53 Dato’ Abdul Hamid Bin Haji Mohamed. Civil and Syariah Courts in Malaysia: Conflict of Jurisdictions [2002] 1 MLJ cxxx 
54 Farid Suffian Shuib. Federalising Shariah Courts in Malaysia: Lessons from the Indonesian Peradilan Agama [2015] 1 MLJ lviii 
55 Zainul Rijal Abu Bakar (23 Nov 2016) RUU Pindaan A164 Bercanggah Perlembagaan. Malaysiakini. 56 Wan Arfah Hamzah (2009) A First Look at the Malaysian Legal System. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
57 Sistem pemfailan atas talian yang disediakan untuk Mahkamah-mahkamah di Semenanjung Malaysia 









No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo