NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fatwa: UMMAH desak Majlis Agama Islam bangkit pertahankan Hukum Islam di Mahkamah



KENYATAAN MEDIA:

Majlis-Majlis Agama Islam seluruh negara wajar bantu Mahkamah Persekutuan berkaitan kes nasab anak

1.        Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) sebagai sebuah gerakan yang menggabungkan lebih daripada 100 badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh Malaysia dengan misi utama untuk mempertahan serta mendaulatkan Islam sebagai agama negara, berasa amat prihatin dan gusar dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Julai 2017, yang memutuskan bahawa seseorang anak yang tidak sah taraf beragama Islam boleh dinasabkan kepada nama bapanya.

2.               UMMAH percaya bahawa keputusan Mahkamah Rayuan ini bertentangan dengan fatwayang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2003, yang menetapkan bahawa “anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepda sesiapa yang mengaku menjadi bapa anak tersebut.”

3.                   Perlu ditekankan bahawa penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya bukanlah bertujuan untuk menghukum seseorang anak atas dosa yang dilakukan oleh ibu atau bapanya sekiranya anak tersebut tidak sah tarafnya, tetapi bagi menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan, yang telah dirumuskan oleh para ulama’ sebagai termasuk salah satu daripada matlamat (maqasid) syariah. Keutuhan nasab amat penting untuk dipelihara, kerana akan memberikan implikasi dan kesan yang menjangkau terhadap aspek-aspek hukum syara’ berkenaan pembahagian harta pusaka, perwalian, pernikahan, hukum-hakam berkaitan mahram, dan lain-lain lagi.

4.         Tambahan pula, keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang membenarkan seseorang anak beragama Islam yang tidak sah tarafnya untuk di-bin atau di-binti-kan kepada nama ayahnya dengan bersandarkan kepada peruntukan seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 adalah amat memusykilkan. Hal ini kerana seksyen tersebut merujuk kepada penggunaan “nama keluarga” atau “surname”, sekiranya ada, bagi keluarga-keluarga yang mengamalkan pemakaian nama keluarga. Sedangkan amalan nama yang di-bin atau di-binti-kan dengan nama ayah di kalangan orang Islam di Malaysia, tidak semestinya jatuh di bawah cakupan seksyen 13A(2) tersebut, yang perlu diperhalusi dengan lebih lanjut lagi.

5.         UMMAH mengambil maklum bahawa Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak Kerajaan dilaporkan telah pun memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung kes ini, dan mengucapkan tahniah atas tindakan proaktif pihak kerajaan. Banyak isu perundangan yang perlu dicermati dan ditafsirkan secara lebih autoritatif oleh Mahkamah Persekutuan selaku tingkat kehakiman tertinggi dalam negara, memandangkan apa yang diputuskan di peringkat Mahkamah Rayuan dalam kes ini dilihat amat bercanggah dengan prinsip-prinsip perundangan yang telah diputuskan sebelumnya berkenaan kedaulatan Islam dan peranan pihak berkuasa untuk patuh kepada hukum syara’.

6.          Memandangkan isu perundangan berkaitan nasab turut mempunyai kesan yang menjangkau pentadbiran undang-undang syariah di peringkat negeri-negeri, maka UMMAH menggesa agar Majlis-Majlis Agama Islam di semua negeri untuk bantu merungkaikan isu ini dengan cara membuat permohonan bagi menjadi pencelah dalam rayuan pihak kerajaan di peringkat Mahkamah Persekutuan. Hujahan dan input daripada pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang agama akan dapat membantu pihak Mahkamah untuk memberikan keputusan yang lebih menyeluruh, demi kepentingan keadilan. UMMAH percaya bahawa berdasarkan kepada intipati kes ini, Majlis-Majlis Agama Islam sememangnya mempunyai kepentingan perundangan yang kuat.

7.          Akhir sekali, UMMAH menegaskan bahawa jika pun ada sebarang kelompongan dalam mana-mana Akta sedia ada, maka kerajaan juga wajar pertimbangkan untuk memperbaiki Akta tersebut melalui proses pindaan di parlimen, supaya dapat diselaraskan dan diharmonikan dengan hukum syara’.


Yang benar,
Aminuddin Yahaya
Pengerusi UMMAH

28 Julai 2017




© all rights reserved
made with by templateszoo