NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jati Diri Bangsa Malaysia Teras Perpaduan Nasional


Oleh: Datuk Wan Ahmad Fauzi bin Wan Husain

Sempena dengan bulan kemerdekaan, setiap warganegara perlu mengulangi rasa kesyukuran. Campurtangan British di Semenanjung Tanah Melayu serta penjajahan Sabah dan Sarawak pada hakikatnya berpusat pada kepentingan pelaburan mereka dalam aktiviti ekonomi. Kesan daripada campur tangan British di Semenanjung Tanah Melayu misalnya, telah mewujudkan masyarakat berbilang keturunan dan kepercayaan agama yang selama ini; rakyat Raja hanyalah orang-orang Melayu (termasuklah pribumi) dan Islam sebagai undang-undang watan. 

Apabila Persekutuan Tanah Melayu dimasyhurkan berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1957, kewarganegaraan secara Persekutuan diwujudkan. Justeru, bangsa Melayu, bangsal asal Tanah Melayu bersetuju menerima sama rakyat British yang cukup syarat sebagai warganegara. Menurut Anderson, ‘bangsa’ adalah entiti yang dijelmakan dalam kerangka ‘state’, tanpa mengambil kira darah keturunan sebagai isu. Perlu dinyatakan bahawa Dr Burhanuddin al-Helmi pernah mencadangkan agar semua warganegara Persekutuan itu dikenali sebagai bangsa Melayu, sesuai dengan kedudukan Tanah Melayu sebagai nama tanah air ini. Namun begitu, cadangan beliau ditolak kerana jati diri Melayu itu tidak dapat dipisahkan daripada penganutan Islam. Menurut Rekonfigurasi Epistemologi Jati Diri Melayu (2013), bangsa Melayu terdiri daripada penganutan Islam, rakyat raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan adat resam Melayu, keinginan menjadi Melayu dan keturunan salah satu pasangan Melayu. 

Barangkali kerana terlepas pandang, rakyat British yang datang dari Tanah Besar Cina dan India masih dipanggil sebagai bangsa Cina dan India sedangkan apabila mereka menjadi warganegara Persekutuan, pengenalan bangsa mereka sewajarnya Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya (kerana istilah Melayu itu dari sudut Perlembagaan disyaratkan beragama Islam). Secara alternatifnya, pengenalan keturunan mereka boleh dikekalkan melalui etnik kerana menurut Anderson, ‘etnik’ adalah komuniti yang dijelmakan dalam kerangka yang terhad iaitu darah keturunan, bahasa, kebudayaan dan agama pada sesuatu ‘jenis’ kumpulan etnik itu. Walau apapun, istilah yang digunakan buat masa kini, keharmonian hidup dan ketenteraman awam dalam masyarakat berbilang agama dan keturunan adalah tanggungjawab bersama-sama yang mesti ditegakkan menurut konsep kedaulatan dan kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dua aspek tersebut dikhususkan di sini kerana mutakhir ini masih ada pihak bertopengkan pejuang hak kesamarataan memutar-belitkan peruntukan Perkara 11 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Lebih malang lagi, kumpulan ini didapati bersuara lantang apabila mempertikai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan hak kebebasan orang-orang Islam untuk beramal dengan ajaran Islam secara syumul. Semua pihak perlu akur bahawa penginstitusian Perlembagaan pada tahun 1957 diabsahkan atas kedaulatan Raja-raja Melayu, dan konsep kedaulatan itu diwarisi dari Kesultanan Melayu Melaka. Justeru, ajaran Islam yang merupakan akidah Raja-raja Melayu merupakan ciri-ciri kedaulatan telah disuntik dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, maka dengan itu, kedudukan agama Islam tidak boleh disama tarafkan dengan agama-agama lain di Tanah Melayu. Seterusnya, apabila Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada tahun 1963, peruntukan-peruntukan khas bagi Sabah dan Sarawak telah dipersetujui maka sebagai balasan, semua peruntukan lain termasuklah konsep kedaulatan negara menurut Perkara 181 dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dikekalkan.

Selaras dengan kedudukan di atas, kebebasan beragama bagi orang-orang Islam mempunyai ruang yang lebih besar dan dibenarkan diskriminasi agama bagi manfaat orang-orang Islam seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Berbeza dengan penganut-penganut dan ajaran-ajaran agama lain, Perlembagaan Persekutuan mengenakan sekatan-sekatan tertentu, antaranya mereka diharamkan mendakyah orang-orang Islam, menjejaskan konsep kedaulatan Malaysia bersumberkan ajaran Islam, menuntut belanjawan khas bagi tujuan agama-agama mereka, menganjurkan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau prinsip moral. Justeru, konsep kebebasan beragama bagi orang-orang bukan Islam dijamin dalam ruang yang dinyatakan. Kedudukan di atas ditetapkan bukan sahaja untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan rakyat bermajoriti penganut Islam bahkan mempunyai sejarah perundangan watan yang perlu dihormati. Oleh demikian, seruan untuk mengekalkan keharmonian, toleransi kaum dan agama semestinya dilandaskan atas premis seperti dinyatakan, bukan menurut kerangka Barat atau asing.

Sudah tiba masanya pembinaan jati diri watan bangsa Malaysia diberi penekanan sewajarnya oleh kerajaan. Justeru, pembinaan jati diri watan bangsa Malaysia hendaklah berteraskan unsur-unsur watan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, iaitu; menghormati Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kesetiaan pada kedaulatan Raja-raja Melayu, berbahasa Melayu, mengamalkan nilai-nilai murni adat tempatan masing-masing (adat Melayu bagi penduduk Semenanjung Tanah Melayu; bagi penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak pula perlu menghormati nilai-nilai murni adat Anak Negeri masing-masing), memiliki perasaan cinta pada Malaysia dan anak daripada salah seorang pasangan warga Malaysia. Hanya melalui faham jati diri watan, perpaduan nasional dapat dibangunkan dan semangat kekitaan bangsa Malaysia dapat ditiupkan secara adil.
© all rights reserved
made with by templateszoo