NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: MIC yakin Tapah menang, yang lain 50-50




KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan MIC, L Sivasubramaniam berpendapat bahawa tidak salah permintaan Umno yang mendesak MIC memberi beberapa kerusi yang ditanding secara tradisional kepadanya.

Menurutnya, walaupun tidak setuju dengan permintaan Umno, pada masa yang sama beliau tidak menolak hasrat parti Melayu itu dalam ‘perlumbaan’ memenangi Pilihan Raya Umum yang ke-14.

“Saya tidak setuju. Tidak baik minta kerusi kawan (parti gabungan). Tetapi, apa Umno nak buat, kalau MIC semakin ditolak oleh rakyat,” katanya kepada Berita Daily ketika mengulas kenyataan beberapa bahagian Umno mendesak pucuk pimpinan BN supaya Umno bertanding di beberapa kerusi milik MIC pada PRU nanti.

“Setahu saya, perkara sebegini tidak pernah berlaku di zaman dua bekas Presiden MIC S Samy Vellu dan G Palanivel. Kalau adapun bukan secara terbuka. Mungkin dalam mesyuarat negeri atau bahagian sahaja. Tetapi, sekarang mereka (Umno) desak MIC secara terbuka. Ini menunjukkan kelemahan pentadbiran Presiden MIC Dr S Subramaniam,” tegas beliau.

“PRU akan datang bukan seperti masa dulu. Setiap satu kerusi penting bagi Umno. Ini yang membuat mereka mendesak MIC kerana Umno sedar kelemahan MIC.”

Sivasubramaniam turut memberi contoh tindakan Ketua Pemuda C Sivarraajh yang ‘berkhemah’ di Cameron Highlands sejak tiga minggu ini, selepas bekerja keras di kawasan parlimen Sungai Siput.

“Saya tidak salahkan beliau. Selepas bekerja keras di Sungai Siput, kini berpindah ke Cameron Highlands. Mungkin menyedari peluang menang di Sungai Siput amat tipis. Manakala, Ketua Wanita Mohana Muniandy yang selama ini berada di Cameron Highlands, kini dikhabarkan akan dijadikan sebagai senator. Mungkin takut kalah dalam PRU. Bukan sahaja Ketua Wanita, Naib Presiden T Mohan turut tidak nak bertanding dan mendesak Presiden parti supaya memberi jawatan senator kepadanya.”

“Tetapi, ini bukan salah mereka, sebaliknya kelemahan Subramaniam sendiri di mana MIC menjadi semakin tidak relevan kepada kaum India” ujarnya.

“Cubalah tengk, beliau hanya buka mulut kepada isu-isu tertentu seperti sekolah-sekolah Tamil yang baru seperti dijanjikan oleh Najib, dan dana-dana kerajaan kepada kaum India. Tidak kepada isu Gatco, sekolah-sekolah Tamil yang usang, status Bumiputera kepada India Muslim. Ini menunjukkan beliau takut berdepan dengan masalah,” jelas Sivasubramaniam.

Ketika ditanya peluang MIC pada PRU 14, Sivasubramaniam berpendapat bahawa hanya kerusi Tapah (Perak) sahaja selamat.

“Buat masa sahaja ini hanya Tapah sahaja selamat. Yang lain semua peluang 50-50 atau tiada peluang lansung termasuk Hulu Selangor (Selangor) dan Segamat (Johor).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, M Saravanan merupakan Ahli Parlimen Tapah. Manakala, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan memenangi kerusi parlimen Segamat dan Hulu Selangor masing-masing pada PRU yang lalu.

Sivasubramaniam turut menjelaskan bahawa permusuhan dalaman merupakan satu lagi isu serius di MIC.

Sebagai contoh, di DUN Ijok (Selangor), ahli-ahli MIC tempatan tidak setuju dengan calon pilihan Presiden, K Parthiban (bekas Adun Ijok). Sama juga di DUN Hutan Melintang (Perak) (V Elango, Pengerusi MIC Perak), Bukit Selambau (Kedah) (Naib Presiden MIC Jaspal Singh).

“Kesemua ini pilihan Presiden. Tetapi ditolak oleh ahli MIC tempatan,” katanya sambil menambah bahawa sebagai Presiden, Subramaniam sepatutnya perlu memberi keutamaan rakyat daripada pilihan diri sendiri.

“Inilah beberapa perkara memberi keyakinan kepada Umno bahawa MIC akan kalah teruk pada PRU nanti. Dan ini yang membuat mereka mendesak MIC supaya memberi peluang kepadanya untuk bertanding,” kata Sivasubramaniam.

Ditanya, apakah peluang MIC menang PRU, Sivasubramaniam berkata terdapat dua perkara penting.

“Yang pertama, beri peluang kepada calon yang berkualiti dan pilihan rakyat. Yang kedua dan paling penting duduk semeja dengan parti-parti India yang lain termasuk penyokong Palanivel.”

“Tetapi, ini kemungkinan besar tidak akan berlaku kerana ego Presiden MIC lebih besar daripada kepentingan MIC sendiri,” tambahnya.
© all rights reserved
made with by templateszoo