#PRU14: PAS jadi penentu Kerajaan Malaysia - 1Media.My

Header Ads

#PRU14: PAS jadi penentu Kerajaan Malaysia


PAS menyangkal dakwaan penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) kononnya PAS tidak relevan lagi. 

Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, Datuk Abdulah Ya'kub menegaskan PAS menjadi penentu kepada kerajaan Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), nanti. 

Menurutnya, harga PAS ketika itu menjadi mahal apabila pakatan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menang tetapi tidak cukup majoriti. 

Justeru, tegasnya PAS bertanding pilihan raya untuk menang dan menjadi kerajaan. 

“Masa depan politik negara ini macam-macam boleh berlaku dan untuk ‘survival’ Islam dan survival kepada Melayu di Malaysia ini, PAS memang parti yang ‘power full’ dan penentu kepada negara ini untuk Islam dan agenda Melayu. 

“PAS tetap hendak jadi kerajaan. Kita bertanding bukan untuk kalah, kita bertanding untuk menang. Tapi, kita tidak mahu kita bertanding dan kita menang tapi kita tidak boleh melaksanakan amanah Allah SWT.





“Jadi, daripada kita menang dengan tidak mendapat redha Allah, maka lebih baik kita ditangguh kemenangan tetapi kita diredhai oleh Allah SWT,” tegasnya pada sidang media selepas Ceramah Perdana 1, Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.7 di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Setiu, kelmarin. 

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak dan Yahaya Ali serta Pengarah Pilihanraya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman. 

Harap-PGU 3.7 diadakan tahun ini selepas program mega yang sama di Besut (Harap-PGU 3.5) di Kota Putera dan Harap-PGU 3.6 di Kuala Berang (Hulu Terengganu). 

Program yang sama telah diadakan bagi kawasan Parlimen Kuala Nerus, Dungun, Kemaman dan Marang. - HARAKAHDAILY 29/7/2017