NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cekal hafaz al-Quran walaupun dilahir autisme




Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@hmetro.com.my

Kuala Kubu Bharu: Meskipun dilahirkan sebagai anak istimewa yang mengalami masalah autisme, namun kecekalan dan keazaman Ahmad Zahiruddin Zailani, 21, untuk bergelar seorang hufaz wajar dicontohi generasi muda lain.

Anak sulung daripada empat beradik itu bukan saja berjaya menghafal al-Quran dalam masa dua tahun tiga bulan saja (berbanding tempoh pengajian tiga tahun) malah turut menjadi sejarah apabila dipilih menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Autisme pada istiadat konvokesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-26, di sini, semalam.

Kejayaan Graduan Diploma al-Quran itu membuktikan kekurangan yang ada bukan penghalang untuk berjaya sekali gus menjadi kebanggaan kepada pasangan Zailani Ahmad, 49, dan Hanes Mohd Nasir, 47.

Menurut Ahmad Zahiruddin, berbanding rakan lain, dia berdepan pelbagai kesukaran pada awal pengajian dan hanya mampu menghafal al-Quran sebanyak satu muka surat dalam sehari.

“Bagi mengatasi kesukaran itu, saya pastikan al-Quran sentiasa ada bersama dan lama-kelamaan dengan bantuan rakan dan tenaga pengajar, saya mampu menghafal beberapa muka surat sehari sehingga selesai.

“Bagi saya, jika ada kemahuan dan kesungguhan pasti Allah akan permudahkan jalannya,” katanya kepada Metro Ahad.

Majlis konvokesyen berkenaan menyaksikan seramai 615 graduan menerima diploma dan sijil pengajian masing-masing yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Othman Mustapha.

Majlis penyampaian anugerah kecemerlangan pula disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa serta pensyarah antara resipi kejayaan penerima Anugerah Perdana Menteri, Nur Karimah Marwan, 21.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berjaya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.92, sekali gus menjadi pelajar terbaik jurusan Diploma Tahfiz al-Quran.

“Saya memberi tumpuan penuh kepada pelajaran sejak semester pertama dan setiap semester mendapat nilai gred kumulatif antara 3.8 hingga 3.9.

“Kejayaan ini adalah untuk keluarga yang sentiasa memberi dorongan dan tenaga pengajar yang tidak jemu-jemu menabur bakti,” katanya.

https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/08/250906/cekal-hafaz-al-quran-walaupun-dilahir-autisme
© all rights reserved
made with by templateszoo