NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hajatuju PAS: PPP cabar Mahfuz berdebat?


Mutakhir ini, Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Dato Mahfuz Omar, semakin galak menjadi jurucakap PAN dan DAP dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikaikan keputusan pucuk pimpinan PAS. Beliau mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berselindung di bawah nada 'masih sayang kepada PAS' sedangkan tindakannya jelas untuk menyerang PAS. Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai MP PAS diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti.

PPP juga mendapat maklumat beliau tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang halatuju dan pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Isu-isu yang dibangkitkan olehnya sebenarnya telahpun dijawab di dalam program-program yang dianjurkan oleh parti. Sikap yang ditunjukkan oleh MP Pokok Sena kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik.

Sehubungan dengan itu, saya selaku Pengarah PPP mencabar beliau berdebat tentang isu-isu yang berkaitan halatuju dan pendirian PAS hari ini, untuk memberi ruang kepada beliau berhujah bahawa keputusan pucuk pimpinan PAS adalah tersasar seperti yang beliau sering nyatakan. Disebabkan isu-isu berkaitan halatuju dan pendirian parti ini banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman parti, debat yang dianjurkan hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli PAS. PPP sendiri bersedia menjadi penganjurnya.

Selain daripada PPP, saya juga mengalu-alukan sekiranya agensi parti yang lain khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah menganjurkan debat tersebut, sekiranya Dato Mahfuz lebih selesa dengannya. Debat tersebut diharapkan dapat menjernihkan kecelaruan Dato Mahfuz, jika benar beliau bertindak sebelum ini kerana sayangkan parti. PPP bersedia menjawab dakwaan-dakwaan beliau dalam debat tersebut, dan Dato Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika kesemua dakwaan beliau sudah terjawab.


Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Pengarah PPP
© all rights reserved
made with by templateszoo