NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Barcelona Hilang Sinar Tanpa Neymar.




Oleh Eddy Zakry, 1Media.my.

Kelab La Liga Barcelona semakin kehilangan sinar tanpa penyerang utama mereka Neymar yang dijual dengan harga 222 juta Euro kepada kelab Perancis, PSG.

Sejak Neymar meninggalkan Barcelona atau Barca, kelab tersebut telah kalah kepada musuh ketat mereka Real Madrid dengan agregat 5-1 di dalam 2 perlawanan merebut Super Cup Sepanyol di mana ketiadaan Neymar dirasai.

Pemain tengah Barca, Sergio Busquets mengakui mustahil bagi  Barca untuk menggantikan Neymar dan serangan-serangan Barca telah hilang ketajaman. Busquets yang juga pemain antarabangsa Sepanyol mahu Barca membeli pemain-pemain baru.

Memang Barca telah membeli pemain baru walau bagaimanapun pembelian Paulinho dari kelab China, Guangzhou Evergrande dengan harga  40 juta Euro membingungkan ramai. Beliau tidak memiliki kualiti-kualiti yang selalunya ada pada pemain tengah Barca.

Pemain antarabangsa Brazil itu telah dijual oleh Tottenham kepada Guangzhou dalam tahun 2015 setelah tidak berjaya untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Gareth Bale yang dijual ke Real Madrid. Pemain berumur 29 tahun itu terpaksa melancarkan semula kerjaya beliau di China.

Lembaga Pengarah Barca perlu bertindak segera. Yang paling diperlukan adalah pemain untuk menghidupkan bahagian tengah sepertimana Xavi di satu masa dahulu sebelum beliau meninggalkan Barca untuk kelab Qatar, Al-Sadd dalam tahun 2015. Kerana itu sasaran utama Barca musim panas baru-baru ini adalah pemain PSG Marco Verratti tetapi PSG enggan menjual walaupun pemain itu berminat. Xavi sendiri mengakui Verrati adalah pengganti beliau yang sesuai.

Selain itu Barca juga gagal mendapatkan pemain Liverpool, Philippe Coutinho, pemain Borussia Dortmund, Ousmane Dembele dan pemain Juventus, Paulo Dybala yang mereka sasarkan. Jika mereka terus gagal untuk mendapatkan pemain-pemain yang dapat mengatasi impak kehilangan Neymar,  Barca akan ketinggalan dalam saingan La Liga musim ini. (1Media.my)

© all rights reserved
made with by templateszoo