Rakyat diam, mengapa bebalkan PAS? - 1Media.My

Header Ads

Rakyat diam, mengapa bebalkan PAS?



SUBKY LATIF  07 AUGUST 2017

KETIKA satu soalan orang awam yang bertanya mengapa semua diam terhadap penderitaan atas keperitan hidup rakyat dan ekonomi negara yang teruk sekarang dalam satu tulisan saya sebelum ini, jawapan saya ia adalah gara-gara rakyat tidak berdaulat setelah ditindas sekian lama.
      
Kalau rakyat berdaulat dan merdeka, nescaya tiada kesempatan bagi manusia menindas manusia lain dan tiada ruang bagi pemerintah memperhambakan rakyatnya sendiri.


       
Ia adalah jawapan standard kepada persoalan kepincangan sosial politik yang gagal  mengagihkan keadilan sosial kepada rakyat di mana-mana saja dan bila-bila masa saja. Ia telah dibincang sejak zaman Yunani purba oleh pemikir seperti Plato, Aristotle dan Socretes, ia berlaku di Mesir purba oleh Firaun terhadap Bani Israil. Firaun bunuh anak laki-laki Bani Israil dan biarkan anak pempuan hidup.
    
Zaman Genghis Khan, zaman penjajahan barat dan zaman perhambaan kulit putih Amerika terhadap kulit hitam. Bahkan di zaman feudal Melayu Melaka.
      
Penguasa yang minoriti melakukan sekehendak hati ke atas majoriti yang besar.
       
Kita sekarang berada dalam dunia ketiga, mewarisi amalan dunia ketiga dengan rakyat tidak berdaulat, terima saja apa yang ditentukan oleh pembesar sekalipun memakai nama demokrasi. Demokrasi adalah untuk orang atas dan bukan untuk orang awam.
       
Tidak bererti rakyat tidak ada kesedaran, tetapi belum ada cukup kekuatan dan keberanian untuk bangkit. Demikianlah kuatnya kuasa penindasan golongan kecil ke atas golongan besar.
      
Itulah hakikat rakyat kita sekalipun ia ada rakyat bernama Anwaar Ibrahim dan Dr Mahathir.
       
Lalu seorang netizen menempelak PAS. Dulu diharapkan PAS, tetapi PAS dikatakan sudah jadi HAMPAS. Memberi tali hayat kepada Najib…
        
Pandangan netizen itu sekadar menyatakan kekecewaannya kepada PAS, tetapi ia bukan jawapan yang tepat kepada masalah yang dihadapi. Ia menggunakaan logik musuh PAS kerana PAS tidak dapat menerima cara Najib dan kerajaannya hendak digantikan.
       
Musuh PAS mengenepikan PAS kerana tidak mahu ganti sistem Najib itu adalah sistem PAS. Maka mereka gantikan PAS dalam sistem pembangkang itu supaya yang ditegakkan bukan sistem PAS dan bukan sistem Najib.
      
Netizen itu minat Najib dan UMNO digantikan dan tidak peduli dengan sistem PAS. Tiadanya PAS dalam sistem pembangkang yang ada ialah kerana ia secara sistematik telah diketepikan dengan membebalkan pula PAS memberi tali hayat kepada Najib.
      
Jika rakyat bisu sejak merdeka, bukan kerana PAS mengabaikan peranannya menentang UMNO. Sejak pilihan raya tahun 1955 hingga PRU13 PAS terus menerus menentang UMNO baik ketuanya bernama Tun Razak, Mahathir, Anwar dan Najib.
       
Selama-lamanya PAS menentang UMNO, tetapi bagi PRU14 ini ialah hendak menggantikan.  PAS itu asalnya ditubuhkan tahun 1951 bersama UMNO. PAS boleh jadi UMNO dan UMNO jadi PAS. Bila ia ada prasarana, ia berpisah dengan UMNO. Sebahagian dari orang UMNO sudah pun jadi PAS.
       
Sekarang PAS tidak menentang seperti dulu, tapi berjanji untuk menggantikan UMNO. Semua yang menentang UMNO sepatutnya bersama PAS dan bukan membebalkan PAS. Anwar patut bersama PAS sekarang. Mahathir dan Muhyiddin tidak tubuh parti baru tapi bersama PAS, ajak DAP supaya membantu PAS menggantikan UMNO.
      
Mahathir nampak PAS boleh ganti UMNO, maka dia segera tubuh parti baru supaya sistem PAS tidak menggantikan sistem UMNO. Tahun 1982 Mahathir curi Anwar supaya sistem PAS dapat ditangguhkan. Sekarang mereka berdua lagi. - 

HARAKAHDAILY 7/8/2017