NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PENDIDIK Gesa KPM Percepatkan Proses Penempatan Isu Guru Duka Lara





Segamat, 26 Julai 2017 - Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) diminta mengambil perhatian serius terhadap permohonan pasangan guru yang tinggal berjauhan antara satu sama lain atau permohonan guru yang terpisah jauh bersama keluarga tersayang atas komitmen tugas dalam perkhidmatan perguruan.

" Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK), berharap isu guru duka lara perlu diatasi dengan penuh kesungguhan dan komitmen serta sokongan semua pihak supaya pasangan suami isteri dapat tinggal berdekatan dan menjalani kehidupan berkeluarga ,bersama anak dan insan tersayang,” kata Pn.Normala Sudirman selaku Presiden PENDIDIK." Dengan cara ini kebajikan guru terutamanya guru wanita akan lebih terbela kerana berdekatan dengan suami masing-masing, “katanya lagi. PENDIDIK sangat memahami tugas mendidik dan kerjaya seorang guru bukannya tugas yang mudah dan pastinya karier perguruan ini banyak cabarannya.

Di samping tugas dalam karier perguruan yang menuntut kesabaran yang tinggi,beban tugas-tugas perkeranian, komitmen ko-kurikulum di hujung minggu dan pelbagai tanggungjawab lagi menyebabkan warga pendidik yang tinggal berjauhan dari pasangan terpaksa mengurus kehidupan dan anak bersendirian di rantau orang, ditambah lagi dengan kos berulang-alik yang tinggi apalagi bila berkhidmat jauh di pendalaman atau jauh seperti di Sabah & Sarawak.

Menurutnya, tidak menafikan tekanan emosi, tekanan dan faktor kewangan adalah antara cabaran dan hambatan yang membelenggu hidup mereka dan gaji guru yang sederhana akan membataskan pergerakan warga pendidik untuk kerap balik bertemu keluarga tersayang.

Selain itu juga ada kes guru wanita yang mengalami keguguran dan mengalami kemurungan akibat tinggal berjauhan dengan suami tercinta dan akhirnya dibimbangi kurang bermotivasi untuk bekerja akibat perpisahan yang agak lama antara suami isteri akibat keretakan rumahtangga yang mendorong berlakunya perceraian kerana gagal membina keserasian akibat terpisah jauh dan lama sejak awal-awal perkahwinan lagi.Walaupun mungkin ini adalah kes terpencil,namun kejadian seperti ini harus menjadi iktibar dan muhasabah buat kita semua.

"Walaupun ada permohonan warga pendidik yang telah diluluskan dan dihantar pulang ke pangkuan keluarga tersayang ,namun jumlah tersebut masih sedikit jika dibandingkan dengan ribuan lagi guru yang terpisah jauh dengan pasangan tersayang,” kata Normala,Presiden Pendidik

Pendidik sangat berharap bahawa isu guru duka lara ini bukanlah satu retorik dan KPM perlu mengambil tanggungjawab penuh bagi mengatasi dilemma isu guru dukalara dalam dunia perguruan ini dengan penuh kesungguhan. Beliau ditemui ketika menziarahi keluarga arwah Cikgu Maizatul Nadiah Binti Mohd.Yusof yang tinggal di Kg.Abdullah, Segamat Johor.


Allahyarham Cikgu Maizatul Nadiah,29 tahun telah ditemui meninggal dunia jam 4 pagi di kediamannya di Mukah ,Sarawak yang sebelum ini telah berkhidmat di Sk.Nangka Sikat ,Mukah Sarawak . Beliau telah berkhidmat hampir 4 tahun 1 bulan. Arwah telah meninggalkan anak lelaki yang masih kecil berumur 1 tahun 3 bulan,Ahmad Danish Bin Ahmad Danial. Suami almarhumah Cikgu Nadia iaitu Ahmad Danial Bin Mohd.Yusof ,37 tahun bekerja sebagai technician di Sunway ,Selangor . Arwah Cikgu Maizatul Nadiah Binti Mohd.Yusof sebelum ini adalah lulusan Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka.


Kebanyakan waktu bertemu keluarga, arwah Cikgu Nadiah yang akan lebih kerap balik dari Sarawak ke Semenanjung untuk bertemu keluarga tersayang. Pemergian arwah Cikgu Nadiah pada 24 Julai lalu agak mengejutkan keluarga dan pihak sekolah kerana sebelum ini arwah tidak mengalami apa-apa sakit atau menunjukkan sebarang perubahan. Namun ahli keluarganya redha atas pemergiannya dan optimis apa yang berlaku ada hikmah yang tersendiri serta pasrah atas qada' dan qadarNYA.

PENDIDIK dalam kunjungan ziarahnya telah menyampaikan sumbangan terhadap ibu almarhumah dan mengucapkan salam takziah serta memberikan suntikan motivasi dan kata -kata semangat agar ahli keluarganya tabah dalam menempuh dugaan . Sumbangan dari PENDIDIK disampaikan oleh Pn.Normala seusai jenazah dikebumikan pada waktu malam Jenazah telah diterbangkan dari Sarawak melalui kapal terbang dan seterusnya dibawa oleh van jenazah ke Segamat Johor. Ibu almarhumah Cikgu Nadiah mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pendidik kebangsaan dan terharu atas kunjungan ziarah ini.
© all rights reserved
made with by templateszoo