Header Ads

Ranking bolasepak Malaysia jatuh 12 anak tangga tetapi FAM tidak terkejut



Ranking bolasepak Malaysia jatuh 12 anak tangga kepada kedudukan 167 tetapi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilaporkan tidak terkejut.

Ranking tersebut adalah berdasarkan senarai terkini Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Dato' Hamidin Mohd Amin mereka tidak terkejut kerana ia adalah akibat kekalahan Malaysia kepada Lubnan pada perlawanan kelayakan Piala Asia bulan lepas dan ketiadaan perlawanan persahabatan.

Berikut adalah kedudukan negara-negara ASEAN,

Filipina 126, tiada perubahan.
Thailand 131, turun 4 anak tangga.
Vietnam 133, turun 2
Myanmar 157, naik 6.
Malaysia 167, turun 12.
Singapura 169, turun 12.
Laos 171, naik 1.
Cambodia 173, naik 1.
Indonesia 175, tiada perubahan.
Brunei 188, tiada perubahan.
Timor-Leste 196, tiada perubahan.

Tempat pertama keseluruhannya diduduki oleh juara Piala Konfederasi Jerman yang telah memintas Brazil. Sementara yang tercorot pada kedudukan 206 adalah Tonga.

Pasukan terbaik di Asia adalah Iran di tangga 23, diikuti dengan Australia (45) dan Jepun (46).

Menurut Hamidin, FAM akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk membantu melonjakkan kedudukan pasukan negara.

Tetapi Malaysia perlu bermain menentang pasukan dengan ranking yang lebih tinggi jika mahu memperolehi mata yang banyak dan sekali gus meningkatkan rankingnya. Persoalannya adakah terdapat pasukan dengan ranking yang tinggi yang akan bermain menentang pasukan negara?

Terdapat negara-negara kecil dengan ranking yang lebih tinggi dari Malaysia seperti Maldives (142) Kepulauan Solomon (154) dan Bhutan (164) yang boleh menjadi sasaran pasukan negara.

Senarai akan datang akan disiarkan oleh FIFA pada 10 Ogos hadapan.

Ranking FIFA ini penting kerana ia akan menentukan "seeding" pasukan untuk pertandingan-pertandingan seperti pertandingan kelayakan Piala Dunia atau Piala Asia. Pasukan-pasukan yang berada di ranking yang tinggi tidak akan bertemu atau diletakkan di dalam kumpulan yang sama. Pasukan-pasukan di ranking yang rendah juga terpaksa bermain di lebih banyak pusingan kelayakan.

Malaysia pernah menduduki ranking 77 pada 23 September 1993. (1Media.my)