Populariti Macron menurun. - 1Media.My

Header Ads

Populariti Macron menurun.



PARIS : Populariti Presiden Emmanuel Macron jatuh 10 mata kepada 54 peratus sejak bulan lalu, menurut tinjauan pendapat semalam.

Walaupun Macron bermula dengan baik di pentas dunia dan menang majoriti besar di Parlimen, tiga bulan pertama pentadbirannya tidak terlepas daripada masalah.

Beliau dikritik hebat oleh pembangkang dan media kerana ketegasannya selepas perbalahan mengenai pemotongan bajet yang berakhir dengan peletakan jawatan ketua tentera yang dihormati.

Pemimpin berusia 39 tahun itu juga menyokong rang undang-undang kontroversi mengukuhkan undang-undang keselamatan Perancis dengan memasukkan langkah yang disifatkan sebahagian kumpulan hak asasi sebagai kejam.

Kemenangan majoritinya di Parlimen turut mengundang rasa tidak senang hati, dengan pembangkang dan beberapa akhbar meluahkan kebimbangan berhubung kekuasaan presiden.

Menurut tinjauan Ifop yang dilakukan untuk akhbar Journal du Dimanche, bilangan rakyat Perancis yang berpuas hati dengan Macron jatuh 10 mata daripada 64 peratus Jun lalu.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, mencatatkan kejatuhan lapan mata kepada 56 peratus rakyat Perancis yang gembira dengan pentadbirannya, menurut tinjauan ke atas 1,947 penduduk dewasa yang dilakukan pada 17 hingga 22 Julai. (AFP)