NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Majlis Peguam: Langgar Perlembagaan jika terus pegang jawatan tinggi kehakiman?


Majlis Peguam berpandangan yang pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan terus memegang jawatan sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan terang-terangan melanggar Perlembagaan - Varughese, Majlis Peguam Negara

TINDAKAN kerajaan melanjutkan tempoh khidmat Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinuddin melanggar Perlembagaan, kata Majlis Peguam hari ini.

Majlis turut menambah yang ia akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara itu yang dijangka mewujudkan konfrontasi baru antara Majlis Peguam dan badan kehakiman negara.

Majlis Peguam memutuskan perkara itu dalam mesyuarat bulannya yang diadakan hari ini, kata presiden George Varughese kepada The Malaysian Insight.

“Majlis Peguam berpandangan yang pelantikan Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan dan terus memegang jawatan sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan terang-terangan melanggar Perlembagaan,” kata Varughese.

Sementara itu, bekas presiden majlis Lim Chee Wee mengatakan yang isu itu bukan masalah bekas ketua hakim Ariffin Zakarian.

“Ketika Arifin membuat cadangan itu dia masih ketua hakim negara, jadi tiada masalah. Tetapi Raus masih seorang hakim yang bersidang jadi bagaimana dia boleh dilantik pula memegang jawatan tinggi dalam pejabat kehakiman.” kata Lim kepada The Malaysian Insight hari ini.

“Walaupun Ketua Hakim Raus dan Presiden Zulkefli kedua-duanya hakim yang arif dan bijaksana, pelantikan mereka melanggar Perlembagaan.

“Tambahan pula, ia (perlantikan) itu tidak mempertimbangkan hakim Mahkamah Persekutuan lain yang juga mampu dan layak mengisi jawatan itu- seperti Ahmad Maarop, Richard Malanjum, Zainun Ali, Zaharah Ibrahim dan Azahar Mohamed- itu tidak termasuk lagi beberapa orang hakim sedang berkhidmat di Mahkamah Rayuan yang akan dinaikkan pangkat beberapa tahun lagi. Tiada alasan diberikan untuk pelanjutan tempoh jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan,” kata Lim.

Menurut Lim lagi, pelantikan hakim tambahan di Mahkamah Persekutuan hanya boleh dilakukan daripada kalangan hakim yang sudah bersara.

“Kedua, jawatan pegawai kehakiman tidak boleh diisi hakim tambahan Mahkamah Persekutuan yang merupakan kategori hakim berbeza di Mahkamah Persekutuan.

Pertikaian itu menurut Lim berdasarkan frasa dalam Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 122 (1A) menyebut: “Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, boleh melantik mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di
Malaysia untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya:Dengan syarat bahawa tiada hakim tambahan yang sedemikian menjaditidak layak untuk memegang jawatan oleh sebab dia telah mencapai umur
enam puluh lima tahun”.

Kata kunci di sini ialah “mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia”, kata Lim.

Semalam, Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengatakan Raus akan kekal sebagai ketua hakim untuk tempoh tiga tahun lagi bermula daripada 4 Ogos selepas pelantikannya sebagai hakim tambahan sementara Zulkefli akan dilantik sebagai hakim tambahan selama dua
tahun bermula 28 September. – 8 Julai, 2017.
© all rights reserved
made with by templateszoo