Header Ads

Maghi Sining Nok Royak: Mintak Maaf Ambo Tak Dok Pitih...

Minum pagi bersama seorang kawan yang rapat dengan Almarhum TGNA semasa hayat beliau. Ambo belajar beberapa ilmu kehidupan yang sangat berharga dan tak tercatat dalam mana-mana buku sains politik.

Pernah TGNA pergi tempat kenduri. Bila nak balik, Tok Guru pergi salam dengan tuan rumah sambil bercakap dengan lemah lembut, "Mintak maaf bbanyok, ambo tak dok pitih..." Allah... mengalir air mata tuan rumah. Dia jemput Tok Guru mari kenduri bukan kerana nak mintak pitih Tok Guru. Kehadiran Tok Guru sudah suatu rahmat besar bagi tuan rumah.

Suatu hari mari seorang rakyat ke rumah Tok Guru minta bantuan nak bayar yuran sekolah anak. Dengan sedih Tok Guru tanya, "mari dari mano, mari dengan gapo?"

Bila tetamu bagitahu dia mari dari Pasir Puteh, Tok Guru kata, "kesiannyoo... ambo tak dok pitih nak wi." Ada dalam poket cuma 20 riyal, Tok Guru bagi ganti balik tambang hamba Allah ini mari dari jauh. Kata Tok Guru, "Kalu dia tak tambang teksi mari sini, sepatutnya dalam poket dia masih ada lagi 20 riyal..."

Dato' Muhammad Daud Iraqi bekas Ketua Ulama PAS Pusat yang ambo panggil Ayoh Mad pernah cerita. Masa Ayoh Mad jadi calon Pilihanraya Kecil Lundang dulu, Tok Guru kirim sedikit wang belanja untuk Ayoh Mad melalui pembantu Tok Guru. 

Dalam sampul ada RM650. Selang masa tak lama, pembantu Tok Guru mari semula jumpa Ayoh Mad. Minta maaf dia silap faham. Sebenarnya Tok Guru pesan suruh bagi 500 saja kepada Ayah Mad dan simpan 150 lagi untuk Tok Guru nak guna. Bila bagi semua kepada Ayoh Mad, Tok Guru tak ada duit lagi. Jadi kena minta balik semula 150.

Biasa Tok Guru minta pembantu beliau tolong ambil duit dari mesin ATM. Pembantu Tok Guru pergi cucuk kad ATM, tengok tak ada duit.

Orang yang pernah terima cek dari Tok Guru, mereka tak pelik kalau Tok Guru pesan. "Cek ni gi tukar akhir bulan. Jangan gi loni, tak dok pitih..."
Nak jadi seorang pemimpin yang berjaya dan disayangi, bukan mesti kita banyak pitih. Walau Umno selalu ajar rakyat dengan pitih.

Semoga Allah merahmati Almarhum Tok Guru yang telah mendidik kita dengan erti dan makna sebenar kehidupan ini.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
23 Ogos 2017