NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Piala Malaysia: Rombak Jadual Perlawanan atau akan dilupakan



Oleh Eddy Zakry

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Kedudukan Piala Malaysia sebagai pertandingan bolasepak paling berprestij negara semakin tergugat apabila pasukan-pasukan mengakui mereka memberi keutamaan kepada saingan liga.

Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel telah merehatkan beberapa orang pemain utama ketika menentang Perak di dalam aksi Kumpulan B, Piala Malaysia minggu lepas kerana mahu merebut kejuaraan Liga Perdana.

Kuala Lumpur kekal berada di tempat teratas Liga Perdana setelah menundukkan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Jumaat lepas.

Minggu lepas, pasukan-pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan juga tidak menurunkan pemain utama di dalam saingan Piala Malaysia kerana memberi keutamaan kepada saingan Liga Perdana. Negeri Sembilan yang menurunkan 6 orang pemain Piala Presiden telah kalah 4-1 kepada T-Team.

Jika keadaan berterusan, pertandingan Piala Malaysia akan dilupakan oleh peminat kerana pasukan-pasukan lebih mementingkan kedudukan liga mereka. Sebelum ini saingan Piala Malaysia hanya bermula selepas berakhirnya saingan liga. Kedudukan terakhir liga menentukan kelayakan ke pertandingan Piala Malaysia.

Tetapi hari ini kedudukan liga setelah separuh perjalanan liga dilalui atau selepas 11 perlawanan menjadi penentu. 11 pasukan teratas Liga Super dan 5 pasukan teratas Liga Perdana akan layak ke Malaysia. Terdapat 12 pasukan bagi kedua-dua liga ini.

Kedua-dua pertandingan liga dan Piala Malaysia dijalankan serentak. Pada separuh kedua liga, pasukan-pasukan yang layak ke Piala Malaysia terpaksa bermain lebih banyak perlawanan.

Tidak menghairankan bila mereka tidak menurunkan pemain utama pada saingan Piala Malaysia. Terutamanya pasukan Liga Perdana yang melihat saingan untuk merebut tempat ke Liga Super lebih penting dari Piala Malaysia.

Kita perlu kembali ke zaman di mana saingan Piala Malaysia merupakan kemuncak kepada musim bolasepak negara. Tumpuan peminat kepada piala tersebut tidak boleh diganggu oleh pertandingan-pertandingan lain. Sejarah 95 tahun piala terunggul itu tidak boleh dilupakan begitu sahaja.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo