NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memali: Bekas senator PAS tolak tuduhan seleweng derma


PETALING JAYA: Seorang bekas senator PAS yang dituduh menyeleweng wang derma membantu penyokong parti yang terlibat dalam peristiwa Kampung Memali 3 dekad lalu menafikan dakwaan itu.

Datuk Muhamad Yusof Husin, yang mempengerusikan Madrasah Islahiah Diniah, sebuah sekolah agama ditubuhkan Ibrahim Mahmud yang menjadi sasaran polis dalam peristiwa berdarah itu, berkata siasatan terhadap tuduhan yang dibuat seorang bekas ahli PAS yang ditugaskan mengurus dana lebih sejuta ringgit dalam Tabung Memali mendapati tuduhan itu tidak berasas.

“Polis dari unit jenayah perdagangan membuat siasatan selama 2 hari di mana semua dokumen Madrasah Islahiah Diniah disemak,” kata Yusof kepada FMT.

Beliau mengulas dakwaan bekas ahli PAS, Zainon Ismail, yang juga dikenali sebagai CN Afghani, yang mendakwa penyelewengan sejumlah wang Tabung Memali. Menurutnya, beliau membuat laporan polis mengenainya di Baling pada 2000, tetapi masih belum dipanggil untuk siasatan.

Zainon berkata pemimpin PAS termasuk yang sudah meninggalkan parti itu perlu bersedia menjawab sekiranya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan bagi merungkai insiden yang berlaku pada November 1985 di Kampung Memali, Baling, Kedah.

Tabung Memali ditubuhkan pada 1986 bagi membantu keluarga mangsa yang kebanyakannya ahli PAS, termasuk untuk membiayai proses menyaman kerajaan.

Tragedi Memali kembali dibincangkan selepas soalan mengenainya dibangkitkan pada forum “Nothing to Hide” anjuran PPBM yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana menteri ketika insiden itu berlaku dan berakhir dengan kematian 14 penduduk kampung dan 4 anggota polis.

Pergaduhan tercetus selepas penduduk kampung mempertahankan guru agama Ibrahim Mahmud, atau Ibrahim Libya, daripada ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyebarkan ajaran sesat, tuduhan yang ditolak PAS.

‘Semua wang diagihkan’

Yusof berkata hasil siasatan polis membuktikan dakwaan Zainon suatu pembohongan.

“Maknanya laporan polis yang dibuat itu tidak benar.

“Parti sudah siasat, polis pun sudah siasat. Memang tidak ada sebarang penyelewengan, malah polis pun ketawa,” kata Yusof.

Menurutnya, beliau tidak mendedahkan siasatan polis kepada umum kerana “tidak mahu besarkan kes dan malukan sesiapa”.

Semalam, bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu, yang kini memimpin Amanah, berkata kesemua wang dalam Tabung Memali sudah diagihkan kepada keluarga mangsa.

Yusof berkata semua sumbangan disatukan di bawah akaun madrasah.

“Bila saya bebas daripada tahanan Operasi Lalang 3 tahun selepas peristiwa Memali, ada orang datang nak beri sumbangan secara terus dan selepas itu baru kita wujudkan di peringkat madrasah bersama Tabung Memali mengunakan akaun Bank Islam.”

Menurutnya, pihaknya mengasingkan derma untuk mangsa Memali dan untuk madrasah.

Yusof berkata, wang yang dikutip menerusi akaun madrasah melebihi RM1 juta, tetapi tidak dapat memberikan jumlah sebenar.

Pada 2002, presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Noor mengumumkan penutupan Tabung Memali, dengan semua baki wang diagihkan kepada waris mangsa.

Yusof berkata wang disampaikan sendiri Datuk Seri Azizan Abdul Razak, pesuruhjaya PAS Kedah ketika itu.

Syarikat ‘Corak Memali’

Yusof yang juga bekas setiausaha PAS Kedah mendakwa Zainon pernah melakukan tindakan di luar pengetahun parti dengan menubuhkan sebuah syarikat bernama Corak Memali untuk mengutip derma Tabung Memali.

Menurutnya, pihak madrasah menerima panggilan daripada orang awam yang mengadu sumbangan mereka tidak sampai.

Pihak PAS kemudiannya mengumumkan syarikat itu tidak ada kena mengena dengan Tabung Memali dikelolakan parti itu, kata Yusof.

“Saya tidak ada niat untuk burukkan orang. Sebelum ini saya tidak pernah cerita pada sesiapa, tetapi wartawan tanya, jadi saya rasa sampai masa saya kena cerita benda sebenar.

Zainon dipecat daripada PAS pada 2001, setahun selepas laporan polisnya.

Dalam bukunya “Air Mata di Bumi Memali”, beliau menjelaskan Corak Memali membantu balu mangsa tragedi Memali, termasuk melalui perniagaan jahitan.

Empat tahun lalu, Zainon mempersoalkan ke mana pergi RM65,000 yang masih wujud dalam tabung itu ketika ia ditamatkan PAS.

Sementara itu, Yusof bersetuju RCI ditubuhkan supaya siasatan secara telus dapat dijalankan, termasuk berhubung dana Tabung Memali.

“Kita nak takut apa?” soalnya.

“Dulu kita pernah disiasat. Kalau nak siasat, siasatlah dari A sampai Z, tidak ada masalah.

“Kalau nak tengok rekod akaun bank saya, tidak ada masalah,” kata Yusof yang masih menjadi ahli jawatankusa PAS Kedah.

Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/08/24/bekas-senator-pas-tolak-tuduhan-seleweng-derma-memali/
© all rights reserved
made with by templateszoo