NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wajar dibinkan atau binti Abdullah


KUALA LUMPUR 28 Julai – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998 jelas memutuskan anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah perlu dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna yang mempunyai nama pangkal Abdul.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asy­raf Wajdi Dusuki berkata, hal ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergau­lan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

Berikut merupakan kenyataan penuh Asyraf Wajdi mengenai pandangan beliau berhubung perkara-perkara asas melibatkan anak tidak sah taraf atau anak luar nikah:

Merujuk kepada polemik ter­baharu yang tercetus hasil keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan anak luar nikah pasangan beragama Islam untuk tidak lagi menggunakan bin atau binti Abdullah sebaliknya boleh menggunakan nama bapa masing-masing sebagai nama keluarga.

Beberapa perkara asas yang harus difahami sebelum kita terlajak membahaskan isu ini hanya sekadar berlandaskan sentimen dan emosi semata-mata:

1. Hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana garis panduan penamaan dan kedudukan anak tidak sah taraf dari segi syarak yang diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998.

2. Menurut garis panduan penamaan ini, anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna iaitu berpangkal dengan nama Abdul. Ini kerana syarak dan maqasid syariah amat mementingkan pe­meliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergau­lan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain.

3. Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut perundangan dan perspektif hukum sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan prinsip syariah dan maqasid syariah.

4. Pada masa yang sama kita juga harus memahami dan me­ngakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan oleh Ja­wa­tankuasa Fatwa MKI di peringkat kebangsaan yang sememangnya tiada kuasa ikatan perundangan (legal binding) kerana kuasa agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan kuasa negeri-negeri.

5. Namun fatwa yang diputuskan oleh jawatankuasa di peringkat negeri setelah diper­kenankan sultan dan diwartakan, masih perlu diambil kira apabila pertikaian adalah berkaitan de­ngan hukum syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidang kuasa negeri me­nurut Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

6. Lebih mustahak lagi apabila melibatkan kepentingan orang Islam, sudah tentu mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum-hakam syarak.

7. Kedudukan undang-undang peribadi pihak-pihak yang berkhi­laf juga perlu diambil perhatian oleh Mahkamah Sivil. Agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara perlu bertindak sebagai agensi yang melaksana semua undang-undang yang sah termasuk yang berhubung kait dengan hukum syarak.

8. Fatwa yang dikeluarkan sama ada oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI di peringkat Persekutuan mahupun fatwa yang diwartakan di peringkat ne­geri-negeri adalah undang-undang Islam yang sah dan sewajarnya menjadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam secara keseluruhannya. Ini juga bagi menjunjung semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 3.

9. Justeru, amat wajar sekali pihak Peguam Negara mewakili Kerajaan Persekutuan dan agensi di bawahnya khususnya Jabatan Peguam Negara untuk mengangkat kes ini bagi dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

10. Perbahasan secara holistik harus dilakukan bagi mempertimbangkan kes ini tanpa sekali-kali membelakangi hukum dan prinsip Islam yang menjadi teras negara selama ini sebagaimana yang terpateri kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan.
© all rights reserved
made with by templateszoo