Header Ads

Dakwaan Yang Tidak Benar Terhadap Kerajaan Negeri Selangor Berhubung PPR Kg. Baru HICOM Shah Alam



KENYATAAN AKHBAR

DAKWAAN YANG TIDAK BENAR TERHADAP KERAJAAN NEGERI SELANGOR BERHUBUNG PPR KG BARU HICOM, SHAH ALAM.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor hari ini dikejutkan dengan tersebarnya satu rakaman video berdurasi 2 minit yang ditularkan menerusi laman sosial Youtube bertajuk “Aduan Penyewa PPR Kg. Baru Hicom, Shah Alam, Selangor bertarikh 20 Ogos 2017.

Ia disensasikan lagi dengan sebuah artikel yang diterbitkan oleh Utusan Online yang bertajuk “160 Penghuni PPR Bakal Dihalau Kerajaan PKR Selangor” bertarikh 21hb Ogos 2017.

Pihak pengurusan PPR Kg. Baru Hicom ini iaitu Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) tampil menjawab dan menafikan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap Kerajaan Negeri .

Menurut PHSSB apa yang ditularkan di dalam media sosial adalah bertentangan dengan apa yang berlaku. Ini ditambah ada pihak-pihak tertentu mensensasikan isu ini dengan tujuan memberi gambaran buruk kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

Pihak PHSSB telah meminta penyewa yang masih mempunyai tunggakan untuk hadir ke pejabat pengurusan sebelum 7hb Ogos 2017 untuk membuat penjadualan semula secara ansuran tunggakan yang ditanggung oleh penyewa.

PHSSB melaporkan, sehingga Jun 2017 seramai 184 penyewa masih mempunyai tunggakkan yang berjumlah keseluruhan sebanyak RM337,075.00.

Namun setelah notis dikeluarkan pada 1 Ogos, seramai 98 penyewa tampil ke pejabat pengurusan dan bersetuju untuk membuat bayaran tunggakan mereka secara ansuran.

Tindakan mengeluarkan notis pengosongan kediaman hanya diberikan kepada 86 lagi penyewa yang degil dan masih gagal hadir ke pejabat pengurusan, walaupun peringatan diberikan.

PHSBB BUKAN MEMINTA MEREKA YANG ADA SEWA TERTUNGGAK UNTUK MEMBAYAR 100% TUNGGAKAN MEREKA7 TETAPI HADIR DI PEJABAT PHSSB UNTUK MEMBINCANGKAN PEMBAYARAN TUNGGAKAN SECARA ANSURAN.

Tindakan yang diambil oleh PHSSB ini adalah bertepatan dengan polisi dan syarat penyewaan yang telah dipersetujui oleh penyewa semasa menandatangani perjanjian.

Berhubung dengan kenyataan kononnya bahawa bekalan air dan elektrik telah dipotong, PHSSB hanya mengambil tindakan ini setelah penghuni dilihat mengabaikan bayaran sewa walaupun notis peringatan telah empat kali dikeluarkan. Notis peringatan tersebut dikeluarkan dalam tempoh jarak masa selama 7 hari bagi setiap notis. Notis peringatan 1 akan dikeluarkan jika penyewa gagal menjelaskan sewa bulanan selewat-lewatnya pada setiap 7 haribulan

Bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor, PHSSB sentiasa berharap penghuni sentiasa peka terhadap tanggungjawab mereka dan sentiasa mengalu-alukan perbincangan bersama untuk mencari jalan penyelesaian sebarang masalah yang berkaitan.

Y.B. Dato' Iskandar Bin Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
21 Ogos 2017