PAS: Jangan Uji Kesabaran Umat Islam - Dr Zuhdi - 1Media.My

Header Ads

PAS: Jangan Uji Kesabaran Umat Islam - Dr Zuhdi



KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk penjawat awam yang masih berkhidmat dengan badan perundangan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang keputusan dan tindakan yang boleh disifatkan sebagai menguji kesabaran umat Islam di negara ini, termasuk kes terkini berkaitan dengan isu ‘Bin Abdullah’. 

Hal ini dibangkitkan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), yang menggesa supaya semua pihak mengambil kira dan menghormati institusi Islam dan sensitiviti Islam di negara ini. 

“Seharusnya semua pihak, dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan mengambil kira juga penghormatan terhadap institusi Islam dan peka dengan sensitiviti umat Islam. Dalam isu-isu seperti ini sekiranya tidak ditangani secara berhemah boleh mencetuskan konflik yang boleh menggugat kestabilan negara. Sesuatu keputusan dan tindakan yang tidak berasaskan pendekatan konvensional secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan sensitiviti pihak lain akan mengundang pihak tersebut mengambil pendekatan konfrontasional, " kata Pengarah PPP Dr Zuhdi Marzuki. 

“PPP juga melihat keputusan yang dibuat oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan berkaitan isu ‘Bin Abdullah’ ini boleh mencabar dan menguji kesabaran umat Islam. Ia disusuli dengan kenyataan dan liputan media yang boleh menambahkan lagi kemarahan umat Islam.” 

Menurut badan penyelidik tersebut perkembangan ini amatlah membimbangkan, oleh itu PPP mengharapkan penghormatan terhadap institusi Islam dan sensitiviti umat Islam dapat dipelihara. 

Read more at: https://www.menara.my/jangan-uji-kesabaran-umat-islam-pengarah-pusat-penyelidikan-pas/

___________________
Kenyataan Asal: 

SEMUA PIHAK DIPERINGATKAN JANGAN CABAR DAN UJI KESABARAN UMAT ISLAM

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) memperingatkan semua pihak termasuk penjawat-penjawat awam yang masih berkhidmat dengan badan perundangan, supaya tidak membuat sebarang keputusan dan tindakan yang boleh disifatkan mencabar dan menguji kesabaran umat Islam di negara ini. Mutakhir ini, PPP melihat terlalu banyak keputusan dan tindakan pelbagai pihak termasuk keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sivil yang boleh menghilangkan kesabaran umat Islam termasuk yang terkini berkaitan dengan isu 'Bin Abdullah'.

Seharusnya semua pihak, dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan mengambil kira juga penghormatan terhadap Institusi Islam dan peka dengan sensiviti umat Islam. Dalam isu-isu seperti ini, sekiranya tidak ditangani secara berhemah boleh mencetuskan konflik yang boleh menggugat kestabilan negara. Sesuatu keputusan dan tindakan yang berasaskan pendekatan konvensional secara membuta tuli dengan tidak mempedulikan sensitiviti pihak lain akan mengundang pihak tersebut mengambil pendekatan konfronsional.

Di dalam sejarah negara, 'Peristiwa Natrah' menjadi contoh yang terbaik. Peristiwa ini cuba diselesaikan secara konvension dengan membicarakannya melalui Undang-undang British yang kemudiannya tidak memihak kepada hasrat bersama umat Islam. Ia diikuti pula oleh provokasi media-media penjajah ketika itu sehingga menyebabkan kemarahan umat Islam memuncak. Ekoran dari itu, umat Islam mengambil pendekatan tidak konvensional atau pendekatan konfronsional dengan membuat rusuhan.

PPP melihat, keputusan yang dibuat oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan berkaitan isu 'Bin Abdullah' ini boleh mencabar dan menguji kesabaran umat Islam. Ia disusuli dengan kenyataan dan liputan media yang boleh menambahkan lagi kemarahan umat Islam. PPP melahirkan kebimbangan ada kelompok dari kalangan umat Islam yang akan memilih untuk tidak menghormati mahkamah disebabkan mereka melihat Islam sudah tidak dihormati. Oleh sebab itu, PPP mengharapkan penghormatan terhadap Institusi Islam dan sensitiviti umat Islam dapat dipelihara.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP

4 Ogos 2017
11 Zulkaedah 1438