Header Ads

Peraturan baru JPJ yang perlu anda tahu

KENYATAAN MEDIA
OLEH KETUA PENGARAH JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA SEMPENA PELAKSANAAN SISTEM MATA DEMERIT 2017

Sistem Mata Demerit diperkenalkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kepatuhan pemandu kenderaan motor terhadap peraturan lalu lintas. Pemandu yang kerap melakukan kesalahan lalulintas serta mempunyai banyak rekod kesalahan lebih cenderung untuk membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Pelaksanaan Sistem Mata Demerit dilihat dapat membendung seseorang pemandu kenderaan motor itu daripada berterusan melakukan kesalahan dan akhirnya menyumbang kepada berlakunya kemalangan serta kehilangan nyawa. 

Sistem Mata Demerit ini telah dilaksanakan di beberapa buah Negara termasuk negara-negara maju seperti United Kingdom, Australia, Canada, German, Singapore dan lain – lain yang mana ternyata memberikan kesedaran dan peringatan seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan dan kematian di jalanraya. 

Seseorang pemandu kenderaan motor akan dikenakan mata demerit apabila mereka didapati melakukan kesalahan lalulintas. Mata demerit yang diberikan adalah berdasarkan jenis kesalahan yang telah disabitkan atau yang telah dikompaunkan. Mata-mata ini akan terkumpul dan apabila mencapai jumlah yang ditetapkan tindakan berikut akan diambil: 

PEMEGANG LESEN MEMANDU KOMPETEN (CDL) 


Mata Terkumpul
Tindakan
Tempoh Gantung
20 Mata Pertama
Amaran
Tiada
20 Mata Kedua
Gantung kali pertama
6 – 8 bulan
20 Mata Ketiga
Gantung Kali Kedua
8 – 10 bulan
20  Mata Keempat
Gantung Kali Ketiga
10 – 12 bulan
CDL Dibatalkan - Tiga Kali Penggantungan Dalam Tempoh 5 Tahun


PEMEGANG LESEN MEMANDU PERCUBAAN (PDL) 

Pemegang lesen yang telah mencapai jumlah mata demerit yang membolehkan tindakan amaran/gantung/batal dikenakan akan diberikan notis tentang tindakan yang bakal dikenakan. Penggantungan/Pembatalan lesen memandu akan bermula sebaik sahaja lesen memandu diserahkan oleh pemegang lesen tersebut atau selepas tempoh 21 hari notis pemberitahuan tindakan dikeluarkan. 

Mana-mana pemandu yang lesen memandunya digantung atau dibatalkan perlu menyerahkan lesen memandu di mana-mana pejabat JPJ seterusnya dilarang untuk memandu kenderaan motor. Sekiranya disabitkan kesalahan memandu semasa lesen memandu digantung atau batal, mereka BOLEH DIDENDA TIDAK KURANG DARIPADA TIGA RIBU RINGGIT dan TIDAK LEBIH DARIPADA SEPULUH RIBU RINGGIT ATAU PENJARA TIDAK MELEBIHI TIGA TAHUN. 

Pembatalan lesen memandu akan menyebabkan seseorang itu perlu mengikuti semula proses mendapatkan lesen memandu sebagaimana yang dilalui oleh bakal pemandu baharu. 

Mana-mana pemegang lesen yang telah mengumpul sejumlah mata demerit tetapi belum mencapai dua puluh mata boleh memohon untuk mengikuti kursus pemulihan yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah dan sekiranya lulus dengan jayanya kursus tersebut, sejumlah lima puluh peratus (50%) mata demerit yang terkumpul akan ditolak sebagai insentif. Pemberian insentif ini adalah hanya sekali dalam tempoh memegang suatu lesen memandu.

Insentif pemanduan yang baik sebanyak lima puluh peratus (50%) pengurangan mata demerit juga boleh diberikan kepada pemegang lesen yang telah mengumpul sejumlah mata demerit tetapi tidak mencapai dua puluh mata dengan syarat mereka tidak pernah disabitkan atau dikompaunkan dengan mana-mana kesalahan terjadual dalam tempoh setahun daripada tarikh terakhir mata kesalahan terjadual direkodkan. 

Untuk permulaan, hanya kesalahan yang melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah sahaja yang akan dikenakan mata demerit. Pelaksanaan sistem ini akan mula dikuatkuasakan pada 15 April 2017. 

Sebarang pertanyaan mengenai inisiatif baru ini bolehlah di ajukan melalui email kepada [email protected] 

Jabatan Pengangkutan Jalan berharap dengan terlaksananya inisiatif baru ini dapat mendidik pengguna jalan raya dalam mematuhi peraturan seterusnya menyumbang kepada persekitaran jalan raya yang selamat. 

Ibu Pejabat,
Jabatan Pengangkutan Jalan, Malaysia.
-TAMAT-