NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jadikan Bahasa Melayu Sebagai Alat Penyatuan Semua Kaum — Teo Kok Seong



PUTRAJAYA: Fungsi Bahasa Melayu sebagai alat penyatuan nasional semua rakyat perlu diangkat semula, seru Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dato’ Dr Teo Kok Seong. Pemilihan Bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa negara perlu difahami dan dihayati mengikut konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, menurutnya lagi. 

Pandangan tersebut dilontarkan beliau dalam pembentangan kertas kerjanya di Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, beliau antara lain menegaskan agar Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa paling utama dalam negara pada setiap masa, dalam bentuk yang bermutu dan dalam kadar yang banyak. 

“Penggunaan begini bukan sahaja untuk komunikasi rasmi, yakni dalam majlis rasmi atau formal tetapi juga untuk yang tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri,” kata beliau. 

Ilmuan itu menegur sikap sesetengah pihak termasuk golongan pemimpin atas tindakan mereka yang mengesampingkan bahasa negara ini. 

Beliau menegur, “Seringkali juga para pemimpin melakukan perkara yang bertentangan dengannya. Antaranya tidak melibatkan bahasa negara semasa memupuk semangat kebangsaan dalam usaha pembentukan negara bangsa.” 

Sebelum ini, Pakar Sosiolinguistik Bahasa Melayu berbangsa Cina itu juga pernah menegur ketidaksudian para pemimpin politik untuk memperkatakan tentang perkara ini kerana fobia kehilangan populariti di kalangan pengundi berbangsa Cina. 

Beliau mengeluh, “Jadi pembentukan negara bangsa kita ini ada masalah, masalah besar, tapi orang politik tak nak bercakap tentang hal ini, tak pernah orang politik nak bercakap, sebab ya lah, kerjaya politik mereka akan terjejas, undi Cina tak dapat, orang Cina marah.” 

“Tapi sudah 60 tahun kita merdeka perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan, nak lihat warganegara sendiri yang tak boleh berbahasa negara, (keadaan ini) tak ada di tempat lain,” katanya lagi. Beliau berharap agar para pemimpin negara sedar akan hakikat ini dan berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan nasional.

“Bahasa Melayu adalah semangat yang tidak boleh sekali-kali dikesamping dalam negara ini. Ia kerana di dalamnya terdapat akal, ekspresi, emosi serta segala macam yang lain tentang nasionaliti Malaysia,” kata beliau. 

“Dengan semua ini, bahasa Melayu bukan sahaja unsur penting dalam nasionaliti Malaysia, ia sebenarnya juga nadi negara,” katanya lagi. 

© all rights reserved
made with by templateszoo