NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan Guna Wang Cukai Saya Untuk Institusi Agama - Penolong Pengarang Malay Mail Online




KUALA LUMPUR : Umat Islam perlu membayar perbelanjaan jabatan-jabatan agama dan sistem perundangan Syariah dengan wang poket mereka sendiri. Demikian menurut penulis portal Malaymail Online, Cik Boo Su-Lyn. 

Beliau juga menegaskan tiada siapa harus dipaksa untuk membayar cukai yang kemudiannya akan diperuntukkan sebahagian atau sepenuhnya bagi tujuan apa-apa agama selain daripada agamanya sendiri. 

“No person shall be compelled to pay any tax the proceeds of which are specially allocated in whole or in part for the purposes of a religion other than his own”. 

Kenyataan tersebut dimuatkan dalam penulisan terbarunya dalam portal Malaymail Online. Beliau kemudian memetik Artikel 11(2) Perlembagaan Persekutuan sebagai hujah bagi membuktikan masyarakat bukan Islam berhak untuk memilih supaya wang cukai mereka tidak digunakan untuk membiayai institusi-institusi agama Islam. 

“Sekiranya mereka menyangka semua pembayar cukai dari kalangan rakyat Malaysia, tidak kira apa jua agama, perlu menanggung pembiayaan sistem perundangan Syariah kerana Islam merupakan “agama Persekutuan” menurut Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan, saya ingin menekankan Artikel 11(2) yang secara terperincinya menyebut: “Tiada seorang pun boleh dipaksa membayar apa-apa cukai yang hasilnya diuntukkan khas kesemuanya atau sebahagiannya bagi maksud sesuatu agama selain agamanya sendiri”,” tegas penulis itu. 


Sebelum ini, beliau yang menjadi tulang belakang Himpunan Anti RUU-355 ini juga pernah mendesak supaya jabatan-jabatan agama dan sistem perundangan Syariah di Malaysia dihapuskan. 

Pemenang Anugerah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) itu berkata, 

“Hapuskan perundangan Islam dan jabatan-jabatan Islam kerajaan. Biarkan orang-orang Islam hidup sepertimana yang mereka sendiri rasa bersesuaian.” “Sekiranya kerajaan dibiarkan mengawal apa yang kamu fikir mengenai agama, sesuatu isu asas yang sebahagian orang guna untuk mencari maksud kehidupan, maka kerajaan ada kebebasan mutlak untuk menentukan bagaimana kamu harus hidup. Idea yang sungguh menakutkan,” katanya lagi. 

Sepertimana beliau pernah menggunakan sebahagian daripada pendapatannya untuk aktiviti-aktiviti gereja, beliau mahu perkara yang sama dilakukan oleh masyarakat Muslim Malaysia bagi membiayai kos operasi institusi-institusi agama di negara ini. 

Beliau bertegas agar umat Islam menggunakan sumber kewangan yang lain, asalkan wang cukai tidak disentuh untuk tujuan itu agar dapat menggembirakan hati masyarakat bukan Islam. 

Boo Su-Lyn berkata, “Memisahkan pembiayaan jabatan-jabatan agama dan sistem kehakiman Syariah daripada kutipan cukai umum mungkin merupakan jalan terbaik untuk menggembirakan kebanyakan orang.” 

“Golongan bukan Islam juga akan kurang memerhatikan tindakan-tindakan jabatan-jabatan agama dan Mahkamah-Mahkamah Syariah memandangkan tiada dari wang cukai mereka digunakan,” katanya lagi. 

Boo Su-Lyn juga pernah membuat gesaan untuk menghapuskan artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan, peruntukan yang menghalang orang bukan Islam daripada menyebarkan agama mereka kepada orang Islam tidak berapa lama dahulu. 



© all rights reserved
made with by templateszoo