NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DUN Terengganu: Speaker Tidak Benarkan Usul Tergempar YB Tepoh


Berikut adalah Usul tergempar yang cuba dibawa oleh YB Tepoh tetapi tidak dibenarkan oleh Speaker.

Usul Di Bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.
________________________________________________________________________

Dato’ Yang Di-Pertua,

Adalah saya Hishamuddin bin Abdul Karim, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh mohon mencadangkan,

“Bahawa persidangan ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan yang mulia ini menyokong Penubuhan Majlis Petroleum Terengganu (TPC) Dan Menggesa Dua Keutamaan Yang Perlu Disegerakan Oleh Pihak TPC Iaitu Menuntut Kembali Royalti Minyak Negeri Terengganu dan Menuntut Kembali Hak Kawasan Minyak Di Blok PM 307 Bertam”.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Kedua-dua isu ini adalah perkara-perkara tertentu kerana telah melibatkan pencabulan hak rakyat negeri Terengganu melalui penarikan balik royalti minyak dengan melanggar perjanjian asal di bawah Fasal 2 Perjanjian Royalti yang telah ditandatangani di antara kerajaan negeri Terengganu, Kerajaan Persekutuan dan Petronas pada tahun 1975 dan juga pencabulan hak pemilikan telaga minyak Blok PM 307 Bertam yang ditemui dan disahkan oleh pihak Syarikat Lundin Oil, sebuah syarikat carigali dari Swedan yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja carigali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali. Secara jelas mereka memperakui Blok PM 307 Bertam adalah sah terletak di kawasan perairan negeri Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu sebelum ini menerima pembayaran Wang Royalti secara tunai menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974, ia telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan Wang Ehsan atau sekarang Dana Khas Persekutuan yang dikendalikan terus oleh Kerajaan Pusat.

Negeri Terengganu telah menyumbangkan hasil minyak dan gas kepada Kerajaan Persekutuan lebih 40 tahun bermula pada 1975. Apakah wajar Royalti sebanyak 5% yang diterima oleh kerajaan Terengganu semenjak dari tahun 1978 kini terbatal sepenuhnya dan hanya dianggap sebagai ‘ehsan’ dan ‘dana khas’ dari Kerajaan Persekutuan? Kini, kerajaan Terengganu langsung tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri.

Dato’ Yang Di-Pertua,

Perkara ini adalah melibatkan kepentingan orang ramai apabila hak yang secara berperundangan dinafikan sewenangnya iaitu perjanjian royalti minyak dengan pihak kerajaan negeri Terengganu dan menafikan hak milik rakyat Terengganu hasil penemuan Telaga Minyak Blok PM 307 Bertam.

Sikap tidak serius dalam kedua kes ini, menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kesungguhan kerajaan negeri untuk menuntut hak rakyat. Tindakan meletakkan royalti sebagai Dana Khas Persekutuan amat bertentangan dengan semangat federalisme.

Kes yang berlarutan ini melibatkan kepentingan lebih satu juta rakyat negeri Terengganu. Demi untuk masa depan anak cucu watan Terengganu dan mengelakkan Terengganu menjadi negeri yang terus ’dianak tirikan’ oleh kerajaan Persekutuan.

Dato’ Yang Dipertua,

Perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh pelanggaran hak, pelanggaran perjanjian dengan pihak kerajaan negeri dan penafian milik kerajaan negeri. Apatah lagi dengan pengumuman kerajaan menubuhkan Majlis Petroleum Terengganu (TPC). Justeru, peranan segara perlu dikeluarkan oleh kata sepakat dewan undangan negeri agar TPC mengutamakan dua kes ini sebagai bukti komitmen memelihara kepentingan rakyat.

Penarikan balik sama kerajaan negeri terhadap Petronas dengan alasan ia telah diselesaikan perlu dibentangkan kepada pihak Dewan Undangan Negeri. Sifat pengembalian royalti masih di atas nama Dana Khas Persekutuan dan bukannya di atas nama royalti seperti yang terkandung di dalam perjanjian rasmi.

Kerajaan negeri Terengganu, Majlis Petroleum Terengganu (TPC), semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat negeri Terengganu mesti bersatu hati menuntut agar pelanggaran perjanjian royalti minyak ini perlu ditebus segera dan penafian hak pemilikan Telaga Minyak Bertam perlu dituntut kembali.

Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.

Yang mengusulkan,

YB HAJI HISHAMUDDIN BIN ABDUL KARIM
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tepoh
Terengganu
14 Ogos 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo