NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Negeri akan halang Kerajaan Persekutuan halau penduduk



Oleh Muhammad Idris Ahmad

SHAH ALAM, 14 Julai : Kerajaan Negeri Selangor akan menghalang sebarang tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menghalau penduduk PPR Lembah Subang 1 yang enggan mendaftar dengan mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Negeri Selangor, Dato' Iskandar A. Samad berkata penduduk telah membuat aduan kepada beliau bahawa Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan telah memberi mereka tempoh sehingga 22 Julai ini untuk mendaftar atau unit-unit mereka akan disytiharkan kosong dan boleh disewakan kepada orang lain.

Kata Iskandar, Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Seri Mohd. Azmin Ali selaku Menteri Besar pada 13 Julai lepas telah memutuskankan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan terus menguruskan PPR tersebut. Mesyuarat juga menetapkan Kerajaan Negeri akan tetap dengan tuntutan RM60 juta dari Kerajaan Persekutuan untuk segala kos-kos penyelenggaraan dan baikpulih sepanjang PPR itu diuruskan oleh MBPJ iaitu sejak 2001.

Oleh itu tambah Iskandar, selagi tiada penyerahan secara rasmi dari Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hak untuk menghalau sesiapa. Kerja-kerja yang sedang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan di PPR itu juga tidak mendapat kebenaran MBPJ dan Kerajaan Persekutuan perlu bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, kecederaan atau kematian akibat kerja-kerja tersebut.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan untuk menghalang sebarang tindakan tidak berperikemanusiaan mengusir penduduk", Exco itu memberi amaran.

Mengulas dengan lebih lanjut ugutan Kementerian, Iskandar turut berpandangan ugutan itu adalah amalan biasa Kerajaan Barisan Nasional yang tergamak menghalau rakyat dari tempat tinggal mereka sepertimana polisi "Setinggan Sifar" ketika mereka menguasai negeri Selangor sebelum ini. (1Media.my)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo