NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelancaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang : Najib lupa sumbangan Kerajaan Negeri.


Adalah menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana projek pembangunan Putrajaya adalah projek Kerajaan Persekutuan tetapi tanpa kerjasama dan sumbangan Kerajaan Negeri masalah ini tidak akan dapat diselesaikan - YB Dato' Iskandar Abdul Samad.

Oleh Afwan Khalili, 1Media.my.

SHAH ALAM, 18 Ogos - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lupa sumbangan Kerajaan Negeri Selangor ketika melancarkan program Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang, Dengkil Rabu lepas.


Menurut YB Dato’ Iskandar Bin Abdul Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, projek tersebut dibina di atas tanah yang diserahkan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, tanah seluas 30 ekar itu telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri dari pemaju dengan kos lebih RM 15 juta dan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk projek PPR tersebut tanpa sebarang bayaran.

Projek PPR itu adalah sebagai penyelesaian kepada masalah penduduk Rumah Kos Rendah Taman Permata, Dengkil yang dibina untuk bekas pekerja-pekerja ladang apabila Kerajaan Persekutuan hendak membangunkan Putrajaya.

Rumah Kos Rendah tersebut menghadapi masalah keretakan teruk kepada struktur bangunan yang dipercayai akibat tanah mendap.

“Adalah menjadi kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana projek pembangunan Putrajaya adalah projek Kerajaan Persekutuan tetapi tanpa kerjasama dan sumbangan Kerajaan Negeri masalah ini tidak akan dapat diselesaikan,” Iskandar menambah.

Iskandar turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persektuan di dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan rakyat tetapi beliau kesal kerana Kerajaan Persekutuan lebih suka bermain politik. (1Media.my)
© all rights reserved
made with by templateszoo